Astro Entertainment Sdn Bhd ambil alih tugas urus kerjaya seni artis naungan
TIADA angin dan rebut, syarikat Maestro Talent Management Sdn Bhd yang beroperasi sejak berakhirnya program realiti Akademi Fantasia (AF) musim pertama lagi dihentikan operasinya bermula 1 April. Malah syarikat rakaman yang dianggap sebagai 'jentera' pengeluaran yang begitu aktif menguruskan artis terutama daripada program AF sejak enam musim lalu, tiba-tiba terpaksa gulung tikar pada akhirnya.
Proses mengosongkan premis yang terletak di Bukit Damansara itu dilakukan kakitangannya sejak Jumaat lalu. Malah, Hip difahamkan bekas Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez dan Pengarah Eksekutif Astro Entertainmet Sdn Bhd, Zainir Aminullah turut berada di lokasi kejadian untuk memberi penjelasan kepada kaki tangan berhubung kenapa perkara demikian perlu dilakukan.
Maestro yang pernah menguruskan Mawi, Mila, Farah dan Zahid, sekadar menyebut beberapa nama adalah syarikat bersekutu milik Astro yang ditubuhkan pada 24 Julai 2003 dan dinaungi lebih 40 orang artis terutama daripada program AF dan Raja Lawak.
Ekoran penutupan Maestro, pelbagai spekulasi timbul membabitkan pelbagai isu termasuk masalah kewangan yang dihadapi syarikat itu. Begitu juga dengan hal penyelewengan yang dikatakan membabitkan beberapa individu penting syarikat itu.
Bagaimanapun, perkara ini dinafikan Zainir dan menyifatkan apa yang terjadi itu sebagai kitaran biasa dalam perniagaan yakni melakukan penstrukturan semula syarikat itu. Zainir ditemui rakan media sejurus selepas berakhirnya sidang media konsert mingguan ketiga AF7 di Bukit Jalil.
Katanya, keputusan muktamad diambil selepas pihaknya melakukan proses penilaian termasuk perancangan masa panjang hingga memutuskan untuk menamatkan operasi Maestro.
“Dengan ini, Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) akan mengambil alih dan meneruskan kesinambungan kerja Maestro sebelum ini untuk menguruskan kerjaya seni artis naungan seperti yang termaktub dalam kontrak masing-masing.
“Setakat ini seramai 37 artis akan diuruskan AESB dan ada juga beberapa orang kakitangan Maestro yang diserap bekerja dengan AESB. Ada beberapa artis yang sudah siap album mereka dan hanya akan menunggu waktu yang sesuai untuk melancarkannya.
“AESB juga sentiasa mengalu-alukan kerjasama label atau syarikat luar untuk menerbitkan album atau apa juga aktiviti membabitkan urusan seni. Pelajar AF7 yang sudah tersingkir juga akan diuruskan staf Astro dan setakat ini soal berapa lama tempoh kontrak masih belum diputuskan. Begitu juga dengan Farahdhiya yang sudah mengikat kerjasama dengan Maestro sebelum ini,” kata Zainir menamatkan persoalan yang ditunggu-tunggu.
Menurut Zainir, penutupan premis itu sebagai persediaan Astro untuk lebih bergerak dan maju ke hadapan. Katanya lagi, dia tidak mahu menyentuh soal apa juga kepincangan entiti syarikat itu yang digembar-gemburkan antara punca yang menyebabkan ia ditutup.
“Lumrah perniagaan, ada turun naik dan ia bukan penamat kepada Astro untuk terus memiliki dan mengetengahkan bakat ciptaan stesen kami. Semua dilakukan demi kebaikan pelanggan, klien dan kegiatan berterusan dalam memastikan penonton terus setia bersama kami.
“Perkataan Maestro tidak akan digunakan lagi dan pembabitan Freddie terhadap jawatannya selama ini juga dihentikan. Walau bagaimanapun, kami di Astro tetap akan bekerjasama dengan Freddie kerana sepanjang Astro ditubuhkan, pihak kami ada mendapatkan khidmatnya untuk beberapa prospek kerja,” katanya yang memberitahu tiada lagi sidang media membabitkan isu ini akan diadakan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: