SEJAK muncul dengan album sulungnya kira-kira dua tahun lalu, karier nyanyian naib juara Malaysian Idol musim kedua ini dilihat cukup 'suram'.
Single 'Kusut' dan 'Aku' yang dipertaruhkannya juga tidak banyak membantu Norhanita Hamzah atau mesra dengan panggilan Nita untuk melonjakkan lagi karier seninya.
Jika tidak kerana tawaran mengadakan persembahan di majlis-majlis korporat dan makan malam yang banyak membantu penyanyi ini terus 'hidup', Nita sendiri tidak tahu ke mana halatuju kariernya akan pergi.
Meskipun kisah cintanya dengan juara Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Zahid berjaya membuatkan populariti Nita tidak pernah pudar, namun jauh di sudut hatinya, bukan cerita seperti itu yang diharapkan tuan empunya diri untuk terus bertahan di dalam bidang ini.
"Sebab itu saya lebih suka 'mendiamkan' diri saja sejak kebelakangan ini. Ramai juga yang bertanya kenapa saya agak senyap, tetapi saya lebih selesa seperti ini...lagipun album terbaru pun belum ada.
"Saya tidak mahu asyik kisah cinta saja yang keluar, kalau boleh saya lebih suka cerita tentang karier saya yang diperkatakan," ujar Nita yang ditemui pada sidang media sempena Minggu Setiausaha anjuran Me & U Creative di Bora Ombak, Ampang, baru-baru ini.
Namun, anak jati Kuala Lumpur ini tidak patah semangat dengan apa yang berlaku. Malah, tutur Nita, dia tidak pernah menyesal bergelar anak seni dan sanggup meninggalkan karier sebagai penyanyi kelab dulu.
"Saya masuk dalam bidang ini ialah untuk merealisasikan niat ibu saya sendiri dan saya juga ingin lihat sejauhmana saya boleh pergi di dalam industri ini.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana berada di bawah pengurusan 8 Unit yang banyak membantu saya survive. Mereka sentiasa akan carikan show untuk saya setiap bulan," kata Nita.
Tambahnya lagi, dia juga mempunyai perancangan tersendiri untuk menaikkan semula kariernya. Salah satu daripadanya ialah untuk menghasilkan album sendiri sebaik kontraknya dengan syarikat rakaman, Suria Records tamat (SRC) pada bulan Jun depan.
"Sekarang ini saya sedang kumpul duit dan Insya-Allah, jika ada rezeki saya akan cuba hasilkan album sendiri. Rasanya lebih senang lakukan sendiri kerana saya boleh buat ikut kehendak saya.
"Tetapi saya sedar, bukan mudah untuk hasilkan album apatah lagi dengan jualan album yang amat lembab sekarang. Saya pun tidak mahu terburu-buru dan buat album tangkap muat saja.
"Buat masa ini, saya belum terfikir konsep yang macam mana ingin saya ketengahkan. Jika dulu, jiwa saya lebih kepada rock, tetapi memandangkan faktor usia, saya rasa mungkin akan beralih kepada genre yang lain," kata Nita.
Bercerita tentang Minggu Setiausaha yang akan dijayakannya pada 22 April depan pada pukul 8 malam di Dewan Perdana Felda Jalan Semarak, kata Nita, dia bangga kerana berpeluang bergandingan bersama Faizal Tahir untuk acara itu.
"Sejak berkecimpung dalam bidang seni pada tahun 2005, inilah kali pertama saya beraksi di Minggu Setiausaha. Dan saya rasa bertuah sangat kerana digandingkan dengan Faizal, walaupun saya hanya sebagai artis jemputan saja.
"Saya harap, menerusi Minggu Setiausaha ini, ia akan jadi platform untuk saya 'keluarkan' semula diri saya daripada 'kepompong'," kata Nita yang juga merupakan duta produk pelangsingan Natural Cleanx Tea.
Nita akan menyampaikan tiga buah lagu pada malam tersebut manakala Faizal akan mempersembahkan lapan buah lagu.
Majlis yang akan dihoskan oleh Sharifah Shahira itu juga akan menyaksikan dua penyanyi kelahiran program realiti itu berduet sebuah lagu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: