KUMPULAN Meet Uncle Hussain bergambar bersama trofi dan replika cek selepas muncul juara bagi kategori Persembahan Terbaik dan Lagu Terbaik pada pertandingan akhir Hit 1 Musim ke-6. |
Bolot dua anugerah dalam Pertandingan Hits 1 RTM di Kuantan
LAGU Untukmu daripada kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) terus cemerlang di persada muzik tanah air apabila kali ini ia dipilih pula sebagai Lagu Terbaik Hit 1 di Pertandingan Akhir Hits 1 musim keenam terbitan RTM yang berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kuantan, Pahang, Ahad lalu.
Kemenangan itu membolehkan kumpulan ini membawa pulang hadiah wang tunai RM25,000 dan piala iringan.
Bukan itu saja, aksi mantap dengan gimik menarik iaitu menggunakan dua vokalis berbeza (seorang miming) di awal persembahan MUH membuahkan hasil apabila mereka dipilih sebagai pemenang pemenang Persembahan Terbaik yang menyediakan hadiah wang tunai RM5,000.
Tepukan gemuruh dan jeritan penonton tidak menghalang MUH untuk memberikan yang terbaik kepada hadirin sewaktu menghayati seni kata lagu yang cukup bermakna terutama sewaktu bait `dua hati yang tak mungkin bersatu'.
Ini adalah satu lagi pencapaian terbaik MUH selepas Lagu Untukmu dipilih sebagai Lagu Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) pada Januari lalu.
Tempat kedua di Pertandingan Akhir Hits 1 dimenangi lagu Marabahaya nyanyian Pop Shuvit yang membawa pulang wang tunai RM20,000, manakala lagu Tanpa daripada Sixth Sense menduduki carta lagu Paling Popular berdasarkan undian SMS pada malam itu dengan markah 36.3 peratus.
Semua hadiah disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Saffian Ismail.
MUH pada sidang media sejurus selepas majlis berakhir tidak sangka memenangi dua kemenangan serentak kerana persaingan yang cukup hebat dari finalis lain.
Lan, Taja dan Tass sependapat bahawa penyertaan mereka bukan sekadar untuk menang tetapi sebagai medan menguji penerimaan penonton terhadap muzik yang dibawakan.
"Kami yakin tanpa album, masih boleh pergi jauh dan peminat mampu menilai muzik kami. Kehadiran penyanyi berkumpulan hari ini semakin mendapat tempat di hati peminat seni suara," kata Taja yang bertindak menjadi jurucakap MUH.
Bagi Pop Shuvit, walaupun Marabahaya yang menjadi popular menerusi drama bersiri di sebuah stesen TV swasta iaitu Impak Maksima Vs Mat Rempit sekadar muncul tempat kedua, mereka tetap berbangga kerana lagu itu antara lagu lama terpilih dalam senarai carta.
"Bagi kami, kemenangan buka `trend' muzik hari ini tetapi penerimaan peminat lebih diutamakan dan juri malam ini membuktikan bahawa kumpulan seperti kami sedang menguasai dunia muzik tanah air," kata vokalisnya, Moots.
Pop Shuvit terlebih dulu mencipta nama di Jepun, Thailand dan Singapura dengan gabungan muzik hip hop dan rock. Mereka juga dipilih sebagai penerima Anugerah Kembara di Anugerah Industri Muzik Ke-15 (AIM15) kerana berjaya mencipta nama ke peringkat antarabangsa. Enam lagu lain yang turut bersaing di Pertandingan Hits 1 RTM dengan mempertaruhkan nama besar penggubah dan penulis lirik ialah Cinta Si Rama-Rama nyanyian Hattan dengan iringan gitar Edrie Hashim sebagai penggubah dan penulis lirik; Bila Aku Sudah Tiada nyanyian Hujan (Noh Hujan/Noh Hujan); Panas nyanyian Ifa Raziah (Cat Farish/Cat Farish); Nyata dan Maya yang disampaikan Projek Pistol (Edrie Hashim/Ad Samad); Tiada Maaf nyanyian Daniel Lee (Johan Farid Khairuddin (JFK) & Omar K/JKF & Omar K) dan Puteri Cinta Hati nyanyian Kumpulan Kristal (Razlan/Razlan & Sheilance).
Pertandingan akhir itu yang diterbitkan oleh Nurkhuzaimah Abd Aziz menggandingkan Nabila Huda dan E'one sebagai pengacara dan peserta diadili oleh Shafinaz Selamat, Sharon Paul, Iman Wan, Jari dan Johari Teh sebagai ketua juri disiarkan secara langsung menerusi TV2.
Pertandingan ini turut diserikan dengan persembahan daripada penyanyi dan pemuzik jemputan seperti Ramli Sarip, Man Kidal, Lah Ahmad dan Nurul.
Hits 1 adalah rancangan pertandingan carta lagu Melayu popular yang diadaptasikan daripada Carta Radio Muzik FM pada setiap minggu.
Lagu yang dicalonkan, akan berkumandang dan menjadi pilihan ramai di stesen radio Muzik FM akan dicalonkan untuk bertanding di dalam rancangan Hits 1 dengan menggunakan klip video yang disiarkan di TV.
Hits 1 musim keenam bukan saja bersiaran langsung dari studio malah memilih lokasi menarik seperti Lumut, Perak; Kemaman Terengganu dan Miri, Sarawak. Program ini memperlihatkan sokongan padu penonton yang tidak pernah jemu mengundi lagu kegemaran mereka untuk layak ke peringkat akhir.
Hasil undian penonton, Hits 1 berjaya membariskan 10 lagu paling popular yang mendapat undian tertinggi pada setiap pusingan (satu daripadanya menarik diri).
Finalis Hits 1 kali ini meletakkan 6 kumpulan berentap bersama artis seorang solo wanita dan lelaki dan duo yang turut menjanjikan yang terbaik.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: