Monday, March 30, 2009

Dengarnya...: David Archuleta berkunjung ke Malaysia


KETIKA ini, Cik Normah memang tidak melepaskan peluang menonton rancangan American Idol musim kelapan. Maklumlah, pesertanya hebat-hebat belaka. Malaslah Cik Normah hendak membandingkan pesertanya dengan peserta rancangan nyanyian negara ini. Nanti orang mengata Cik Normah mengagungkan produk luar pula.

Masalahnya, memang mereka meletup! Suara dan keyakinan diri mereka sangat terpuji. Sebab itu Cik Normah rajin menonton program itu. Pendek kata, kalau tak sempat nak tengok siaran langsung, Cik Normah tunggu pula siaran ulangan. Yang penting, Cik Normah tak terlepas menonton mereka menyanyi, terutama Adam Lambert dan Allison Iraheta, dua peserta kesukaan Cik Normah musim ini.

Musim lalu, Cik Normah ‘gila’ pada si remaja David Archuleta. Sayangnya, peserta pujaan Cik Normah itu hanya mampu menduduki tempat kedua. Dia kalah pada David Cook. Tak apalah, paling penting, Cik Normah puas hati sebab sudah pun memilik album sulung anak muda berusia 18 tahun ini.

Lebih menggembirakan Cik Normah, David akan berkunjung ke Malaysia pada 8 hingga 12 April ini, bagi mempromosikan album sulung yang menggunakan namanya sebagai judul. Khabarnya, selain sesi bertemu peminat, wartawan, bertemu bual di radio dan TV, dia juga akan mengadakan persembahan di Sunway Lagoon, pada 11 April, jam 3 petang.

David berada di ibu kota bagi menjayakan siri promosi album terbabit di rantau Asia pula, selepas penat menjelajah di negara sendiri, sepanjang tahun lalu. Menerusi album pertamanya itu, dia kini popular dengan lagu Crush dan A Little Too Not Over You.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: