|
|
KONSERT minggu ketiga rancangan realiti popular, Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) yang melabuhkan tirainya Sabtu lalu menyaksikan naratif yang bukan baru apabila menyingkirkan dua pelajarnya serentak iaitu Rini (Zuzafrini Zulkifli) dan Obri (Ahmad Sobri Hasmuni).
Melihat kepada transformasi yang cuba diketengahkan pada musim kali ini, seharusnya tidak memandang hanya kepada perubahan yang nampak ketara secara drastik pada luarannya sahaja.
Sudah pasti tenaga pengajar terutama pengetuanya, Datin Seri Tiara Jacquelina punya agenda dan inisiatif tersendiri dalam membentuk barisan pelajar yang bukan setakat mampu menyanyi tetapi juga mampu menghibur dan menjiwai setiap lagu yang disampaikan.
Berbalik kepada konsert minggu lalu, mungkin masih ramai yang tertanya-tanya di mana letaknya cabaran buat para pelajar AF7 apabila kesemua mereka bagaikan 'terperangkap' dalam tema lagu-lagu era 80-an yang santai tanpa menguji kemampuan vokal mereka.
Apatah lagi, hampir kesemua pelajar AF7 mempunyai suara yang baik malah, ada diantara pelajar AF7 seperti Isma, Claudia dan Rubisa sudah pun mempunyai asas nyanyian sebelum ini.
Turut mempertikaikan hal itu ialah pengkritik tetap, Adlin Aman Ramli. Ketika mengkritik persembahan Rubisa, Adlin dengan lantang menyuarakan bahawa pemilihan tema sedikit membantutkan proses pembelajaran para pelajar.
"Malam ini saya tengok macam lambat sikit, seperti ditarik hand brake sebab konsert pertama saya tengok okey tapi malam ini nyanyian biasa sahaja dan tema pun tidak memberi cabaran.
"Kita memang nak tengok persembahan setiap minggu tetapi dalam masa yang sama kita kena cari ikon penyanyi yang lebih baik daripada sebelum ini jadi tak perlulah tarik hand brake," kata Adlin.
Namun, ketika ditemui pada sidang media sujurus tamat konsert tersebut, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul memberitahu pemilihan tema pada setiap minggu adalah sebagai menuruti format AF7 dalam melakukan transformasi.
"Untuk minggu ini kita cuba transformasi cara penghayatan para pelajar, ternyata ada beberapa pelajar yang dapat menyanyi dengan baik dan jadikan lagu yang mereka nyanyikan seperti lagu mereka sendiri.
"Walaupun mereka bukan dilahirkan di era 80-an, tetapi mereka dapat menghayati lagu-lagu yang diberikan," katanya.
Mencari kelainan, menurut pengetuanya sendiri, minggu lalu metode pembelajaran dilakukan berbeza daripada minggu-minggu sebelumnya agar penyerapan, penjiwaan dan penghayatan mampu dikuasai oleh barisan pelajar.
"Pada minggu ketiga ini kami bersetuju untuk melihat penceritaan dalam lagu itu sampai. Lagu-lagu pada minggu ini kesemuanya ada cerita yang tersendiri jadi, tema ini dibuat untuk melihat sama ada sampai atau tidak.
"Sebab itu kali ini kami tukar kaedah belajar bermula dengan kelas cikgu Ida, kita cuba dapatkan penghayatan daripada mereka.
"Kemudian baru kita belajar melodi dan lagu dengan cikgu Shafi dan cikgu Siti Hajar dan seterusnya diisi dengan elemen lain seperti tarian," katanya.
Sukar pilih pelajar cemerlang
Peningkatan demi peningkatan terhadap mutu persembahan dan nyanyian membuatkan barisan tenaga pengajarnya sukar menentukan siapa yang bakal dinobatkan sebagai pelajar cemerlang setiap minggu.
Biarpun tidak menunjukkan peningkatan yang begitu ketara, namun, kata Tiara, asalkan pelajar itu ada peningkatan sepanjang minggu dan mampu mengaplikasikan setiap yang diajar dalam persembahan, maka mereka berpeluang menjadi pelajar cemerlang.
"Bagi kami di akademi, memang kami nampak banyak sangat lonjakan daripada semua pelajar. Mereka mengisi lagu yang dinyanyikan lebih daripada bawa melodi semata-mata.
"Kami juga bangga dengan peningkatan yang ditunjukkan oleh semua pelajar, sehinggakan sampai satu tahap agak susah kami nak memilih siapa di kalangan mereka sebagai pelajar terbaik.
"Seperti Yazid, memang kami terkejut dia boleh buat persembahan dengan baik minggu ini berbanding minggu-minggu sebelum ini," kata Tiara lagi.
Nasib Rini dan Obri
Seperti yang umum sudah ketahui, Rini, 25, dan Obri, 24, adalah pelajar AF7 yang dikeluarkan serentak pada konsert minggu ketiga Sabtu lalu.
Mereka menuruti langkah penyanyi Nas Adila yang menjadi pelajar AF7 pertama yang disingkirkan.
Lambat keluar dari kepompong ibarat padah buat Obri yang berasal dari Johor Bahru itu kerana dua minggu berturut sebelum ini dia tidak henti menerima kritikan pedas daripada pengkritik rancangan itu.
Dia yang menyanyikan lagu Abang Beca dendangan asal Broery Marantika, bagaimanapun berjaya keluar daripada kepompongnya apabila berjaya mencuri tumpuan penonton dengan aksi persembahan yang menghiburkan.
Mahu mempelajari segala ilmu daripada barisan tenaga pelajar, membuatkan Obri tidak mahu memikirkan tentang penyingkiran biarpun sering dikritik tentang persembahannya.
"Sebenarnya, saya memang tak jangka akan keluar pada malam ini kerana dalam otak saya sentiasa fikir nak belajar.
"Tentang kritikan, bagi saya itu bukanlah isu yang besar kerana ia bukanlah sesuatu yang boleh menjatuhkan sebaliknya membantu untuk saya buat lebih baik," katanya.
Sementara itu, Rini yang menyampaikan lagu Seloka Cinta Remaja yang dipopularkan oleh Seha pada malam konsert lalu tidak meletakkan harapan yang tinggi dalam AF7.
"Sebaliknya, saya letakkan diri sebagai pelajar yang mahu cuba mengumpul seberapa banyak peluang dan ilmu yang diajar oleh cikgu-cikgu AF.
"Saya terima hakikat bahawa rancangan realiti TV memang begini, jadi tidak mahu letak harapan yang tinggi," katanya.
Dengan penyingkiran itu, 11 pelajar yang bakal meneruskan perjuangan ialah Akim, Aril, Hafiz, Sidi,dan Yazid.
Pelajar lain adalah Qhaud, Claudia, Isma, Zizi, Rubisa dan Aishah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: