KESUKARAN menjadi wanita cantik adalah apabila tubuh mula berisi. Sedikit sahaja ia macam satu skandal negara. Masih berada dalam kategori saiz kosong, penambahan berat badan Eva Longoria menjadi bahan bualan.
Bertubuh hampir sempurna, Eva yang pernah mendapat jolokan Antara 100 Wanita Tercantik meletakkan punca kegemukan itu ke atas Gabrielle Solis, wataknya dalam Desperate Housewives. Transisi karakter itu sekarang membawanya kepada sedikit perubahan fizikal. Lima tahun berlalu, Gabrielle kini sudah mempunyai dua orang anak.
"Saya sukakan keadaan itu kerana untuk persiapan rambut dan tata rias, ia hanya memakan masa 10 minit. Tidak seperti sebelumnya, dua jam!"
Ramai yang suka untuk terus mengikuti keletah dan kegedikan seorang Gabrielle. Eva malah membuatkan karakter Gabrielle punya peminat tersendiri. Kecil molek dan sentiasa mengikuti pergerakan fesyen, Gabrielle dilihat sebagai wanita yang ada ketegasan diri.
Untuk musim kelima yang baru bermula di saluran 8TV pada setiap hari Rabu pukul 9.30 malam, Gabrielle berhadapan dengan masalah harian menjadi seorang isteri dan ibu.
Gabrielle seolah-olah terikat dengan Eva namun Eva cuba memperlihatkan karismanya sebagai seorang pelakon dengan mempelbagaikan watak melalui filem. Antara filem lakonannya ialah Over My Dead Body, The Heartbreak Kid dan The Sentinel.
Menjadi wanita cantik dan terkenal perlu membayar harga yang tinggi. Selain kenaikan berat badan, isu rumah tangga dan anak turut dijadikan bahan gosip. Jawapan isteri Tony Parker ini mudah.
"Ada sahaja orang mahu bertanyakan soalan. Sewaktu bercinta, orang akan tanya bila mahu kahwin? Bila sudah kahwin, orang tanya bila mahu dapat cahaya mata?
"Bila sudah dapat anak, orang tanya pula bila mahu bercerai? Jadi saya rasa, saya anggap diri saya bertuah kerana masih di fasa 'Bila mahu dapat anak?'," katanya.
Kata Eva lagi, dalam rumah tangga dirinya umpama tukang kebun dan suaminya adalah bunga yang sedang dijaganya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: