ANTARA sedar atau tidak, Watie Elite atau nama sebenarnya Norwati Sadali merupakan antara pelakon drama paling laku saat ini. Setiap kali siaran televisyen ditukar, dalam hampir semua drama yang ditayangkan akan membabitkan wanita ini.
Nyata kontroversi tidak membunuh dirinya. Pada usia 33 tahun, janda seorang anak yang kini berusia lima tahun, Afif Daniel ini melangkah semakin pantas. Katanya, dia harus lebih giat bekerja demi masa depan anak lelakinya.
Sedang sibuk di lokasi drama Sanggar Cinta Raudhah, Watie berkongsi cerita kepentingan duit dan dihimpit lelaki muda.
Anda sekarang semakin ligat berlakon drama. Ini bermakna dunia nyanyian sudah memang tak wujud lagi?
Alhamdulillah, memang rezeki berlakon tak pernah putus. Hidup saya sekarang memang hanya untuk bekerja, sudah tidak macam dulu lagi. Saya sibuk cari duit. Tapi dalam masa yang sama, saya pun pelik sebab masih ada tawaran menyanyi datang.
Saya sudah lama tak menyanyi, tapi ada yang panggil buat persembahan di hotel-hotel untuk majlis tertutup. Jumlah bayaran yang diberikan pun mencecah ribuan ringgit. Seronok juga.
Ligat berlakon, sebenarnya apa yang anda kejar? Nama atau duit?
Mestilah duit. Saya tak nak hipokrit. Memang saya bekerja untuk dapat duit kerana ia penting dalam kehidupan saya. Lagipun saya ibu tunggal, saya perlu bekerja untuk menampung kehidupan saya.
Dulu saya selalu juga selit-selit curi berlakon banyak drama dalam satu masa sebab nak duit lebih. Tapi saya sedar, saya tak boleh pentingkan diri dan menyusahkan orang lain. Jadi sekarang saya hanya fokus pada satu produksi sebelum ambil projek baru.
Apa yang buat anda jatuh cinta dengan dunia lakonan?
Sebab selain boleh menjadi orang lain dengan karakter-karakter yang diberi, saya juga dapat berasa pergi ke tempat-tempat yang tak akan saya pergi jika tidak berlakon, misalnya masuk dalam penjara.
Paling saya suka juga dunia ini banyak memberi pelajaran kepada saya. Saya mengenal banyak warna manusia melalui dunia ini.
Bagaimana dengan penerimaan peminat? Maksudnya peminat yang selalu datang kepada anda daripada golongan yang macam mana?
Yang ini pelik sikit. Saya rasa ia macam satu kitaran. Banyak peminat yang datang kepada saya ialah lelaki muda. Mereka nak berkenalan dan macam-macam lagi. Kadang-kadang ada yang jurang usia lima hingga 10 tahun lebih muda. Mereka tak tahu ke saya dah tua?
Kenapa begitu skeptikal dengan lelaki muda?
Saya memang tak boleh. Saya sudah anggap mereka seperti anak buah. Lagipun saya dah penat dengan dunia lama. Saya takut kalau bercinta dengan lelaki muda, yang kurang matang, saya pun jadi macam mereka nanti.
Bayangkan kalau waktu itu, saya sudah 40 tahun dan pasangan saya baru 30 tahun, dia baru nak mengenal dunia? Tidak selari. Entahlah saya hanya berdoa kepada Tuhan agar tidak dipasangkan dengan lelaki muda.
Jadi selera lelaki anda bagaimana?
Saya suka yang abang-abang. Saya suka lelaki yang bercakap dengan lembut.
Macam kekasih anda sekarang?
Lebih kurang. Kami sudah tiga tahun bersama. Tapi saya tak berani nak cakap lebih-lebih. Malu, takut tak jadi. Dia pun lebih tua daripada saya. Usia dia 36 tahun dan masih bujang. Yang penting dia abang-abang.
Mahu kahwin lagi atau sudah serik dengan lelaki?
Serik? Ada juga hajat, tapi biarlah Tuhan menentukan jodoh saya kelak. Saya tak kisah sangat hal kahwin sebab saya sudah pernah berasa dua kali berkahwin. Saya pernah jadi isteri dan kini menjadi seorang ibu. Saya dah lalu benda ini, jadi saya serahkan pada Tuhan kelak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: