Sunday, March 1, 2009

Akhirnya kahwin orang Melayu

Penyanyi Liena Hangat atau nama sebenarnya Norazlina Abdul Rahman, 37, akan berkahwin dengan lelaki Melayu bujang, Mohd. Zaipul Bahri Ghazali, 35, pada 8 Mac ini. Majlis akad nikah akan diadakan pada sebelah pagi di Masjid Negara manakala resepsi perkahwinan mereka di restoran Bora Ombak, Ampang pada sebelah malamnya. Ini merupakan perkahwinan kedua Liena selepas Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 6 Ogos 2008 membenarkan tuntutan fasakhnya untuk bercerai dengan lelaki Perancis, Muhammad Jamal Delaloy Abdullah.

Tuntutan itu dibuat selepas Liena digantung tidak bertali selama empat tahun. Mereka berkahwin pada 21 Ogos 2002 di Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Selepas habis edah, Liena membuat keputusan untuk berkahwin dengan Mohd. Zaipul yang berasal dari Kok Lanas, Kelantan.

Mengenali Liena sejak 16 tahun lalu, saya tidak pernah melihat lelaki Melayu menjadi kekasihnya.

“Cita rasa saya tetap dengan lelaki mat salih. Tak akan kahwin dengan orang Melayu,” begitulah kata-kata Liena suatu ketika dulu yang masih saya ingat.

Tetapi hari ini Tuhan menemukan beliau dengan lelaki Melayu yang dia tidak pernah impikan. Kenapa? Adakah sudah serik dengan mat salih yang telah menghancurkan hatinya?

Liena membuat penjelasan kepada saya, NIEZAM ABDULLAH berhubung perkara itu ketika berkunjung ke pejabat Mingguan Malaysia, Selasa lalu.

Mungkin ramai yang tak tahu macam mana Liena boleh jumpa Zaipul?

Sebenarnya saya jadi duta untuk Havana Salon di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Zaipul selalu datang ke restoran yang dekat dengan salon tu. Dari situlah kami kenal dan berkawan.

Macam mana boleh jatuh cinta?

Entahlah... Mula-mula kenal tu tak ada perasaan langsung dengan dia. Yelah... semua orang tahu yang saya ni suka mat salih. Tapi tu la... mungkin Allah nak bukakan hati. Kita tak boleh nak kata apa la.

Sebelum ni Liena tak pernah suka orang Melayu (untuk buat suami). Kenapa tiba-tiba pintu hati boleh terbuka? Apa puncanya?

Masa saya berborak dengan Zaipul mengenai masalah rumah tangga saya, dia beri jalan. Dialah orang yang suruh saya buat tuntutan fasakh di mahkamah. Dia kata takkan selamanya saya nak jadi macam ni (biarkan digantung tak bertali). Lama-lama bila saya fikir betul juga kata Zaipul ni dan terus buat tuntutan fasakh. Tak lama lepas tu Zaipul kata saya dah tua lebih baik kahwin lain. Entah macam mana nak jadi cerita, Zaipul mengaku yang dia suka dekat saya. Dari situlah pintu hati saya terbuka.

Jadi dah boleh terima orang Melayu?

Inilah kebesaran Allah. Dia dah buka pintu hati Zaipul dan pintu hati saya. Walaupun pada mulanya hubungan kami selalu saja “panas” dan tak sependapat tapi saya tak kisah. Ini mungkin dugaan terhadap saya. Bukan mudah nak ubah keinginan daripada lelaki mat salih kepada orang Melayu. Benda ni dah lama bersarang dalam hati.

Liena tak rasa macam sudah ludah jilat balik? Yalah... dulu tak suka orang Melayu tetapi sekarang orang Melayu juga jadi suami.

Saya tak sukakan orang Melayu sebab dalam sejarah percintaan saya, orang Melayu banyak lukakan hati saya. Sebab itulah taste saya beralih kepada orang bangsa asing terutamanya mat salih. Tapi bila kahwin mat salih, tak kekal juga. Mungkin ada hikmah Tuhan temukan saya dengan Zaipul ni. Syukurlah, keluarga dia pun boleh terima saya.

Tak rasa Liena dah buat keputusan yang silap dan menyesal dengan ungkapan dulu tu?

Keputusan berkahwin kali kedua ni tak silap. Ia keputusan yang baik. Keluarga saya pun bertambah suka. Mengenai ungkapan dulu tu, saya mengaku ia salah saya. Bila fikir balik saya mengaku memang dulu tu memang mulut celupar buat kenyataan yang tak sepatutnya. Benda ni mengajar saya supaya lain kali jangan suka cakap lepas. Kita juga jangan takbur atau angkuh. Itu saja.

Apa yang best mat salih berbanding orang Melayu?

Banyak beza Melayu dan mat salih. Orang Melayu ni banyak peraturan dan adabnya. Mat salih tak ada macam tu. Tapi mat salih romantik dia lain macam sikit. Tapi nasihat saya kalau nak kahwin mat salih, biarlah dia orang tu tinggal bersama kita di Malaysia. Senang nak ajar dan didik dia. Beza pada orang Melayu pula sebab tak susah sangatlah nak membentuk keluarga kerana agama Islam sudah dipelajari sejak kecil.

Adakah selepas digantung tak bertali baru nak serik? Empat tahun pula tu dia buat tak tahu?

Bukan soal serik. Kalau boleh pilih pun saya nak juga kahwin mat salih. Cuma ada sebab Allah temukan saya dengan orang Melayu beragama Islam. Manalah tahu kalau dengan bangsa asing hidup kita ni akan terpesong jauh? Cuma selama ni saya berdiam diri sebab saya malu kerana perkahwinan itu tak kekal. Takkan saya nak tipu bagi tahu rumah tangga kami bahagia sedangkan masa tu suami dah tak balik rumah.

Orang tua di Johor kata apa bila Liena buat keputusan kahwin kali kedua ni?

Mereka gembira sangat. Ayah saya orang yang sangat happy bila saya bagi tahu dia hajat ni. Ayah kata kahwin dengan orang Melayu senang sikit. Dia (bakal suami) boleh ajar agama. Ayah pun pernah juga pesan tak bagi saya berhubung dengan bekas suami sekiranya ditakdirkan lelaki itu nak berbaik semula dengan saya.

Adakah selepas mengenali Zaipul ni Liena dah tinggalkan segala-galanya. Maksud saya selama ni Leina sosial sikit.

Syukurlah... saya sekarang dah berubah. Dah tak main la nak pergi disko-disko ni. Kita dah tua. Sekarang ni nak kerja, cari duit dan membahagiakan keluarga. Cukup-cukup la benda yang dah lepas tu. Alhamdulillah, Zaipul pun banyak bagi nasihat yang baik buat saya.

Apa yang Liena harapkan terhadap perkahwinan ini?

Saya mahu perkahwinan ini yang terakhir buat saya. Saya mahu kebahagiaan dalam rumah tangga kali ini. Saya tahu jodoh saya kali ini adalah kerana Allah itu masih sayangkan saya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: