KOTA BHARU - Peniaga di sekitar Kota Bharu mengakui terbeban dengan kenaikan harga gula memandangkan kos hidup semakin meningkat.
Tinjauan Sinar Harian mendapati, rata-rata peniaga merungut dan mengharapkan kerajaan dapat mengkaji semula keputusan menaikkan harga gula di pasaran, ditambah pula dengan penyusutan nilai ringgit,
Seorang peniaga kuih muih, Noorhasmawati Abdullah Sabirin, 33, berkata, keadaan ekonomi dan kenaikan harga barang menyebabkan dia terpaksa mencari stok bekalan gula di merata tempat.
Ini memandangkan bekalan gula di pasar raya dan kedai runcit semakin berkurangan dan kadang kala ada kedai yang tidak mempunyai stok bekalan gula.
“Ini menyebabkan kami terpaksa mencari di merata tempat dan ada ketikanya terpaksa ke luar kawasan. Walaupun harga mahal namun kami terpaksa beli kerana ingin berniaga," katanya.
Seorang lagi peniaga, Mohd Zuhairi Mat Jaya, 36 berkata, sejak tahun lepas lagi dia sudah amat terasa dengan kenaikan harga satu-persatu barangan runcit.
“Sudah lebih lima tahun saya berniaga dan sejak tahun lepas saya merasa agak terbeban. Kini, kenaikan harga gula juga menyebabkan kami terpaksa menanggung kos yang kian meningkat sedangkan kuih masih dijual dengan harga sama untuk menjaga pelanggan.
“Jadi keadaan ini juga memberi tekanan kepada kami sebagai peniaga kecil-kecilan. Apa pun kami harap agar kerajaan dapat memantau dan melihat kos kehidupan penduduk supaya harga barangan runcit tidak dinaikkan sewenangnya oleh peruncit," katanya
.