SEJAK membintangi drama Juvana pada tahun 2011, nama Johan As'ari mula mendapat tempat tersendiri di ruang industri seni.
Namun di sebalik karakter antagonis yang sering dibawanya, lelaki berusia 30 tahun ini sebenarnya mempunyai latar belakang dalam bidang agama.
Bagaimanapun pemilik nama sebenar Johan Ariff As’ari tidak pernah membangga diri dengan kelebihan yang dimilikinya.
Sebaliknya anak kedua dari empat adik beradik ini berkata, dia sentiasa memperbaiki diri dan menambah ilmunya dari sehari ke sehari.
"Kunci untuk menghafaz al-Quran adalah disiplin. Kalau ada kelapangan atau seorang diri saya suka membaca al-Quran, daripada duduk rumah tak buat apa-apa boleh juga saya mengulang kaji.
"Alhamdulillah banyak surah lazim yang saya suka seperti, Al-Ashr, Al-Kafirun, Al-Ikhlas, dan Juz' Amma. Jadi itulah antara surah-surah lazim yang saya gemar baca.
"Manakala juz yang saya betul-betul hafal ialah surah Al-Baqarah, tapi masih banyak lagi yang perlu saya perbaiki,” ujarnya yang juga gemar menghafal ketika berada di dalam kereta.
Ditanya mengenai dirinya yang gemar berkongsi video rakaman sedang bertadarus al-Quran menerusi akaun Instagram, Johan menjelaskan, dia berbuat demikian untuk menggalakkan pengikutnya berbuat perkara sama.
"Selain video mengaji, saya sering berkongsi foto aktiviti-aktiviti lakonan saya, jadi apa salahnya sekali sekala saya memuat naik video aktiviti kegemaran saya iaitu mengaji al-Quran. Benda baik, tidak salah untuk dikongsi," jelasnya.
Berkongsi pengalamannya dalam bidang agama, Johan berkata, dia mengambil keputusan untuk meneruskan pengajian agama dengan lebih mendalam di sekolah pondok Jambi, Indonesia pada usia 20 tahun.
“Memang sejak kecil selepas sesi persekolahan pada sebelah pagi, saya akan ke kelas fardhu Ain dan al-Quran (Kafa) pada sebelah petang dan ketika itu saya sudah membaca dan mengenali al-Quran.
"Kemudian saya memasuki sekolah berasrama penuh dan seterusnya melanjutkan pengajian ke institut Kolej Latihan Telekom (Kolej Multimedia) dalam bidang perniagaan.
“Pun begitu melalui bidang yang diambil membawa saya ke Jambi, Indonesia. Ketika berada di sana, saya mengambil kesempatan meneruskan pengajian agama di Pondok Pesantren As Syuhada di Kecamatan, Tanah Sepenggal Bungo, lebih kurang setahun.
"Keputusan itu dibuat bukan atas desakan atau pun saranan keluarga, sebaliknya ia datang daripada diri saya sendiri.
"Alhamdulillah, sokongan ibu bapa memang sudah konkrit sejak awal lagi. Mereka sentiasa memberi galakan kepada anak-anak," katanya.
Tambah Johan, selepas pulang dari sekolah pondok, Johan mengakui merasakan ada perubahan ketara pada dirinya apabila mengamalkan al-Quran dalam kehidupan sehariannya.
“Ibarat seperti kita sedang makan menu yang tidak pernah dicuba lagi. Apabila kita makan menu itu, kita teringin nak makan lagi disebabkan ada khasiatnya. Jadi kita pun amalkan pemakanan tersebut.
“Begitulah perumpamaannya, bila membaca al-Quran kita dapat rasa keseronokan dan khasiatnya. Nak jelaskan lebih lanjut susah sikit namun kita hendaklah mengamalkannya," jelasnya.
Perjuangan dakwah menerusi lakonan
Lazimnya selepas mengikuti pengajian tahfiz mahupun al-Quran, karier seperti penceramah, pendakwah bebas, ataupun pensyarah merupakan antara kerjaya pilihan untuk meneruskan perjuangan dakwah.
Bagaimanapun Johan percaya dengan pendekatan di lapangan seni, perjuangan dakwah juga boleh diteruskan.
“Bagi saya perjuangan dakwah ini sangat diperlukan sejak ramai yang mensyiarkan Islam. Jadinya platform yang saya ada sekarang ini mungkin orang lain mungkin tidak ada. Dengan kelebihan yang ada ini, dapatlah saya berhubung dengan jutaan orang.
“Oleh itu, saya harus pilih yang terbaik. Kalau saya pergi belajar ke Mesir dan lupakan karier saya dan pulang ke tanah air nanti, mungkin peminat saya sudah berkurangan. Jadi, inilah yang terbaik untuk saya meneruskan dakwah dalam bidang lakonan.
“Setiap cabang adalah ibadah, kita mungkin tak ada rezeki nak jadi Hafiz, tetapi masih berpeluang untuk berbakti di dalam bidang agama.
“Inilah takdir saya sebagai seorang pelakon dan kelebihan yang ada sekarang ini saya tambah dan usahakan lagi, manakala kelemahan yang saya ada ini saya perbaiki.
“Apa yang kita tahu semua ini adalah di dalam pengetahuan Allah. Itulah perjalanan saya, mudah-mudahan saya dapat kekal sebagai seniman,” katanya.