Friday, March 7, 2014

Hilang ditonton 500,000 kali

NAJWA berazam untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.


SETELAH menjadikan cabang media baharu, YouTube sebagai platfom untuk mengetengahkan bakat dalam bidang nyanyian sejak tiga tahun lalu, Najwa Latif kini semakin matang dalam bidang nyanyian.
Kematangan tersebut dapat dilihat daripada segi susunan muzik dan gubahan lagu yang ditampilkan melalui single terbaharunya, Hilang.
Lagu rentak rock yang digunakan sebagai penambah perasa kepada single tersebut dilihat agak lari daripada konsep sebenar yang dibawa oleh Najwa sebelum ini iaitu akustik dan pop.
Percubaan tersebut dilihat berjaya setelah Hilang kini telah ditonton sehingga 500,000 kali sejak ia dimuat naik di dalam akaun YouTube penyanyi kelahiran Batu Pahat, Johor itu sejak bulan Februari tahun ini.
Gadis yang pernah popular menerusi lagu Cinta Muka Buku itu berkata, dia suka bereksperimentasi dan mencuba genre baharu dalam bidang muzik.
“Saya tidak mahu terikat kepada satu genre sahaja. Jadi, saya ingin meneroka genre baharu sesuai dengan perubahan semasa dan sekali gus bertindak sebagai pemangkin karier saya.
“Bagaimanapun, saya masih memperjuangkan genre akustik dan pop kerana ia telah sebati dengan saya,” ujarnya ketika ditemui pada majlis Forum Young Money Entrepreneurship Day Itinerary di Kolej SEGi, Kota Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Wang Lee Hom
Dalam pada itu, penyanyi berusia 19 tahun itu kini sedang sibuk dengan proses menyiapkan album keduanya yang dijangka akan diterbitkan menjelang hujung tahun ini.
“Saya kini sedang sibuk menyiapkan album kedua. Album tersebut yang memuatkan sepuluh lagu itu kini hampir 80 peratus siap.
FIGURA comel ini dalam proses menyiapkan album terbarunya.


“Menarik mengenai album kedua ini adalah ia merupakan album pertama yang memuatkan lagu Inggeris pertama saya iaitu Only Yours dan lagu berbahasa
Mandarin, Ni Bu Zhe Dao De Shi nyanyian asal penyanyi terkenal China, Wang Lee Hom,” ujarnya.
Ditebak dengan soalan mengenai kenapa memilih lagu Inggeris untuk dimuatkan dalam album terbaharunya, pemilik nama sebenar Imratul Najwa Abdul Latif itu berkata, dia sudah lama teringin untuk menerbitkan lagu Inggerisnya sendiri.
“Lagu Only Yours sebenarnya sudah lama disiapkan sejak saya umur 16 tahun lagi, tetapi saya masih menunggu masa yang sesuai. Ini kerana saya ingin peminat mengenali saya menerusi lagu-lagu berbahasa Melayu terlebih dahulu.
“Di samping itu, lagu Mandarin yang dipopularkan oleh Wang Lee Hom juga turut dimuatkan mengikut gaya dan penyampaian saya sendiri,” ujarnya.
Mengulas mengenai pembahagian masa antara bidang pelajaran dan pengajiannya, Najwa berkata buat masa sekarang dia cuba untuk seimbangkan kedua-dua bidang tersebut.
“Bidang nyanyian merupakan hobi dan minat saya tetapi pada masa yang sama, saya akui pelajaran sangat penting untuk masa depan saya.
“Saya juga akan berusaha untuk seimbangkan antara bidang pelajaran dan nyanyian walaupun saya sedar suatu hari nanti saya terpaksa memilih hanya satu bidang sahaja. Saya juga akan tetap menyanyi selagi peminat menghargai muzik saya,” tuturnya.
Dalam perkembangan yang sama, Najwa kini berada pada tahun akhir pengajiannya dalam bidang asas pengurusan di Universiti Antarabangsa Unitar (Unitar), Kelana Jaya, Selangor.
“Insya-Allah, saya akan tamat pengajian pada tahun ini dan akan menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi untuk mencapai cita-cita saya bergelar pensyarah bahasa Inggeris.
“Saya akui agak penting untuk mempunyai latar belakang pelajaran dan bersiap sedia demi masa hadapan saya,” ujar pelantun lagu Kosong itu.
Dalam pada itu, Najwa juga kini sibuk dengan jemputan nyanyian di Malaysia dan luar negara termasuk di Kluang Mall, Johor dan Brunei pada hujung minggu ini.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: