Friday, March 28, 2014

Deejay Red FM, Azura Zainal Bagi Tempoh Dua Tahun Timang Anak

azura zainal 1
Azura Zainal masih belum bersedia timang anak buat masa ini.
PETALING JAYA: Penyampai radio Red FM, Azura Zainal ingin melalui kehidupan berumah tangga bersama suami, Ibrahim Cristiano Genuino Da Silva terlebih dahulu sebelum memikirkan untuk menimang cahaya mata.

Azura, 33, berkata, pelbagai perkara yang ingin dia lakukan bersama suami dalam mengeratkan hubungan mereka manakala rancangan untuk mendapatkan cahaya mata ditetapkan dua tahun lagi.

"Setiap perkahwinan pasti lebih manis dengan kehadiran cahaya mata tetapi buat masa ini kami berdua ingin lebih banyak menghabiskan masa berdua dan melakukan pelbagai perkara bersama.

"Tentang anak kami merancang untuk tunggu dua tahun lagi namun sekiranya rezeki kami awal saya terima dengan hati terbuka," katanya kepada mStar Online.

Azura ditemui pada majlis pelancaran buku pertamanya berjudul Azura Zainal's Guide to Radio & TV Hosting di Kitchen Creatures di sini, Khamis.
Pasangan itu berkahwin dalam sebuah majlis sederhana di Restoran Subak, Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur pada 28 Disember 2013.
Dalam perkembangan sama, Azura berkata, pada peringkat ini juga dia ingin memahami budaya suaminya yang berasal dari Brazil dengan lebih mendalam.
Jelas Azura, menerusi cara itu ia akan dapat mengeratkan hubungan mereka suami isteri selain mewujudkan persefahaman yang lebih kukuh.
"Ibrahim sudah tujuh tahun berada di Malaysia dan pemahamannya tentang budaya orang Melayu dan Islam sangat banyak memandangkan kenalannya ramai dari kaum itu.

"Jadi sebab itu saya ingin memahami budaya dia pula supaya kami lebih memahami antara satu lain dengan lebih baik," jelasnya.
azura zainal 2
Azura bersama suaminya Ibrahim 
 
Tambah Azura, dia juga kini sedang dalam proses mempelajari bahasa Brazil-Portugis daripada suaminya.

Sementara itu, bercakap mengenai penerbitan buku pertamanya, Azura berkata, ia diterbitkan bagi berkongsi pengalamannya sendiri dan memberi inspirasi kepada golongan muda yang berminat untuk berkecimpung dalam bidang pengacaraan dan penyampaian radio.

Jelasnya lagi, buku berkenaan dihasilkan berdasarkan perspektifnya dan pengalaman selama 16 tahun dalam bidang pengacaraan dan sebagai penyampai radio dengan pendekatan tersendiri agar lebih dekat dengan pembaca tempatan.

"Kebanyakan buku mengenai tajuk sama lebih bersifat universal dan kebaratan malah belum ada yang benar-benar dihasilkan oleh penulis tempatan bersesuaian dengan senario di negara ini.

"Ini adalah salah satu usaha saya dalam memberikan sesuatu kepada masyarakat dari perspektif saya tentang dunia penyiaran di Malaysia dan pengalaman saya selama 16 tahun," ujarnya.

Kata Azura, dia mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan buku tersebut dengan bantuan seorang penulis, Michelle Yoon.

"Sukar sebenarnya untuk menulis sebuah buku dan saya bertuah kerana ada penulis berpengalaman membantu merealisasikan impian tersebut.

"Ia proses menyeronokkan dan pada masa sama memberi saya ilmu baharu," ujarnya.

Buku berkenaan dijual pada harga RM35.90 yang boleh didapati di semua rangkaian kedai buku MPH.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: