Sunday, March 30, 2014

Kuasa pemikat Tomok & Syarul


TOMOK dan Syarul ada rencana tersendiri dalam mengembangkan landasan karier masing-masing.


PADA mulanya, langkah kaki mereka tidak sama. Laluannya juga jelas berbeza. Masing-masing punya acuan tersendiri. Biar berlainan medium dan warna, namun, di satu titik, mereka bertemu di lembah yang sama. Lembah dramatik yang memacak tubuh untuk menjadi bahan rakaman.
Berdiri atas entiti bakat dan peluang, mereka bertembung membentuk rencah kehidupan yang sama untuk dikenali sebagai pelakon.
Itu lakaran yang dilalui oleh dua nama, daripada dua rangka masa berbeza. Boleh dianggap senior, Tomok yang berjinak-jinak dalam dunia lakonan terlebih dulu sudah memacu ke depan seiring bersama pelakon yang kian membina nama, Syarul Ridzwan.
Biarpun masih berstatus pelakon amatur, kerja mereka sudah menjentik pesona ramai. Buktinya, kedua-duanya diberi tanggungjawab membawa peranan besar menjayakan sesebuah naskhah.
Sudah pasti apabila masing-masing diberi peranan menggalas watak utama, semestinya mereka ada daya pemikat tersendiri.
Jika Tomok menjadi teraju utama drama Suamiku Jururawat, Isteriku Doktor, Syarul Ridzwan yang digandingkan sebagai muka depan Sensasi Bintang minggu ini pula mengemudi plot cerita Romi Cinta Julia.
Suatu masa dahulu, dua nama itu mungkin tidak pernah terlintas untuk diberikan watak hero, namun, peluang yang mereka ada kini digenggam erat.
Masakan tidak, Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, pada awalnya dikenali menerusi bakat suaranya.
Begitu juga dengan jejaka yang berdiri sebagai Mohd. Saharul Ridzwan Hashim bermula dengan dunia peragaan sebelum berjinak dalam pengiklanan komersial.
Tomok terbuka dikritik
Apa yang pasti, masing-masing ada rencana tersendiri dalam mengatur kerjaya seni yang menjadi periuk nasi mereka sekarang.
Bagi Tomok, dia merasakan bidang seni ini cukup luas untuk diteroka. Tidak mahu meletakkan diri hanya sebagai penyanyi, bapa kepada putera sulung, Arrianshah Akid, 2, itu mengakui dia ingin dilihat sebagai anak seni yang versatil.
"Kalau boleh saya nak orang kenal saya bukan sebagai penyanyi sahaja. Bidang seni ini mempunyai cabang yang cukup luas.
"Selain menyanyi, saya mahu orang juga kenal saya sebagai pelakon dan komposer," tuturnya yang menginjak usia 30 tahun.
Tempoh lebih sedekad dalam industri muzik tanah air sudah cukup bulat untuk Tomok dikenali sebagai penyanyi.
Namun, itu bukan penghalang buatnya untuk mencipta label baharu sebagai anak seni serba boleh.
Tidak pernah menganggap diri sebagai 'tamak' apabila mencuba semua bidang, Tomok merasakan peluang itu merupakan pintu rezekinya sekeluarga.
Pelakon filem Istanbul Aku Datang itu memberitahu, pada mulanya, ada rasa ragu-ragu yang menyelubungi diri sewaktu diberikan watak utama dalam sesebuah karya.
"Saya dikira agak baharu dalam dunia lakonan. Apabila digandingkan dengan pelakon yang lebih lama dengan saya menjadi hero dalam sesebuah drama, saya terkejut.
"Tapi, macam dalam drama Suamiku Jururawat, Isteriku Doktor, pelakon Yana Samsudin banyak membantu saya daripada segi cara menyampaikan sesuatu watak itu," kongsinya yang lebih suka belajar daripada pelakon yang berpengalaman.
Bercerita mengenai wataknya sebagai jururawat dalam drama arahan Eyra Rahman itu, Tomok berkata, watak itu agak mencabar.
"Watak saya dalam drama itu memerlukan saya tampil sebagai seorang yang kelakar sedikit. Ia agak berat untuk dilakonkan sebab saya sebenarnya agak pendiam dan serius orangnya," kongsinya.
Ditebak mengenai penerimaan penonton terhadap lakonannya, Tomok menjawab, respons yang diterimanya bersifat positif.
Malah, katanya, jika ada kritikan sekalipun, dia menerima dengan hati terbuka. Malah, kritikan itu dapat dijadikan panduan untuk dia memperbaiki segala kelemahan.
"Kalau ada orang mengkritik saya, itu bermaksud orang ambil kisah pasal saya. Daripada situ kita boleh perbaiki diri dan lakonan. Saya pun masih dalam fasa pembelajaran," jelasnya.
Biar seaktif mana sekalipun Tomok dalam bidang lakonan, nyanyian yang sudah meresap sebati terlebih dulu dalam jiwanya tidak akan diketepikan. Jika diberi peluang dalam kedua-dua bidang lakonan dan nyanyian, nyanyian tetap menjadi keutamaannya.
"Kalau boleh saya nak kedua-duanya bergerak seiring. Tapi kalau perlu membuat pilihan, saya akan utamakan nyanyian," katanya yang mahu menjadi anak seni serba boleh seperti Seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Dahulu model sekarang pelakon
Berbeza pula kisahnya dengan hero drama Romi Cinta Julia, Syarul. Berjinak-jinak sebagai model remaja dan pelakon iklan, si pemilik nama komersial Syarul Ridzwan itu sudah ada momentum tersendiri.
Bergiat dalam bidang seni sekitar dua tahun lalu selepas menyertai pertandingan Hero Remaja 2012, namanya kini kian meniti di bibir peminat.
Segala-galanya bermula sebaik pelakon berusia 25 tahun itu memegang watak Faizal menerusi drama Love You Mr. Arrogant.
Tatkala ramai lagi bintang yang jauh berpengalaman daripadanya untuk menjadi teraju utama sesebuah drama, Syarul menganggap peluang yang diberikan sebagai satu penghargaan buat dirinya.
"Saya terkejut sewaktu ditawarkan untuk bawa watak utama. Maklumlah, jika kita gagal bawa satu-satu watak itu, maka seluruh cerita itu tak akan menjadi. Bimbang watak dan mesejnya tak sampai kepada penonton pula," ujarnya yang wajahnya dikatakan mirip pelakon Aaron Aziz.
Anak kelahiran Kuantan, Pahang yang menjadikan Rosyam Nor sebagai idola itu memberitahu, biarpun masih baharu, dia bersyukur kerana dalam setiap produksi, dia banyak dibantu oleh kekuatan tenaga kerja yang berada di sekelilingnya.
Lebih-lebih lagi dengan heroin yang digandingkan bersamanya, katanya, perlu ada gandingan yang serasi.
Tidak pernah kisah jika digandingkan dengan mana-mana pelakon, Syarul mendedahkan, dia mahu bersikap profesional kerana baginya keserasian boleh dibentuk.
"Biasanya sebelum memulakan sesuatu babak, saya akan berlatih terlebih dulu. Kena saling berkomunikasi terutamanya dengan pelakon gandingan saya.
"Saya bertanya cara bagaimana watak itu hendak dibawa, baru boleh ada keserasian," jelasnya yang mengakui agak sukar membawakan watak romantik.
Menyentuh mengenai populariti yang diraihnya, Syarul berkata, khalayak lebih mengenali wataknya dalam drama berbanding nama sebenarnya.
"Pernah sewaktu saya keluar bersiar-siar, orang menyapa saya dengan nama Romi, bukan Syarul.
"Itu sudah dikira baik sebab orang mula cam muka saya menerusi watak yang saya bawa," tuturnya yang menamakan Shila Rusly sebagai individu yang bertanggungjawab membuka peluang kepadanya memegang watak utama menerusi drama Hujan.
Biar apa sekalipun watak yang diberikan, ujar Syarul, dia tidak pernah memilih.
Sama ada watak utama atau pembantu, katanya, masing-masing ada fungsi dan perlu dipersembahkan dengan baik.
"Setiap watak yang wujud itu ada sebab dan peranannya. Watak itu tak akan ada kalau tak penting, walaupun sebagai cameo sahaja," tutupnya Syarul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: