|
KOMPLOT dan berahsia bukan prioriti Mon Ryanti Muhammad Sahudina Lee. Ada seperkara yang dipegangnya untuk terus berahsia - tarikh perkahwinan.
Cukup baginya bercerita mengenai perihal perancangan, mahligai cinta idaman dan sinergi hidupnya dengan jejaka bernama Mohd. Hasrul Ali yang telah dikenalinya dua tahun lalu.
Jelas pendukung nama komersial Mon Ryanti, 26, ini biar tarikh itu menjadi tanda tanya buat masa sekarang kerana khuatir perancangan tidak melepasi ekspektasi yang diharap.
"Takut kalau terlalu teruja sampai bercerita semua perkara nanti tidak menjadi. Alhamdulillah, perancangan ke arah gerbang perkahwinan itu meliputi 40 peratus dan majlis itu insya-Allah akan berlangsung pada bulan September.
"Majlis pertunangan kami pula akan diadakan pada bulan Jun nanti di kampung saya di Johor Bahru, Johor dalam suasana sederhana saja," kata Mon membumi.
Mon yang hadir pada sesi fotografi eksklusif di Studio Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu, dia menginginkan sebuah perkahwinan yang bertemakan gaya Inggeris dan dihiasi bunga-bunga hidup.
"Saya sukakan tema Inggeris kerana ringkas tapi menawan. Pada masa sama, saya membayangkan majlis perkahwinan saya nanti akan dihiasi dengan warna lavender kerana itu warna kegemaran saya.
"Dalam perancangan kami, majlis nikah akan diadakan di Johor Bahru (Johor) manakala majlis resepsi akan turut diadakan di Kuala Lumpur (rumah pengantin lelaki)," tambahnya.
Menangis
Pasangan itu telah menghadiri kursus perkahwinan sekitar awal bulan Februari lalu selepas Hasrul, 26, melamar Mon pada hujung bulan Januari.
"Memang semuanya berjalan pantas sampai saya tidak terduga akan berkahwin dalam masa terdekat. Padahal, adik perempuan saya lebih dahulu dirancangkan bertunang sebelum saya.
"Hasrul melamar saya dalam kereta ketika kami hendak keluar makan malam di Subang Jaya. Jom kahwin katanya, kemudian saya membisu dan tidak memberikan sebarang respons kepadanya sama ada bersetuju atau tidak.
"Selepas dua hari saya berfikir panjang, saya menelefon mama saya memberitahu akan perkara itu. Ketika itu saya menangis tanpa henti," cerita Mon.
Hasrul merupakan kenalan rapat abang Mon dan perkenalan bermula dua tahun lalu apabila jejaka itu berpura-pura mahu membeli kuih raya yang dijual pelakon filem Keramat itu.
"Dia kawan abang saya dan pada awalnya dia sangka saya kekasih abang saya. Ketawa besar saya dibuatnya. Malah, dia juga tidak tahu latar belakang saya sebagai pelakon pada mulanya.
"Kemudian, dia stalk Facebook abang dan adik perempuan saya tetapi gagal sehinggaah dia menghubungi saya untuk menempah kuih raya. Sejak itu kami mula mengenali satu sama lain," ujar Mon yang melihat teman lelakinya sebagai seorang pemalu dan romantik.
Paranoid
Hasrul merupakan seorang ahli perniagaan dan anak pertama daripada lima beradik. Jejaka yang berasal dari Subang Jaya, Selangor itu, kata Mon, seorang yang memahami, menghormati keluarganya dan sentiasa ada ketika susah.
"Saya seorang wanita yang berdikari dan tidak suka susahkan orang tapi apabila dia ada di sisi, saya rasa selesa dan boleh berkongsi semua perkara.
"Kalau sebelum ini segala keputusan di tangan saya sendiri, selepas ini kami perlu banyak berbincang antara satu sama lain dan tanggungjawab saya pun lebih besar," jelasnya.
Sementara itu, kata Hasrul mengenai keperibadian Mon: "Walaupun karakternya gila-gila tapi dia membuatkan saya selesa bersama. Memang masa mula-mula tahu dia artis saya cuak tapi lama-kelamaan menjadi biasa dan terima dia seadanya."
Melihat fenomena 'saham' populariti artis di Malaysia yang akan merudum selepas berkahwin, jelas Mon, dia percaya pada ketetapan rezeki yang dikurniakan Allah.
"Rezeki ada di mana-mana dan saya mahu produser atau pengarah melihat bakat saya bukannya status. Insya-Allah, selepas berkahwin pun saya akan terus aktif dalam bidang seni, cuma mungkin akan sedikit terbatas.
"Mungkin menjadi trend di Malaysia kalau artis yang berkahwin akan kurang berlakon atau tidak sepopular zaman solo. Bagaimanapun, saya tidak paranoid terhadap perkara tersebut dan tiada masalah pun bagi saya," kata Mon.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: