Friday, March 21, 2014

Neo-nasyid cara baharu Mu'adz



ALBUM terbaharu Mu'adz diberi suntikan moden.


PELBAGAI usaha dilakukan penggiat seni nasyid untuk memartabatkan alunan muzik yang berunsur nasihat. Gubahan dari segi susunan lirik dan lagu yang lebih ke arah rancak dan moden disuntik bagi memenuhi citarasa pendengar mengikut arus perubahan semasa.
Seperti lagu-lagu lain, genre nasyid juga melalui beberapa perubahan fasa. Ingin lari daripada kebiasaan, penyanyi nasyid solo, Mu'adz Dzulkefly mengambil keputusan untuk membawa perubahan dengan membawa genre baharu iaitu neo-nasyid.
Berbanding dengan genre nasyid kontempori yang hanya menggunakan peralatan muzik yang terhad, Mu'adz berkata, neo-nasyid menggabungkan peralatan muzik moden termasuk drum, gitar dan keyboard.
Namun, pada masa yang sama pengisian dan lirik masih lagi berpaksikan unsur ketuhanan dan nasihat.
"Saya rasa ia sesuai dengan peredaran semasa, dan saya cuma ingin memberi sentuhan baharu dan variasi kepada lagu nasyid itu sendiri.
"Dari segi pengisian lirik, neo-nasyid masih mengekalkan unsur nasihat dan ketuhanan. Saya juga menyelitkan unsur kehidupan seharian bagi mendekatkan lagi lagu saya dengan pendengar," katanya ketika ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mu'adz yang kini sibuk dengan promosi album terbaharunya Bisikan Hening; Rindukan Cahaya berkata, sehingga sekarang single terbaharunya iaitu Ketika Mencinta mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
"Saya masih lagi dalam proses untuk mempromosikan album yang baharu saja diterbitkan awal Januari lalu. Album tersebut secara keseluruhan memuatkan lapan lagu dan tiga daripadanya merupakan instrumental.
"Album kali ini berbeza daripada album sebelumnya kerana ia mendapat sentuhan daripada komposer dan penulis lirik dari Indonesia iaitu Ferhad.
"Alhamdulillah, sehingga kini maklum balas yang diterima daripada peminat menerusi laman sosial Facebook dan Instagram saya amat memberangsangkan," katanya jejaka yang berusia 35 tahun.
Ketika diminta mengulas mengenai mengapa dia mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan komposer dan penulis lirik dari Indonesia, Mu'adz berkata, dia ingin mencari satu kelainan dalam muzik nasyid itu sendiri.
"Indonesia terkenal dengan penghasilan lagu yang berbentuk puitis dan pengisian yang bermakna. Saya rasa tidak salah untuk menerima sentuhan daripada orang luar demi membawa pembaharuan dalam arena nasyid tanah air," ujarnya.
Solo
Mengulas mengenai arah tuju karier muziknya, kini lebih selesa bergerak secara solo dan membawa lagu yang berunsurkan nasyid.
"Saya memilih untuk bergerak secara solo memandangkan ia lebih mudah kepada saya untuk melakukan apa yang disukai. Bukan mudah untuk bergerak secara berkumpulan jika kurang kefahaman antara satu sama lain.
"Saya sudah biasa bergerak kumpulan dan tahu ia agak susah untuk mendapat kimia antara ahli anggota kumpulan. Di samping itu, jika dilihat kebanyakan penyanyi nasyid di luar negara bergerak secara solo," katanya yang sudah enam tahun berkecimpung dalam dunia nasyid.
Walaupun bergerak secara solo, namun Mu'adz mempunyai band iringan (sessionist) yang akan membantunya sekiranya dia melakukan persembahan secara langsung.
Pengacara
Bercerita mengenai perkembangan dalam karier seninya, kini baru mula berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan TV.
Mu'adz yang akan mengendalikan sebuah program rancangan TV berbentuk jelajah Islamik selama 30 episod itu akan menemui penonton di stesen televisyen AlHijrah menjelang Ramadan ini.
"Selepas menjalani sesi pemilihan sebagai pengacara, alhamdulillah, saya terpilih. Walaupun agak kekok namun saya akan cuba memberikan yang terbaik kelak.
"Saya kini membuat persiapan untuk ke Jordan, Turki, Itali dan beberapa negara Tebing Barat lain dan akan berada di sana untuk sebulan," ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: