Friday, March 14, 2014

Dari hafiz al-Quran ke pemasaran internet


SIAPA sangka seorang hafiz al-Quran juga mempunyai kebolehan dalam bidang pemasaran internet yang semakin berkembang,


BERGELAR hafiz al-Quran, Muttaqien Jamaludin, 30, boleh menjadikan bidang agama sebagai pilihan menjalani kehidupan sebagai pendakwah untuk menarik anak-anak muda mendekatkan diri dengan Islam.
Apatah lagi, anak kelahiran Taiping, Perak ini telah berpeluang menimba ilmu sebagai pendakwah selepas mengikuti kumpulan jemaah tabligh di New Delhi, India dan Bangladesh pada usia 26 tahun.
Keputusan itu dibuat selepas menamatkan kursus Pengajian Islam dan Bahasa Arab di Madrasah Miftahul Ulum, Seri Petaling, Kuala Lumpur.
Berkelana selama setahun di bumi New Delhi dan Bangladesh semata-mata untuk mencari pengalaman dan mendalami ajaran Islam yang dibawa Rasul Junjungan, Nabi Muhammad SAW.
“Banyak pengalaman yang saya dapat hasil pengembaraan tersebut sekali gus meningkatkan lagi tahap keimanan kita kepada Allah Yang Esa.
“Sejurus pulang ke tanah air, saya masih lagi meneruskan aktiviti dakwah dan berpeluang mengajar di sebuah sekolah tahfiz di Dengkil, Selangor.
“Bagaimanapun, selepas berkahwin dengan isteri, Nik Fadilah Nik Mohd. Amin pada tahun 2010, saya diajak bekerja dengan bapa mertua dalam bahagian pemasaran di Saba’ Islamic Media, sebuah syarikat pengedar buku-buku Islamik terkemuka di negara ini.
“Dari situlah bermulanya minat menceburi bidang pemasaran secara serius terutama apabila melihat impak teknologi internet yang mampu memberi manfaat kepada kita jika digunakan sebaiknya,” ujar Muttaqien ketika hadir di pejabat Kosmo! baru-baru ini.

MUTTAQIEN mahu berkongsi sedikit ilmu yang dimiliki dalam bidang pemasaran internet bersama masyarakat sekali gus membantu mereka menjana pendapatan.


Bahasa asing
Menurut bapa kepada seorang cahaya mata ini, niatnya terjun dalam bidang ini adalah untuk membantu masyarakat meningkatkan taraf hidup melalui pemasaran internet.
Justeru, beliau menganggap penglibatannya sebagai jihad dalam meningkatkan ekonomi umat Islam yang sering dilabel ketinggalan berbanding bangsa lain.
Selain boleh berbahasa Arab dengan fasih, Muttaqien bertuah kerana turut menguasai bahasa Mandarin untuk menarik perhatian kaum Cina menyertai bengkel atau kursus yang ditawarkan.
“Saya pernah bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yok Kwan dan SJK (C) Hwa Lian di Taiping, Perak. Disebabkan ayah bertugas sebagai seorang guru, maka keluarga kami kerap berpindah,” jelas Muttaqien yang kemudian melanjutkan persekolahan peringkat menengah di Sekolah Pondok Masjid Ubudiyah, Bukit Chandan, Perak.
Dua tahun selepas itu, Muttaqien meneruskan pengajian pondok di Bukit Lanchong, Seksyen 28, Shah Alam, Selangor diikuti proses menghafaz al-Quran di sebuah sekolah tahfiz di Keramat.
Sebelum ini, Muttaqien pernah mempelajari tentang perubatan Islam dengan seorang doktor, namun ia lebih kepada mempromosi produk makanan sunah melalui laman web.
Perniagaan internet

PERNIAGAAN secara dalam talian semakin mendapat perhatian ramai pada zaman ini kerana ia menjimatkan masa dan tenaga. - Gambar hiasan


Pada tahun 2011, beliau mula serius dalam bidang pemasaran internet selepas mengenali seorang individu yang dianggapnya sebagai guru dalam bidang itu.
“Sejak itu, saya mula menawarkan pelbagai perkhidmatan seperti pemasaran Facebook, suntingan video dan jurulatih dalam talian. Apabila mendapat respons menggalakkan daripada pengguna laman sosial, barulah saya melibatkan diri dengan masyarakat melalui penganjuran, seminar, bengkel dan latihan secara berkumpulan.
“Ia dilakukan mengikut permintaan dan susunan jadual yang telah ditetapkan. Paling popular ialah permintaan untuk mengajar mengenai modul pemasaran Facebook di samping pemasaran Google dan YouTube,” terang Muttaqien yang turut menerima tawaran mengajar sektor korporat dan individu persendirian.
Pada mulanya, Muttaqien mengakui, sukar untuk mendapatkan pelanggan kerana namanya masih tidak dikenali. Apatah lagi, untuk mendapatkan kepercayaan dan membina kredibiliti dalam bidang ini bukan mudah untuk diperoleh.
Bagaimanapun, lelaki ini tetap berpegang dengan keyakinan terhadap rezeki yang ditentukan Allah terutama seperti sabda Nabi SAW iaitu sembilan per sepuluh daripada sumber rezeki datangnya daripada perniagaan.
Bagi mereka yang berminat, kelas diadakan pada harga serendah RM29.90 untuk sesi pengenalan terhadap bidang pemasaran internet.
“Ini merupakan cara saya untuk menginfakkan sedikit ilmu yang ada buat masyarakat. Golongan muda mahupun ibu tunggal yang mahu menambah pendapatan, ambil peluang manfaatkan kemudahan teknologi dan gajet canggih dengan sebaiknya,” ungkap pemuda yang mesra disapa MJ ini.
Untuk maklumat lanjut, layari laman www.facebook.com/muttaqien83 atau hubungi talian 018-907 6995.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: