|
KERINGATNYA mula menembusi liang-liang roma halus tatkala tangan semakin rancak mengasah besi untuk dijadikan keris.
Pancaran cahaya petang membolosi jaringan besi Bengkel Kraf Warisan itu membantu mata kasarnya meneliti keruncingan bentuk mata keris yang pastinya mampu melubangkan setiap benda ditikam dengannya.
Kesungguhan Saiful Hazrin Abd. Mazin, 26, mengasah membuktikan dia sememangnya seorang pencinta keris warisan Melayu yang tegar. Keluarganya adalah antara tukang empu yang terkenal di Perak.
Tukang empu bermaksud individu yang mahir dalam sesuatu pembuatan lazimnya berkait rapat dengan pembuatan keris.
Mewarisi ilmu pembuatan keris daripada ayahnya, Abd. Mazin Abd. Jamil, 64, kini anak ketujuh daripada 12 adik-beradik itu menggalas tanggungjawab besar sebagai penerus legasi Tukang Mamat.
Saiful merupakan generasi kelima Tukang Mamat yang suatu ketika dahulu terkenal di negeri tersebut dengan pembuatan senjata Melayu seperti keris, golok dan parang.
Saiful memberitahu dia mula berjinak-jinak dalam dunia keris setelah tamat Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 2005.
"Saya sememangnya meminati keris sejak di bangku sekolah lagi kerana sering melihat ayah membuatnya di bengkel kami.
"Bagaimanapun, selepas tamat sekolah, barulah saya diberi peluang membuat golok atau sarung keris sendiri. Sehingga kini, kemahiran saya lebih kepada pembuatan golok dan mengetuk besi," jelasnya yang memberitahu proses menyiapkan satu golok memakan masa kurang dua hari.
Ketika ini, dia sedang mendalami proses pembuatan keris terutamanya pembuatan luk keris.
Sambil berkongsi cerita, sekali-sekala anak muda itu mengangkat besi yang sedang diasah itu bagi melihat ketajamannya sambil diperhatikan adiknya, Mukhtar Hakim, 23, yang juga sedang belajar membuat golok dan keris.
Semangat menjadi penerus pembuatan keris Melayu bukan sahaja terpancar menerusi ketekunan diri menukang, tetapi hasil kerjanya yang sangat teliti dan penuh nilai estetika seperti pembuatan ayahnya. Bak kata pepatah Melayu, "ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi".
Terkenal
Orang tuanya, yang mesra dengan panggilan Pak Mazin merupakan seorang tukang empu keris yang terkenal di negeri Perak Darul Ridzuan.
Menerima mandat membuat keris dan senjata pembesar istana serta keluarga diraja Perak, Pak Mazin berkata, dia mewariskan segala ilmu pembuatan keris kepada Saiful dan Mukhtar bagi memastikan martabat keris tidak pupus dalam sejarah Melayu.
"Pada zaman serba canggih ini tidak ramai anak muda yang mempunyai minat terhadap barang-barang bersejarah seperti keris. Mereka lebih cenderung kepada barang elektronik dan gajet terkini.
"Justeru, saya khuatir warisan ini hilang dan anak bangsa Melayu tidak berpeluang mengenali salah satu senjata paling penting dalam sejarah bangsawan Melayu," jelasnya yang diajar membuat keris oleh ayahnya, Allahyarham Abdul Jamil Pandak Mat Yunos.
Perkara asas
Terdahulu, dia mengajar dua anaknya tentang perkara-perkara asas seperti menyediakan arang, mengenal besi dan jenis kayu.
Baginya, jenis kayu dan besi harus dititikberatkan untuk memastikan kualiti keris yang dihasilkan adalah terbaik. Antara jenis arang yang sesuai digunakan untuk proses peleburan besi ialah arang kayu daripada pokok merbau dan cengal kerana ia lebih berkualiti.
Selain itu, perlu mengenali tujuh jenis besi yang bermula dengan huruf 'P' iaitu paku, payung, pahat, puting, pagar, pisau dan penyodok.
Mengakui ramai ingin menjadi anak didiknya, Pak Mazin memberitahu, dia hanya berkongsi ilmu membuat keris kepada mereka yang menunjukkan kesungguhan.
"Saya tidak mahu ada yang menyalahgunakan ilmu dengan membuat keris berasaskan kepada keuntungan perniagaan semata-mata tanpa mengambil kira kualiti dan nilai seni senjata itu sendiri.
"Keris merupakan satu-satunya warisan Melayu yang sehingga kini masih disanjung dan harus dipelihara nilainya," katanya yang telah berkecimpung dalam dunia keris sejak berusia 12 tahun.
Mengulas lanjut tentang ilmu dititipkan oleh Pak Mazin, Saiful berkata, dia sedaya upaya cuba menggarap sebanyak mungkin ilmu diajar. Bahagian yang paling rumit baginya ialah meleburkan besi dan masih belum berani untuk membuatnya seorang diri tanpa pemerhatian 'guru'.
Ia ekoran melebur besi memerlukan teknik dan ilmu mengenali jenis besi yang hendak digabungkan bersama-sama bagi membentuk besi tawar, besi baja dan besi melela.
Menjelaskan lebih lanjut, Saiful memberitahu jenis-jenis besi dikategorikan mengikut bahan digunakan seperti paku yang merupakan besi jenis tawar, manakala spring kenderaan adalah besi baja.
Melela pula adalah besi-besi yang telah dilipat dan digabungkan sebelum dibakar untuk ditempa membentuk keris.
Besi tawar dikatakan lebih lembut namun tidak patah apabila diketuk, besi baja mudah patah jika dicelup dengan air dan melela mengambil masa yang lama untuk patah.
Ukir hulu
Bersetuju dengan abangnya, Mukhtar lebih selesa bertukang dan memahat daripada meleburkan besi yang padanya rumit untuk dilakukan.
"Setiap hari saya akan bekerja di bengkel ini bermula pukul 10 pagi sehingga 5 petang untuk mempelajari teknik mengukir hulu seperti ayam teleng dan jawa demam.
"Mengukir hulu menuntut kesabaran yang tinggi dan kestabilan tangan. Sehingga kini, saya cuma mahir membuat corak bunga di tepi sarung keris," jelasnya yang merupakan anak yang kesepuluh.
Bertanya tentang pasaran keris, Mukhtar memberitahu mereka sekeluarga tidak pernah putus menerima tempahan daripada orang ramai termasuk daripada peminat keris luar negara. Harga sebilah keris pula boleh mencecah RM6,000 bergantung kepada saiz, kualiti dan jenis bes.
Walaupun baru berusia setahun jagung dalam dunia pembuatan keris, dia telah pun menjual kira-kira 50 golok pada harga sekitar RM200.
"Perniagaan keris ini mempunyai pelanggannya yang tersendiri. Walaupun seni warisan ini tidak begitu menonjol dalam pasaran, namun setiap hari kami menerima tempahan daripada pelanggan yang datang ke bengkel ini.
"Bukan itu sahaja, kami turut menerima lawatan pelajar sekolah dan pelancong luar negara seperti Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom," ujarnya.
Tambahnya, beberapa pelajar dari Universiti Teknologi Mara juga pernah mengikuti latihan praktikal di situ.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: