Friday, March 28, 2014
Punca masih ramai tidak berzakat
ZAKAT dari segi bahasa bermaksud suci, bersih, subur dan bertambah, manakala dari segi syarak pula membawa erti mengeluarkan kadar tertentu daripada harta tertentu dengan syarat tertentu dan diberikan kepada asnaf tertentu.
Golongan yang wajib mengeluarkan zakat ialah mereka yang memiliki cukup syarat yang ditetapkan iaitu Islam, merdeka, sempurna milik, cukup haul dan cukup nisab. Cukup nisab bermaksud paras minimum yang menentukan sama ada sesuatu harta itu diwajibkan zakat. Nisab mata wang bersamaan dengan berat 85 gram nilai emas semasa.
Namun begitu, masih ramai umat Islam yang belum melaksanakan tuntutan berzakat ini walaupun zakat pendapatan khususnya telah diwajibkan pada tahun 1997 oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Pelbagai faktor yang mempengaruhi mereka untuk tidak menunaikan kewajipan berzakat antaranya faktor demografi seperti umur dan taraf perkahwinan.
Hakikatnya, umat Islam di Malaysia seharusnya bersyukur kerana pembayaran zakat diberi rebat oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri. Ia dilihat memberi kelebihan kepada pembayar zakat untuk menunaikannya kerana tidak membebankan mereka sedikitpun. Justeru itu, jika kita tidak menunaikan zakat, apakah jawapan kita kepada Allah SWT di akhirat nanti?
Zakat adalah lambang kesyukuran kita kepada Allah yang telah banyak memberikan nikmat yang tidak terhitung kepada kita di atas dunia ini. Sesungguhnya dalam kita mengecapinya, Allah telah menentukan hak-hak asnaf ada dalam harta kita yang perlu dikeluarkan.
Masyarakat seharusnya sedar dengan meletakkan pelbagai alasan, mereka akan terus mencipta alasan lain untuk tidak membayar zakat. Keyakinan mereka dalam menunaikan zakat mampu memberi kesedaran bahawa kewajipan berzakat adalah perkara rukun yang wajib dilakukan kerana golongan asnaf yang memerlukan berhak untuk mendapatkan hak mereka. Sesungguhnya harta yang ada sekarang hanya pinjaman daripada Allah.
Tiada alasan
Malah, agama Islam itu sendiri berdiri atas lima perkara. Rasulullah SAW pernah bersabda: "Agama Islam ditegakkan atas lima perkara iaitu mengucap dua kalimah syahadat, mendirikan solat fardu, mengeluarkan zakat,menunaikan haji ke Baitullah (jika mampu) dan berpuasa pada bulan Ramadan." (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Sudah terang lagi bersuluh bahawa sesungguhnya zakat itu wajib dan tidak ada lagi alasan untuk tidak berzakat bagi golongan yang layak menunaikannya.
Sebagai Muslim yang sejati, tunaikan kewajipan berzakat dengan penuh yakin dan keimanan yang kuat mampu menyucikan diri daripada sifat tamak haloba. Pelbagai alasan yang direka untuk tidak membayar zakat hanya akan memusnahkan kepercayaan terhadap sang pencipta walhal segala harta di dunia ini adalah milik-Nya dan manusia hanya meminjamnya untuk seketika dalam meneruskan kehidupan ini.
Pelbagai saluran bayaran zakat telah disediakan di Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), termasuk menerusi telefon iPhone dan Android yang dinamakan IZakat selain menerusi online portal zakat www.zakat.com.my.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai zakat dan sebagainya, bolehlah menghubungi PPZ-MAIWP di talian 1 300 88 5757.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: