Sunday, March 30, 2014

Kemusykilan Hawa zaman moden


ISFADIAH MOHD DASUKI (kiri) bersama penerbit program Musykil Muslimah, Rozalina dan Ziela Jalil.


PERNAH dikeluarkan daripada menjadi pengacara program Primadona, Ziela Jalil tidak pernah putus harapan untuk bergelar seorang pengacara. Sempat mengendalikan beberapa episod, bagi Ziela pengalaman tersebut sedikit sebanyak dapat membantu menambah portfolio kerjaya seninya.
Terbaru, pemilik syarikat produksi, Pena Creatives Sdn. Bhd. itu dilamar Astro untuk mengendalikan sebuah program bual bicara berjudul Musykil Muslimah yang akan disiarkan bermula 12 Mei depan menerusi saluran Astro Oasis.
Ziela berkata, penyingkiran namanya sebagai pengacara Primadona ada hikmahnya.
“Alhamdulillah, sebaik ditawarkan menjadi pengacara saya gembira kerana program tersebut disiarkan di Astro Oasis.
“Saya difahamkan, sebagai seorang pengacara banyak batas pergaulan yang harus dijaga. Bermula dari aspek pengayaan tudung sehinggalah kepada aspek mematuhi syariat Islam.
“Tidak salah jika mengikut trend fesyen terkini asalkan tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan,” jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Menurut Ziela, ketika beberapa hari pertama rakaman program Musykil Muslimah dijalankan, dia sempat memuat naik gambar di laman Instagram mengenai projek baharunya itu. Rata-rata mereka memberikan respons yang positif.

LOKASI penggambaran program Musykil Muslimah diadakan di N'dah Catering & Wedding Planner, Shah Alam, Selangor.


“Banyak maklum balas positif yang saya terima. Secara tidak langsung program ini akan memberikan kesedaran kepada penonton.
“Sepanjang melakukan rakaman untuk 13 episod, banyak perkara yang saya peroleh terutama membabitkan ilmu halal haram tentang kecantikan dan penampilan kaum Hawa pada zaman moden ini,” katanya.
Menariknya program Musykil Muslimah itu lebih mengetengahkan konsep soal jawab mengenai rutin kecantikan dan fesyen terkini serta hukum-hakam menurut Islam.
Penceramah yang diundang pula akan memberi penjelasan yang mendalam tetapi mudah difahami.
Musykil Muslimah terbitan Indigital Sdn. Bhd. itu mampu memberikan kesedaran serta dijadikan bahan rujukan tentang amalan penjagaan kecantikan dan fesyen.
Penerbit dan pengarah program, Rozalina Mohamad Rom menjelaskan, rancangan tersebut merupakan program soal jawab sulung terbitan pihaknya sebagai panduan untuk wanita Islam.
“Wanita kini gemar mengikut arus semasa sama ada dari sudut amalan kecantikan, pakaian mahupun pergaulan antara lelaki dan perempuan.
“Dengan adanya penceramah yang berpengalaman seperti Zawiah Hassan, Isfadiah Mohd. Dasuki dan Ahmad Fawwaz Ali, sedikit sebanyak dapat membentuk keperibadian seseorang itu,” katanya.
Antara topik yang bakal dibincangkan termasuklah Hijab Bonggol Unta, Bersolek Untuk Gaji, Salam Jaga Air Muka, Telekung Red Carpet, Tudung Tokcang Sanggul Limau, Ikal Mahkota Durjana, Mulus Tanpa Waswas, Kuku Gincu Cina, Haram ke Susuk Moden? dan Alis Kening Pisau Blade.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: