Friday, March 14, 2014

Air mata Datuk Shake

LAGU Umi begitu bermakna buat semua.


BIARPUN sudah 28 tahun ibunya meninggal dunia, namun setiap kali menyanyikan lagu Umi, penyanyi popular tahun 1980-an, Datuk Shake akan berasa sedih dan menangis.
Sempena pelancaran klip video terbaharu Umi di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini, Shake atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh berkongsi rasa rindu dan sedih sejak pemergian ibunya pada tahun 1986 itu.
“Ketika lagu itu dirakamkan pada tahun 1984, umi (ibu) saya masih hidup. Setelah arwah tiada, kalau peminat meminta saya menyanyikan lagu Umi ketika persembahan, saya akan menangis.
“Namun, saya harus profesional mengawal emosi dan tetap menyanyikan lagu tersebut untuk peminat,” ujarnya mengenai lagu Umi yang cukup popular pada tahun 80-an itu.
Kini, Shake merakamkan semula Umi dalam versi blues buat peminat-peminatnya.
Merakam klip video Umi di Paris, Perancis, ujar Shake, penggambarannya mengambil masa selama enam hari kerana faktor cuaca yang terlampau sejuk.
Tidak hanya merakam semula lagu tersebut, Shake juga bakal mengadakan konsert amal sempena Hari Ibu di Kuching, Sarawak pada 10 Mei depan selama setengah jam.
Mengapa memilih Sarawak, kata Shake, negeri itu meninggalkan memori yang mendalam kepadanya.
“Selain Sarawak, saya juga merancang untuk mengadakan konsert di Johor Bahru, Sabah dan Kuala Lumpur tetapi saya memilih Sarawak dulu untuk mengadakan konsert amal sempena Hari Ibu kerana ada cerita di sebaliknya.
“Ketika saya membuat persembahan di sana (Sarawak) pada tahun 1986, dengan tiba-tiba telinga saya tidak dapat mendengar muzik yang berkumandang. Saya menjadi pekak seketika. Rupa-rupanya ia petanda bahawa umi sudah meninggal,” luahnya sedih.
Selain pemergian ibu yang tidak memberi peluang buat dirinya untuk melihat saat terakhir pemergiannya, Shake mengalami situasi yang sama apabila beliau juga tidak dapat menyaksikan pemergian ayahnya yang meninggal dunia terlebih dahulu daripada ibunya.
“Ayah meninggal dunia sekitar tahun 1979 dan pada waktu itu saya berada di Perancis, berhijrah menjadi penyanyi di sana.
“Sama seperti ibu, saya juga tidak dapat menyaksikan jenazah ayah, kecuali melihat kubur mereka sahaja. Inilah dua peristiwa yang tidak boleh saya lupakan seumur hidup saya,” ceritanya.
Menetap di Perancis
Menyambung bicara, ungkap Shake, konsert dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu akan berlangsung selama dua jam.
Shake juga mengakui akan menyampaikan sebanyak 30 buah lagu popularnya selain beberapa kejutan lain.
“Ini boleh dikatakan antara persembahan terbesar yang bakal saya adakan. Saya tidak akan menghampakan semua penonton yang hadir nanti,” ujarnya mengenai konsert amal yang tiketnya berharga dari RM70 hingga RM500 itu.
Mengulas lanjut, jelas Shake, hasil jualan tiket tersebut akan diserahkan kepada kementerian untuk disalurkan ke badan-badan yang memerlukan.
Dalam pada itu, Shake juga memberitahu, akan kembali menetap di Perancis selepas hampir dua tahun duduk di Malaysia.
Ia kerana, Shake mendapat permintaan daripada peminatnya di sana untuk kembali aktif dalam muzik di Perancis.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: