Friday, March 28, 2014

Kokolog! segalanya tentang coklat



PROGRAM Kokolog! kini sudah bersiaran di TV9 sejak 2 Mac lalu.


JIKA anda suka melancong, membuat kerja amal dan memakan coklat, pastinya anda akan tertarik dengan program terbaharu terbitan Primeworks Studios untuk TV9 berjudul Kokolog!.
Menggandingkan tiga elemen yang berbeza dan kedengaran agak pelik, namun ia memberi keunikan kepada program tersebut.
Program yang diterbitkan dengan kerjasama Lembaga Koko Malaysia itu bertujuan untuk mempromosikan penggunaan koko kepada rakyat Malaysia. Selama ini kita sering mengaitkan koko atau coklat dengan kemanisan serta penyakit.
Menurut Penerbit Eksekutif Primeworks Studio, Wan Sabariah Shikh Ali, program ini turut menampilkan resipi unik menggunakan produk berkaitan koko sama ada serbuk koko, kepingan coklat masakan atau lemak koko.
"Tujuan program ini adalah untuk mendidik, menyebarkan maklumat dan memberi fakta yang tepat mengenai koko itu sendiri, kegunaannya, khasiat dan kebaikannya.
"Segmen memasak dikendalikan oleh hos utama bersama cef jemputan, iaitu sama ada cef tempatan yang pakar dalam sajian unik setempat atau cef selebriti," kata Wan Sabariah.
Selain memberi informasi tentang koko, program ini juga akan berkunjung ke lokasi yang menarik sambil membantu mereka yang memerlukan.
QI RAZALI teruja mengacara program Kokolog!.


Antara contoh khidmat sosial yang ditampilkan ialah merealisasikan cita-cita seorang anak yatim ingin menjadi cef serta memberi sumbangan kepada artis veteran tanah air iaitu Datuk Jamil Sulong yang kini sedang uzur.
"Segmen khidmat kemasyarakatan dalam program masakan seperti ini diharap dapat meningkatkan kesedaran penonton tentang hidup bermasyarakat, di samping dapat mempelajari resipi terbaharu yang menggunakan produk daripada koko," ujar Wan Sabariah.
Pemilihan Qushairi Razali yang dikenali sebagai Qi sebagai pengacara dianggap tepat kerana selain suka melancong, dia juga boleh memasak dan merupakan seorang penggemar coklat.
"Saya seronok sepanjang penggambaran program ini kerana saya dapat berjalan ke lokasi yang menarik, memasak dan pada masa yang sama dapat membantu insan yang memerlukan.
"Selalunya program yang berasaskan coklat hanya menampilkan cef untuk memasak tetapi program ini sangat berbeza. Saya pun ada memasak sendiri dalam program ini," balas Qi.
Program sebanyak 13 episod itu yang turut menjelajah sehingga Sabah dan Sarawak itu bersiaran di TV9 mulai 2 Mac lalu, setiap Ahad pada pukul 10 pagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: