Wednesday, March 12, 2014

Geluguh alatan tradisi Orang Asli




TRADISI menangkap udang galah cukup sinonim menggunakan jala, pukat atau pancing.
Namun, apabila diungkap mengenai geluguh, pasti ramai yang menggaru kepala kerana kaedah tersebut begitu asing lebih-lebih lagi kepada bukan penggemar aktiviti sungai.
Carian menerusi internet juga mendapati maklumat mengenai geluguh kurang diuar-uarkan.
Justeru, pertemuan penulis dan jurugambar, Ahmad Zakki Jilan bersama peniaga kedai makan, Mohd. Saufi Jusoh, 48, di Kampung Leban Chondong, Rompin, Pahang telah membuka jalan untuk 'menggali' kisah geluguh.
Mohd. Saufi yang merupakan pembekal udang galah di daerah itu, memperoleh bekalan udang galah segar daripada Orang Asli yang mendiami tebing Sungai Rompin.
Menariknya, udang galah yang dibekalkan mereka mempunyai jangka hayat lebih panjang sekali gus membolehkan pengemarnya menikmati kemanisan udang galah tersebut.
Rupa-rupanya, Orang Asli tersebut menggunakan teknik tangkapan yang dikenali sebagai geluguh.
"Saya mahu pelanggan saya menikmati udang galah yang segar. Jadi, mendapatkan bekalan daripada Orang Asli di sini merupakan langkah terbaik kerana mereka rajin ke sungai setiap hari.
"Malah, teknik tangkapan yang digunakan iaitu geluguh membuatkan udang galah yang ditangkap lebih bersih dan mempunyai tempoh hayat lebih lama," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

LUDIN menunjukkan udang yang masuk ke geluguh miliknya yang diletakkan di Sungai Rompin, Pahang.


Pengalaman
Bagi seorang penduduk Orang Asli di Kampung Limau, Rompin, Ludin, 42, pengalaman menangkap udang galah lebih 20 tahun membuatkan kredibilitinya sukar diragui.
Walaupun sepanjang kerjaya itu, Ludin berdepan pelbagai liku, kini dia boleh tersenyum kelegaan kerana memiliki 125 buah geluguh yang dibuatnya sejak setahun lalu.
Ini kerana, untuk menyiapkan sebuah geluguh bukanlah tugas yang mudah. Melihat kepada reka bentuk perangkap udang galah tersebut, ia kelihatan sukar untuk disiapkan.
Rangka luar perangkap udang yang mampu bertahan sehingga tiga tahun itu dibuat menggunakan kulit kayu jenis Merawan yang diperoleh sekitar hutan di kampung tersebut.
Selepas seharian meredah hutan mencari kulit kayu tersebut, Ludin akan merendamnya seharian di dalam sungai untuk memudahkan kulit itu melentur ketika proses geluguh dibuat.
"Bahan lain yang diperlukan ialah rotan, tali tangsi dan dawai. Bahagian berbentuk seperti kon merupakan ruang perangkap udang galah dan ia diperbuat ketika masuk dan menjadi perangkap dibuat daripada rotan.
"Setelah semua bahan diperoleh, saya mampu menyiapkan antara lapan hingga 10 geluguh dalam sehari.
"Saya perlu siapkan lebih banyak geluguh untuk diletak dalam sungai untuk mendapat hasil tangkapan yang lebih lumayan. Jadi sampai masa, saya hanya perlu kutip hasil tangkapan untuk dijual," katanya.
Ada juga geluguh milik Ludin yang dibuat menggunakan paip polivinil klorida (PVC) namun, ia menelan kos yang lebih tinggi berbanding menggunakan bekalan semula jadi.
Umpan
Berkongsi pengalaman menangkap udang menggunakan geluguh, rakan sekampungnya, Mahidin, 53, memberitahu, perangkap itu akan diletak bersama umpan ubi kayu di dalam sungai secara kekal di habitat haiwan itu membiak.
PEMBUATAN geluguh yang rumit membuatkan golongan muda Orang Asli kurang berminat mempelajarinya.


Selang dua hari, Mahidin akan menyelusuri sungai seawal pukul 7 pagi bersama bot yang menggunakan enjin ke lokasi geluguh diletakkan untuk melihat hasil tangkapan yang menjadi sumber pendapatannya.
"Udang galah ada musim tertentu antara Februari hingga Mei. Pada bulan-bulan ini, hasil kutipan udang galah amat baik. Setiap geluguh boleh mendapat hasil sehingga 20 ekor udang galah.
"Jika bernasib baik, saya mampu memperoleh bekalan hingga lapan kilogram dan kemudian dijual kepada pembekal pada harga antara RM40 hingga RM60 sekilogram," katanya.
Jika dihitung, mereka mampu menjana pendapatan sehingga mencecah hingga RM3,000 sebulan.
Mencari rezeki untuk keluarga tercinta dengan menghabiskan masa di sungai pasti ada cabaran tersendiri. Begitu juga, Mahidin yang sudah lali dengan cabaran tersebut.
Antaranya, terserempak haiwan berbisa seperti ular dan reptilia ganas, buaya.
Penulis dan jurugambar yang mengikuti Ludin menjenguk udang galah juga bersua dengan ular kapak di dahan pokok berhampiran tebing sungai.
Dicuri
Namun, lebih mengecewakan apabila melihat geluguh kosong dipercayai hasilnya dicuri oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
"Bukan mahu menuduh sesiapa tetapi ia dah menjadi perkara biasa di sini. Kita perlu faham, Sungai Rompin ramai orang luar yang datang untuk menangkap ikan dan udang galah, kami sudah lali dengan kejadian ini," kata Mahidin.

RUMAH rakit ini boleh disewa kaki pancing di Sungai Rompin, Pahang.


Bagi Mat, 40, dia bimbang kemahiran tradisi masyrakat Orang Asli menangkap udang galah menggunakan geluguh akan pupus suatu hari nanti.
Kebimbangannya ternyata berasas apabila generasi muda Orang Asli sekarang tidak berminat untuk mengambil tahu mengenai pembuatan geluguh. Mereka menganggap membuat geluguh terlalu rumit, perlu seharian masuk ke hutan mencari bahan-bahan dan memakan masa yang lama.
"Golongan muda lebih selesa menggunakan peralatan yang lebih moden seperti jala, pukat dan pancing untuk mendapatkan udang galah.
"Benar, setiap kaedah ada kelebihan dan daya tarikan tetapi kami sebagai Orang Asli mahu warisan geluguh ini terus kekal sampai bila-bila. Walaupun bukan sekadar untuk mencari rezeki, golongan muda boleh menjadikannya aktiviti pada masa lapang. Itupun sudah bagus bagi mengekalkan penggunaan geguguh," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: