|
KETERBUKAAN Anzalna berkongsi perang emosinya bersama Izzue Islam sepanjang penggambaran drama bersiri Aku Isterinya bukan lagi satu kejutan.
Desas-desus masalah antara Anzalna Nasir dan Izzue Islam sebenarnya sudah kedengaran ketika drama yang mulanya menggunakan judul Aku Bukan Mistress itu menjalankan penggambaran pada Februari lalu.
Kehadiran Anzalna yang membawa watak perempuan simpanan Izzue dikatakan telah membakar cemburu Awin Nurin, isteri yang juga pengurus Izzue. Cerita itu sudahpun dinafikan Awin dan Anzalna.
Namun, ketidakhadiran Izzue pada majlis ramah mesra drama yang diadakan awal minggu baru-baru ini memanggil semula ingatan media terhadap kisah bermasam muka antara kedua-dua pelakon itu.
Anzalna yang menjadi titik fokus akhirnya mengakui, permasalahan itu sedikit sebanyak mengganggu konsentrasi sewaktu di lokasi.
"Saya tidak nafikan laporan akhbar sebelum ini, tapi apa yang saya mahu katakan, perkara itu bukan berpunca daripada saya.
"Kalau dia cuba mengelak daripada bertemu dengan saya, ingatlah bahawa industri hiburan ini kecil saja," jelas Anzalna secara terbuka.
Sensasi Bintang cuba mendapatkan kepastian daripada pihak Izzue mahupun Awin, namun pasangan yang bernikah pada Jun 2013 itu tidak melayan sebarang panggilan telefon.
Anzalna ditanya lagi tentang tuntutan kerjasamanya bersama Izzue yang masih belum dihabiskan. Hari ini, Anzalna dan Izzue berlepas terbang ke Perth, Australia untuk menyiapkan baki penggambaran drama berkenaan.
|
Selama enam hari di sana juga, Anzalna dan Izzue dikatakan banyak terlibat dalam penggambaran babak romantik.
"Saya tiada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa saja termasuk Izzue. Masalah yang timbul bukan datang daripada saya, jadi biar dia yang selesaikan. Saya buat kerja secara profesional," ujar Anzalna.
Membiarkan senyuman bergayut tenang di bibirnya, wanita sensasi yang pernah terlibat dalam perbalahan bersama Neelofa itu ada pendirian yang teguh dalam soal profesionalisme.
Selain Izzue, dia juga pernah berlakon untuk babak-babak yang lebih romantik dan berani ketika bersama Aaron Aziz dan Adi Putra.
"Ketika itu watak saya lebih jahat dan menggoda tapi tidak pula timbul sebarang isu. Saya cuba mengelak daripada babak berpegangan tangan kerana menghormati orang yang sudah berkahwin, kalau ada pun saya perlu kawal agar tidak berlebih-lebih," ujarnya.
Tambah Anzalna juga, melakonkan babak romantik tidak semestinya harus ada adegan berpeluk. Cukup dengan lontaran dialog serta bahasa tubuh, kesan emosi akan dapat dirasai.
"Sejak awal penggambaran saya sudah rasa susah berlakon dengan Izzue. Saya faham serta menghormati Izzue dan isterinya. Sebab itu saya berhati-hati apabila melakonkan babak berpegangan.
"Saya juga ada keluarga dan teman lelaki, memang dari awal saya cuba jaga batas. Saya bukan nak goda suami orang," katanya.
Menganggap kontroversi bermasam muka itu sebagai isu kecil, Anzalna sebenarnya enggan melayan perkara yang kebudak-budakan itu.
Namun, sebagai wanita yang merasai sendiri bahang cemburu tanpa sebab, dia tidak akan berdiam diri sekiranya difitnah dengan cara mengaibkan.
"Sudah pasti saya akan menegakkan perkara yang betul, tapi saya cuba elakkan bergaduh, jangan sampai berlaku perang mulut," tutup Anzalna mengenai kisah dari lokasi drama Aku Isterinya arahan Fairoz Loy itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: