• Diana Rafar - Linda Rafar
CUN Melecun merupakan single terbaharu adik-beradik popular ini. Selepas lagu Hak Milik Kekal, lagu ini dirakamkan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada peminat-peminat yang tidak putus memberi semangat dan sokongan dalam perjalanan karier mereka.

Semakin aktif terjun ke dunia perniagaan masing-masing, Linda kini dengan perniagaan produk kesihatan Protrim LR Flawless dan Diana Rafar dengan D’Lugiano Spa, kedua-duanya tidak sekalipun mengabaikan kehendak peminat yang mula merindukan suara mereka mengalunkan irama.

“Cun Melecun adalah hadiah kami untuk semua. Mengekalkan konsep sama, ia lagu yang catchy dan sesuai dengan jiwa kami ,” kata Diana yang pernah membintangi filem Susuk.

Diana pernah mencatat profil seninya sebagai penyanyi dengan menubuhkan kumpulan GIM (Girls In Music) pada 1999, sebelum merakamkan album duet bersama Linda Rafar. Lagu Hak Milik Kekal meledakkan gabungan Diana dan Linda sekitar 2005. Dan April ini, Cun Melecun yang masih menggunakan khidmat Edry Abdul Halim sebagai komposer akan diperdengarkan di corong-corong radio.

“Walaupun masing-masing sibuk dengan perniagaan, menyanyi tu tak dapat dielakkan. Itu memang minat dan jiwa kami sejak kecil. Kami masih orang hiburan. Saya sendiri sejak lima tahun terlibat dalam bidang ini manakala Linda sejak darjah satu.

“Single ini lebih kepada hadiah kami untuk peminat. Apabila kudrat masih ada, masih muda dan berupaya nak menyanyi, kami menyanyi. Lagu ini hanya ambil masa sehari untuk rakaman. Semuanya berjalan lancar,” jelas Diana.

Berkahwin dengan Zamarul Hisham, empat tahun lalu, pasangan itu kini bahagia dengan anak mereka, Kashfihaikal dan mula menumpukan perhatian kepada rumah tangga serta perniagaan spanya.


Perlu bahagi masa

Sementara itu, Linda yang kini sibuk mempromosikan produk terbaharu Protrim Capsule keluaran syarikatnya turut menyatakan rasa gembira atas kelahiran single Cun Melecun ini.

“Seronok apabila segala-galanya berjalan lancar. Perjalanan perniagaan kami, karier dan single terbaharu semuanya dipermudahkan. Tak sabar nak tunggu respons peminat. Itu saja” kata ibu empat anak ini (Rezaril Keifli, 14; Rezaiman Keifli, 12; Syed Rezaqiib, 6, dan Syed Ariq,3)

Ditanya mengenai perancangan video klip Cun Melecun, Diana memberitahu ia belum dirangka namun tidak menolak kemungkinan untuk mengeluarkannya satu masa nanti seperi mana Hak Milik Kekal yang melonjakkan nama mereka.

“Permintaan itu ada. Tapi kami perlu sesuaikan dengan jadual kami yang padat. Macam yang Diana kata, ia hadiah untuk peminat. Kami juga berlapang dada untuk bekerjasama dengan komposer-komposer lain,” katanya.

Linda Rafar sebelum ini popular bersama kumpulan Elite dan aktif berlakon. Beliau mendirikan rumah rangga dengan pelakon Syed Kamarulzaman Syed Mahmud pada 2006.

Lahir dalam keluarga yang terlibat dalam perniagaan, Linda dan Diana turut aktif di bidang perniagaan selepas mendirikan rumah tangga.

Usaha kedua-dua bintang ini berjaya membuktikan bahawa mereka bukan sahaja bergemerlapan di arena seni, malah semakin serasi dengan perniagaan.  Terdahulu, lagu Hak Milik Kekal yang juga ciptaan Edry KRU, sering menguasai carta-carta lagu di radio-radio dan televisyen, malah tidak mustahil gandingan mantap adik-beradik ini melalui Cun Melecun sekali lagi bakal meledakkan nama mereka di persada seni.