Friday, March 21, 2014

Dilema pelakon dan pihak produksi

QAZEM NOR


DUA pelakon drama, Qazem Nor, 41, dan Elly Azman, 35, baru-baru ini meluahkan rasa kecewa apabila nama mereka disingikirkan pada saat-saat akhir sebelum penggambaran drama bermula.
Perkara tersebut bukanlah satu isu yang baharu. Menurut Qazem yang ditemui pada majlis sidang akhbar anjuran Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di M Cafe di Plaza Damansara, Kuala Lumpur, pihak produksi sering menggunakan alasan pihak stesen televisyen telah menolak nama mereka.
“Ini bukan pertama kali berlaku dan saya yakin ramai pelakon sudah terkena perkara yang sama. Walhal, dalam masa yang sama saya juga menerima tawaran daripada produksi lain dan pihak stesen televisyen yang didakwa tidak mahukan saya tidak ada masalah dengan saya.
“Saya tidak tahu adakah benar pihak stesen televisyen tidak mahu saya atau pihak produksi yang mencari alasan mudah untuk menyingkirkan seseorang pelakon selepas mereka menerima pelakon yang memberi sebut harga yang lebih murah daripada saya,” ujar Qazem.
Qazem yang sudah 10 tahun bergelar pelakon itu menjelaskan, dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan pihak stesen televisyen kerana faham pihak stesen mempunyai penilaian mereka sendiri.
Bagaimanapun, dia memohon pihak syarikat produksi yang menerbitkan drama di Malaysia supaya lebih telus ketika membuat tawaran kepada pelakon.
“Sebenarnya di Malaysia tidak banyak syarikat produksi yang mengikut protokol sebenar. Biasanya tawaran dibuat menerusi mulut dan atas dasar kepercayaan kami setuju selepas perbincangan dibuat.
“Kadang-kala kontrak hanya diperolehi ketika penggambaran sudah berlangsung. Maknanya, kami golongan pelakon boleh disingkirkan begitu sahaja dan kami tidak boleh mengambil sebarang tindakan untuk melindungi hak kami kerana tidak ada surat hitam putih. Perkara ini tidak adil kerana menjejaskan periuk nasi kami,” jelas Qazem yang hanya diberitahu namanya tersingkir sehari sebelum penggambaran drama bermula.
Seorang lagi pelakon, Elly Azman juga mengalami perkara yang sama. Ujarnya, andai namanya telah disingkirkan oleh pihak stesen televisyen, syarikat produksi harus segera memberitahunya agar dia boleh menerima tawaran lakonan yang lain.
“Biasanya, syarikat produksi akan berdiam diri dan menggunakan alasan pihak stesen televisyen tolak nama saya. Sebenarnya saya tidak ada masalah andai nama saya ditolak pihak stesen televisyen tetapi tolonglah beritahu saya seawal yang mungkin bukannya selepas mendapat skrip atau dekat dengan tarikh penggambaran.
“Lakonan adalah periuk nasi utama saya. Apabila perkara ini berlaku saya kecewa kerana pelakon boleh ditendang sesuka hati. Dipanggil apabila diperlukan dan ditendang begitu sahaja apabila tidak diperlukan,” balas Elly.
Bagi menyelesaikan masalah ini, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan persatuan penerbit dan pihak Finas dalam masa terdekat.
“Jika tidak ada aral, mungkin pihak Karyawan akan mengeluarkan satu kontrak ringkas yang boleh d igunakan oleh semua ahlinya apabila mereka mendapat sebarang tawaran.
“Kontrak ini akan menjadi bukti sokongan seandainya berlaku sesuatu kekeliruan pada masa akan datang. Pihak yang menawarkan pekerjaan dan pihak yang menerima tawaran akan menandatangani kontrak itu atas persetujuan bersama.
“Pihak Karyawan akan membawa perkara ini kepada pihak Finas supaya mereka mengiktiraf kontrak tersebut,” jelas Freddie.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: