Monday, March 24, 2014

Interpretasi seni tanpa had

KAMIL merakam gambar yang unik dan jarang dilihat sebagai subjek dalam menghasilkan karya seni fotografi.


SENI adalah satu subjek yang subjektif dan setiap orang mempunyai interpretasi tersendiri dalam mentafsir dan menilai sesebuah karya seni.
Buat pertama kalinya, galeri Artiseri di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur menganjurkan pameran fotografi berkumpulan yang menampilkan karya-karya seni yang hanya mampu dirakam oleh ketajaman lensa kamera.
Menerusi pameran tersebut, orang ramai dapat menilai dengan mata kasar selain interpretasi sendiri mengenai subjek mahupun karya seni yang dipamerkan.
Bertajuk Limitless: The Unseen yang membawa maksud tiada sebarang had dalam melihat subjek tersembunyi, pameran fotografi berkenaan mempamerkan karya-karya lima jurugambar tempatan yang berbakat.
Karya-karya yang dipaparkan adalah daripada pelbagai subjek termasuk unsur-unsur yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia hingga menyusur kawasan eksotik dan jarang diketahui kewujudannya.
Limitless: The Unseen membariskan lima jurugambar iaitu Datuk Arif Abu Bakar, Abbi Kanthasamy, Dr. Kamil Salem, Mazlim Husin dan Nazmi Raman.
Setiap jurugambar ini datang daripada latar belakang berbeza, namun mempunyai persamaan iaitu masing-masing menggunakan lensa kamera untuk merakam detik-detik yang tidak dapat dilihat melalui mata kasar manusia.

HASIL seni fotografi Mazlim yang dirakam ketika mengembara ke Ladakh di banjaran Himalaya dengan sudut menarik.


Salah seorang jurugambar, Kamil, 54, ketika ditemui Kosmo! memberitahu, dia mengubah rakaman lensa kamera dengan menjadikannya seakan-akan lukisan di atas kanvas menerusi subjek yang jarang dan tidak pernah dilihat sebelum ini.
Pengalaman
Misalnya menurut beliau, dia merakamkan kisah seorang pemain dan pembuat alat muzik sape di daerah Bau yang tidak pernah diketahui umum mengenai latar belakang legenda muzik tradisional suku kaum Orang Ulu tersebut.
“Dengan menggunakan pengalaman lebih tiga dekad dalam bidang grafik, pengiklanan, penyiaran dan industri reka bentuk, saya mengolah rakaman fotografi itu menjadi karya seni yang memuatkan cerita, mesej dan keindahan seni itu sendiri.
“Pujian kepada galeri Artiseri di Hotel Seri Pacific kerana memberi ruang kepada penggiat seni fotografi ini mempromosikan karya masing-masing kepada khalayak. Pada pameran ini, saya memaparkan dua karya sahaja,” kata anak kelahiran Kuching, Sarawak ini.
Bagi Mazlim pula, minatnya dalam pengembaraan ke serata dunia membolehkan dia merakamkan pelbagai subjek unik dengan menggunakan sudut-sudut menarik bagi menonjolkan seni fotografi.

LEGENDA pemain sape yang dirakam dengan lensa kamera sebelum diolah menjadi seni fotografi oleh Kamil.


Ini kerana kata Mazlim, 47, yang mempelajari fotografi daripada bapanya, banyak tempat di dunia bahkan di Malaysia sendiri mempunyai keindahan yang tidak pernah diketahui umum, maka dengan seni fotografi ini, dia boleh berkongsi dengan orang ramai.
“Saya juga berhasrat menerbitkan sebuah buku seni fotografi yang menonjolkan hasil karya sepanjang pengembaraan selama ini pada masa hadapan untuk dikongsikan dengan orang ramai,” katanya yang serius dalam bidang itu sejak enam tahun lalu.
Sementara itu, Nazmi, 56, yang memiliki pengalaman lebih tiga dekad sebagai jurugambar memberitahu, seni fotografi masih belum berkembang luas di Malaysia.
Beliau yang pernah bertugas di Afrika dan Eropah dalam bidang fotografi berkata, pameran itu diharap dapat mendedahkan seni fotografi kepada orang ramai.
“Para karyawan pula dapat mengetengahkan bakat mereka sekali gus mempromosikan karya masing-masing kepada peminat seni,” ujarnya.
Dalam pada itu, galeri Artiseri dibuka kepada orang ramai dan masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut boleh melayari www.facebook.com/Artiseri atau menghubungi Asha di talian 03-4049 4302.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: