Tuesday, March 18, 2014

Menimba ikan dalam lumpur


  • Menimba ikan dalam lumpurChe Derahman (belakang) bersama peserta lain menangkap ikan darat dalam parit.

TUMPAT – Penduduk Kampung Kubang Batang menghidupkan kembali aktiviti  menangkap ikan secara tradisional iaitu menimba ikan di sebuah parit jari Lorong Guru dekat sini.
Acara menimba ikan sememangnya menjadi amalan penduduk kampung yang tinggal berhampiran sawah dan setiap kali musim kemarau mereka akan bergotong-royong menimba ikan darat di dalam sawah atau kubang.

Program anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kubang Batang/Menjual itu menarik minat penduduk kampung apabila mereka hadir  menyaksikan gelagat peserta ketika menimba ikan dalam lumpur.

Ketua Skim Rondaan Sukarela (SRS) KRT Kubang Batang/Menjual, Che Derahman Ceh Leh berkata, acara seperti itu dapat mengekalkan semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan penduduk.

“Saya gembira melihat kanak-kanak dan orang dewasa sanggup bergelumang dalam lumpur untuk menangkap ikan darat seperti keli, haruan, puyu dan banyak lagi yang terdapat dalam parit jari ini.

“Parit tersebut dikeringkan dengan menggunakan pam air, kaedah inilah dipanggil menimba,” katanya.

Menurutnya, kerja menangkap ikan seperti itu sudah jarang dilakukan tetapi apabila ia dianjurkan, mendapat sambutan hangat.

“Lebih meriah hasil tangkapan dimasak secara gotong-royong dan dinikmati bersama-sama selepas penat lelah berkubang dalam lumpur,” katanya.

Menurutnya, memandangkan acara ini mendapat sambutan yang menggalakkan, ia akan diadakan pada musim akan datang dengan mengenal pasti lokasi yang menjadi lubuk ikan darat ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: