Tuesday, March 18, 2014

Amyra sedih dituduh tak berdisiplin

SELEPAS Dazrin dibelenggu kontroversi masalah disiplin di set penggambaran drama, kini ia ‘berjangkit’ pula kepada Amyra.


NAMA pelakon baharu yang semakin mendapat tempat di hati peminat sejak membintangi drama Jodoh dan Ku Cinta Kau Seorang, Amyra Rosly, 23, tiba-tiba menjadi sebutan.
Dalam laporan sebuah akhbar mingguan pada minggu lalu, pelakon popular, Fasha Sandha dikatakan naik angin dan meninggalkan lokasi penggambaran drama Baju Raya Yaya kerana terpaksa menunggu selama tiga jam selama tiga hari atas kelewatan Amyra.
Fasha yang terkenal sebagai pelakon berdisiplin dan menepati waktu itu meminta pelakon itu menepati masa dan menghormati pengarah.
Sebelum Amyra, Fasha juga pernah menyelar tunang Amyra, pelakon, Dazrin Kamaruddin kerana masalah disiplin ketika sama-sama berlakon dalam drama bersiri Miranda.
Bagai terkena badi tunang sendiri, masalah yang sama datang kepada Amyra ketika namanya sedang meningkat naik.
Enggan memperbesarkan isu ini, Amyra bagaimanapun menafikan dirinya mempunyai masalah disiplin kerana sepanjang bergelar pelakon dalam tempoh setahun lebih, tidak pernah namanya dihambat kontroversi kerana isu disiplin.
Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon jelita ini.
Kosmo!: Adakah benar anda mempunyai masalah disiplin sehingga menyebabkan Fasha Sandha meninggalkan lokasi penggambaran?
AMYRA: Sejujurnya saya tidak mahu lagi bercakap tentang hal ini kerana semuanya sudah selesai. Pihak produksi tahu hal yang sebenarnya cuma saya sedih dituduh tidak berdisiplin sedangkan saya tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sepanjang bergelar pelakon. Saya ada ramai yang saksi yang tahu cara kerja saya.
Maknanya anda menafikan kontroversi artis tidak berdisiplin itu?
Sebenarnya, ada yang salah dalam artikel yang dikeluarkan oleh akhbar tersebut pada Ahad lepas. Kesalahan yang dikatakan itu tidak benar kerana sepanjang lapan hari penggambaran drama Baju Raya Yaya, saya tidak pernah lewat. Saya berurusan dengan penolong pengarah tentang call time, mereka akan memberitahu bila saya harus berada di lokasi penggambaran kerana saya tidak perlu menunggu lama. Bila isu ini keluar saya rasa kelakar.
Bagaimanakah isu ini boleh timbul jika tiada sebarang masalah?
Saya tidak tahu di mana kesalahan saya apabila dikatakan lewat berkali-kali. Sedangkan setiap kali saya tiba di set penggambaran, pengarah tidak memerlukan saya dalam keadaan tergesa-gesa. Kenyataan saya sering datang lambat seperti ingin menjatuhkan saya. Jika pelakon senior lambat tidak pula dihebohkan, apabila terkena kepada saya tiba-tiba ia meletup seperti masalah dunia.
Apakah perasaan anda apabila dikaitkan kontroversi yang sama seperti tunang anda Dazrin?
Sedih memanglah sedih sebab persepsi orang terhadap saya terus berubah sedangkan mereka tidak mengenali saya secara dekat. Tunang saya (Dazrin) pun pernah kena perkara yang sama dengan Fasha dan saya ambil apa yang berlaku sebagai pengajaran, tidak mungkin saya mengulangi perkara yang sama. Sebagai orang baharu, saya terima sahaja dan tidak simpan dalam hati.
Bagaimanakah hubungan anda dengan Fasha selepas isu ini ditimbulkan?
Dalam drama itu, kami bergandingan sebagai adik-beradik dan hubungan saya dengan dia sepanjang penggambaran sangat baik. Sebab itu bila isu ini timbul, saya rasa pelik dan agak terkejut.
Adakah kerjaya lakonan anda terjejas kerana kontroversi ini?
Alhamdulillah, setakat ini kerjaya saya masih berjalan seperti biasa tidak ada apa yang menganggu. Cuma saya yakin, jika kontroversi ini terus diperkatakan ia akan menggugat kerjaya saya pada masa hadapan. Apa yang saya harapkan, jika anda tidak mengenali saya janganlah terus menghukum. Sebagai pelakon saya tidak mahu dikenali dengan kontroversi sebaliknya mahu dikenali dengan mutu kerja yang baik.
Bilakah anda dan Dazrin akan berkahwin?
Kami bertunang pada bulan Ogos tahun lalu, perancangan tentang perkahwinan saya tidak boleh beritahu kerana kami belum ada tarikh lagi. Buat masa sekarang, kami hormati kerjaya masing-masing terlebih dahulu, jika ada jodoh kami tetap akan berkahwin.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: