SALAM sejahtera. Menyambung topik minggu lalu mengenai prinsip kesamarataan antara lelaki dan wanita dalam perspektif syariah, banyak hadis Nabi SAW juga menyokong penjelasan ini.
Salah satunya melalui pernyataan bahawa Allah mencipta Hawa daripada tulang rusuk Adam yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. Justeru, ia jelas menunjukkan bahawa wanita mesti dihormati, dilayan dengan baik dan penuh kesabaran.
Namun, terdapat ayat al-Quran yang meletakkan lelaki pada darjat yang lebih tinggi berbanding wanita.
Ia disebabkan peranan atau fungsi sosial serta biologi yang dilaksanakan oleh kedua-dua jantina dan tidak seharusnya dianggap sebagai kelebihan dengan mengatasi pihak lain (wanita).
Berdasarkan ayat 228, surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya)."
|
Begitu juga dengan ayat 34, surah An-Nisa yang bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka."
Para mufasir seperti Imam al-Qurtubi berpendapat bahawa istilah 'qawwam' tidak lebih daripada penyumbang sara hidup atau nafkah untuk keluarga yang merupakan perkara biasa dalam kehidupan secara bersama.
Malah, ia pula selaras dengan sifat semula jadi kaum lelaki. Hubungan ini menjelaskan sifat kepimpinannya terhadap keluarga disebabkan perkahwinan dan pelaksanaan tanggungjawabnya kepada Allah.
Ia sebaliknya tidak memberikan kuasa untuk menindas isteri kepada seseorang suami. Ini juga bertujuan mengawal fungsi sosial tanpa mengabaikan hakikat bahawa sumbangan wanita adalah penting dalam memenuhi keperluan kewangan keluarga.
Perbezaan ini sangat penting untuk melenyapkan salah tanggapan terhadap peranan setiap pihak dalam hubungan kekeluargaan atau rumah tangga.
|
Kefahaman
Tanpa wujudnya kefahaman ini, ia pasti akan mendorong berlakunya penderaan fizikal atau mental yang lazimnya berlaku dalam kelompok masyarakat yang tertentu.
Ini disebabkan kegagalan memahami interpretasi kontekstual ayat-ayat al-Quran yang tertentu dan ia seringkali menyebabkan berlakunya kefahaman ayat-ayat al-Quran hanya secara literal.
Sebagai contoh, ayat yang membenarkan suami memukul isteri telah difahami sebagai galakan untuk melakukan keganasan rumah tangga yang seterusnya mendorong kepada diskriminasi gender.
Peruntukan ini secara khusus melibatkan hukuman fizikal 'dengan tujuan mendisiplinkan isteri tanpa sama sekali mengakibatkan kecederaan' oleh pihak berwajib terhadap wanita yang enggan melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan atau telah nusyuz.
Jika tidak, si suami hendaklah membayar ganti rugi atas apa juga bentuk kecederaan yang dilakukan terhadap isteri. Remedi ini hanya boleh dilakukan selepas beberapa langkah pencegahan dan usaha perdamaian diambil seperti melalui rundingan, nasihat keluarga atau pemisahan tempat tidur.
Ini kerana ajaran Islam tidak pernah sama sekali membenarkan perbuatan memukul atau mendera isteri yang merupakan amalan biasa pada zaman sebelum kedatangan Islam.
Diriwayatkan daripada Sunan Ibn Majah, dalam khutbah Baginda, Rasulullah SAW pernah secara sinis menyebut tentang kebiasaan kaum lelaki yang memukul isteri, namun kemudiannya meniduri mereka.
Selain itu, Aisyah RA juga pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah memukul hamba atau isteri Baginda serta apa-apa juga dengan tangannya.
Lantaran itu, dalam mengimbangi kedua-dua hak, penekanan diberikan terhadap kepentingan mengambil nasihat dan persefahaman secara bersama dalam keputusan keluarga yang disebut berulang-ulang kali dalam al-Quran.
Ia termasuklah pengurusan nafkah anak selepas penceraian, penyelesaian konflik rumah tangga dan dalam situasi yang rumit seperti penceraian.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: