|
SEJAK ditubuhkan pada tahun 1996, Ungu merupakan antara band yang masih lagi terus mampu menambat hati para peminat, terutamanya di Indonesia dan Malaysia dengan barisan lagu-lagu yang menjadi siulan ramai.
Di sebalik kegemilangan yang dinikmati Pasha (vokalis), Makki (bass), Oncy (gitar), Enda (gitar) dan Rowman (drum) sepanjang 17 tahun bersama dengan membawa nama Ungu berada dalam kelas tersendiri, sebenarnya band berkenaan hampir menjadi sejarah dahulu.
Itulah yang didedahkan oleh salah seorang anggotanya, Franco Medjaya Kusumah atau Enda pada sidang akhbar konsert Ungu Tercipta Untukku di Hotel Vivatel, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini apabila ditanya tentang cabaran yang pernah ditempuhi mereka sepanjang berkecimpung dalam arena muzik.
“Dua album terawal Ungu kurang mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat dan ia memberikan tekanan kepada kami.
“Kemudian keputusan diambil untuk menukar haluan dan bernaung dengan syarikat rakaman baharu.
“Pada tahun 2005, kami muncul dengan album terbaharu berjudul Melayang bersama syarikat pengurusan baharu dan bertekad sekiranya album ini gagal, kami akan berpecah.
“Tidak sangka pula lagu berjudul Demi Waktu yang terdapat dalam album ini mendapat sambutan hebat,” dedahnya.
Mengenai rahsia tentang kebangkitan yang dilalui mereka sehingga menjadi kegilaan peminat, Enda memberitahu salah satu faktornya ialah sentiasa bersabar dan mempunyai semangat juang yang tinggi.
Tidak menyembunyikan bahawa pernah wujud pertelingkahan sesama ahli sehingga memberikan tekanan yang hebat kepada mereka, segala masalah yang timbul cuba diatasi dengan sebaik mungkin demi meneruskan perjuangan dalam dunia muzik.
“Bukan mudah untuk kami terus kekal bersama sehingga ke hari ini, tetapi persahabatan yang terjalin sejak sekian lama banyak membantu kami dengan selalu melakukan perbincangan demi kebaikan kumpulan Ungu.
“Selain itu, menghasilkan karya yang bermutu dengan lagu-lagu yang dapat diterima pendengar juga memainkan peranan utama untuk kami terus kekal. Tidak dilupakan para peminat yang tidak jemu memberikan sokongan,” jelasnya.
Berbicara lanjut tentang perkembangan terbaharu mereka pula, Pasha pula mencelah dengan memberitahu bahawa mereka kini sedang dalam persiapan menghasilkan album baharu yang akan dilancarkan pada bulan Jun ini.
Menurut Pasha, berbanding dengan album Ungu yang pernah dihasilkan, kelainan yang akan ditampilkan kali ini ialah setiap lagu yang dirakamkan mereka akan menampilkan penerbit yang berbeza.
“Dalam album baharu kami mengandungi sebanyak 12 buah lagu baharu dan ini bermakna seramai 12 penerbit berbeza akan terlibat dalam pembikinan album ini dan sudah tentu ia sesuatu yang cukup istimewa.
“Segala persiapan kini sedang berjalan dengan lancar dan kalau tiada halangan album berkenaan akan dilancarkan pada bulan Jun ini.
“Kalau tiada halangan kami juga akan datang ke Malaysia untuk melancarkannya khusus buat peminat di sini,” ujar pemilik nama sebenar Sigit Purnomo Syamsuddin Said itu.
|
Siri jelajah
Selain sedang sibuk dengan pembikinan album baharu, Pasha menyatakan mereka turut merancang untuk mengadakan konsert siri jelajah di beberapa buah negara pada akhir tahun ini.
Jelasnya, siri jelajah yang dirancang mereka itu dilakukan sebagai hadiah istimewa mereka buat para peminat sempena meraikan ulang tahun penubuhan Ungu yang ke-17.
“Beberapa buah negara telah dipilih untuk menjayakan konsert siri jelajah ini seperti Malaysia, Singapura, Hong Kong, Jepun dan Australia. Pemilihan lokasi ini dibuat atas permintaan daripada peminat Ungu di negara-negara tersebut.
“Kami sasar siri jelajah ini akan dilaksanakan pada hujung tahun kerana mahu memberi tumpuan kepada pembikinan album baharu Ungu terlebih dahulu. Setelah semuanya selesai barulah kami akan membuat persiapan untuk konsert siri jelajah pula,” ujarnya.
Bagi meraikan ulang tahun penubuhan band berkenaan, Pasha berkata, syarikat rakaman mereka iaitu Suria Records telah menghasilkan sebuah box set versi platinum yang mengandungi 11 buah album Ungu, buku tentang perjalanan Ungu selama 17 tahun dan foto eksklusif mereka.
“Box set berkenaan hanya dihasilkan sebanyak 170 buah sahaja dan ia sudah pun habis dijual sekarang. Setiap box set yang dijual itu turut disertakan dengan nombor siri yang bermula dengan angka satu hingga 170,” jelasnya.
Dua bulan
Bercerita tentang konsert Ungu Tercipta Untukku yang berlangsung di Star Stage @ Kenangan Wholesale Centre, Kuala Lumpur pada 28 Februari lalu, Pasha meluahkan rasa terharunya kerana masih mendapat undangan mengadakan persembahan di Malaysia.
Ujarnya, pada peringkat awal wujud perasaan bimbang dalam dirinya serta anggota Ungu yang lain sekiranya timbul sebarang masalah yang akan membuatkan konsert berkenaan dibatalkan pada saat-saat akhir.
“Sudah tentu kami berasa risau memandangkan persiapan sudah dilakukan sejak dua bulan lalu. Namun begitu, perasaan risau itu akhirnya hilang setelah kami menjejakkan kaki ke Malaysia.
“Sejujurnya, kami tidak pernah bosan mengadakan persembahan di Malaysia kerana para peminat yang sentiasa mengalu-alukan kedatangan kami. Lagipun sambutan yang diterima agak menggalakkan setiap kali kami menghiburkan peminat di sini,” jelasnya.
Baru sahaja selesai mengadakan konsert di Esplande, Singapura kira-kira seminggu sebelum kehadiran mereka ke Malaysia, penyanyi itu memberitahu, Ungu akan meneruskan konsert mereka di Medan, Indonesia selepas kunjungan mereka ke negara ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: