Tuesday, March 18, 2014

Nuri, Hercules dinaik taraf


HERCULES C-130 antara pesawat pengangkut taktikal terbaik dan paling banyak digunakan di dunia.


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan menaik taraf dua pesawat pengangkutnya, iaitu helikopter Sikorsky S-61A4 (Nuri) dan Lockheed C-130H (Hercules) dengan teknologi terkini bagi memenuhi keperluan operasi semasa.
Program Pemanjangan Jangka Hayat Pesawat ini dijalankan oleh firma selenggara pertahanan tempatan, Airod Sdn. Bhd. (Airod) bagi memastikan kesiap siagaan ATM, khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Langkah itu selaras dengan program memobilisasikan aset ATM sedia ada termasuk melihat penggunaannya bagi mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone).
Proses itu melibatkan pertukaran peralatan berteknologi baharu termasuk sistem kokpit digital dan kotak gear yang boleh digunakan untuk tempoh dua dekad akan datang.
Program menaik taraf Nuri telah pun bermula sejak penghujung tahun lalu secara berperingkat-peringkat dan dijangka berakhir pada tahun 2015 dengan menelan kos RM500 juta.
Bagaimanapun, Kosmo! difahamkan hanya 15 daripada 30 buah helikopter Nuri sahaja yang akan dinaik taraf.
Pesawat Nuri buatan Amerika Syarikat yang digunakan sejak tahun 1968 perlu dinaik taraf bagi membolehkan aset tersebut signifikan dengan doktrin pertahanan negara terutama selepas kemasukan helikopter Eurocopter EC-725.
Jangka hayat
Sebelum ini, pesawat Nuri pernah dinaik taraf pada pertengahan tahun 1990-an oleh Airod dengan menggantikan beberapa komponen seperti sistem radar dan dipasang dengan sistem baharu navigasi serta sistem penjejak kedudukan global (GPS).
Program tersebut bagi memanjangkan lagi jangka hayatnya terutama untuk menyokong keperluan operasi ATM terutama Tentera Darat.
Pesawat Nuri turut digunakan dalam tugas operasi mencari dan menyelamat, selain terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan semasa banjir dan penerbangan ihsan.
Ketika ini, tiga buah skuadron TUDM mengendalikan helikopter Nuri iaitu No. 3 Skuadron di Butterworth, No. 5 Skuadron (Labuan) dan No. 7 Skuadron (Kuching).

NURI turut digunakan dalam misi mencari dan menyelamat di kawasan perairan dan hutan belantara.


Sepanjang perkhidmatannya, sebanyak 18 kemalangan udara Nuri dilaporkan dengan catatan 95 kematian.
Namun begitu, Nuri masih diakui sebagai sebuah helikopter pengangkut tentera antara yang terbaik di dunia.
Selain TUDM, helikopter jenis ini turut digunakan pasukan tentera dan pasukan penyelamat di lima buah negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom.
Sementara itu, Hercules yang merupakan pesawat pengangkut taktikal TUDM mula digunakan pada tahun 1976 menggantikan pesawat DHC-4 Caribou.
TUDM mempunyai 15 buah pesawat Hercules termasuk lima buah C-130H-30 iaitu versi dipanjangkan kerangkanya sebanyak 4.5 meter yang mula digunakan TUDM pada tahun 1995.
Walaupun TUDM dijadualkan menerima empat pesawat pengangkut terbaharu jenis Airbus A400M yang bersaiz lebih besar bermula tahun hadapan, namun khidmat Hercules masih lagi diperlukan.
Hercules yang menggunakan empat enjin turboprop mempunyai kapasiti muatan yang tinggi sama ada membawa kargo sebanyak 20 tan, 128 penumpang atau 92 anggota payung terjun.
Jimat perbelanjaan
Pesawat-pesawat ini yang dikendalikan oleh No. 14 Skuadron di Labuan dan No. 20 Skuadron (Subang) juga merupakan tulang belakang bagi pengangkutan Pasukan Atur Cepat (PAC) 10 Briged Para.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin ketika ditemui baru-baru ini berkata, langkah menaik taraf kedua-dua pesawat ini dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan berbanding membeli pesawat baharu.
Menurut beliau, meskipun usia helikopter Nuri melebihi 40 tahun, namun ia masih berkeadaan baik dan boleh digunakan untuk membantu menambah kekuatan pasukan keselamatan negara.
“Pada pandangan ATM, Nuri masih kuat dan kental cuma perlu ditambah baik dari segi sistem dan avioniknya.
Kita sudah dapatkan Eurocopter EC725 dan ia akan saling melengkapi dengan pesawat Nuri yang sedia ada.
“Pada masa sama, sebahagian daripada pesawat Nuri juga akan ditugaskan dalam cabang Tentera Darat sebagai helikopter pengangkut dan pelbagai peranan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: