Sunday, March 30, 2014

Penghormatan Anuar Zain


SEBAK. Anuar Zain mengalirkan air mata mengenangkan tragedi yang menimpa pesawat MH370.


SEPULUH tahun Anuar Zain menjadi anak kapal. Selama 10 tahun juga usia dewasanya dihabiskan di awan biru menjadi sebahagian daripada keluarga besar Penerbangan Malaysia (MAS).
Atas kedekatan rasa dan pertalian yang kekal tersemat dalam sanubarinya itu, dia tidak sanggup untuk meneruskan agenda persembahan Minggu Setiausahanya yang sepatutnya dijadualkan minggu depan.
Perasaan itu terdetik di hatinya sejak hari-hari terawal pesawat MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac lalu.
Sejak itu, setiap teori atau apa sahaja spekulasi mengenai pesawat yang membawa 239 penumpang termasuk 12 anak kapal itu akan memberi tekanan emosi yang cukup kuat terhadap dirinya.
"Emosi saya dan rasanya kita semua macam yoyo, ada masa menjunam jatuh ada masa melonjak. Walaupun kita boleh jalani hari-hari macam biasa, tapi setiap kali mengenangkan nasib pesawat berkenaan, kita akan sedih.
"Dalam tempoh sekarang, saya tak rasa untuk berhibur atau mampu menghiburkan orang.
"Saya tak mampu untuk tolong apa-apa kecuali terus berdoa dan ini cara saya untuk memberi penghormatan kepada keluarga penumpang terlibat," jelas Anuar Zain yang secara kebetulan membuat sidang media penundaan persembahannya itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pesawat berkenaan mengakhiri penerbangan di Lautan Hindi, Isnin lalu.
Tambah Anuar: "Keputusan ini baru sahaja dibuat setelah mendapat lampu hijau daripada semua pihak termasuk pihak hotel. Berita itu cukup menyedihkan namun kita semua harus terus berdoa."
Berkongsi pengalamannya sebagai pramugara, kata Anuar, biarpun tidak rapat dengan Ketua Pramugara, Andrew Nari dan penyelia, Patrick Francis Gomes yang berada dalam penerbangan MH370, dia pernah mengenali dan bekerjasama ketika sama-sama bertugas dahulu.
"Saya kenal Andrew tetapi kami tidaklah rapat. Sampai sekarang saya masih ramai kawan yang bekerja dengan MAS.
"Menurut kawan-kawan saya, semua anak kapal MH370 merupakan pekerja yang berkaliber, berdedikasi dan baik hati.
"Sebagai anak kapal, keselamatan penumpang memang perkara nombor satu," jelas Anuar yang buat pertama kali berkongsi perasaannya mengenai tragedi yang menimpa MH370.
Bagi Anuar, pasukan mencari dan menyelamat yang masih tidak putus harapan mencari jawapan berhubung MH370 harus terus diberi sokongan.
Sebagai rakyat Malaysia, Anuar merasakan inilah masanya untuk semua pihak bersatu sebagai satu team, iaitu Team Malaysia.
"Ketika semua orang sedang bersedih, setiap kecaman dan lawak mengenai MH370 sepatutnya tidak dipedulikan. Bayangkan perkara itu terjadi kepada ahli keluarga kita sendiri.
"Saya sebenarnya cukup marah dan sensitif dengan perkara itu. Ini bukan masa untuk buat lawak," reaksi Anuar mengenai jenaka dan teori yang mengisi debat media sosial sepanjang dua minggu kehilangan pesawat MH370 menjadi bualan hangat.
Kembali bercerita tentang penganjuran persembahan Minggu Setiausahanya, Anuar berasa lega. Dia berharap peminat juga dapat menerima perubahan tarikh konsertnya yang bertemakan Terindah...Anuar Zain itu.
"Setidak-tidaknya tarikh 29 April nanti agak jauh daripada tarikh sekarang. Buat masa ini, kami di Anuar Zain Network akan mengikuti perancangan asal dari segi persembahan.
"Kalau ada perubahan, masih ada masa. Latihan juga belum dijalankan," jelas Anuar yang belum memikirkan sebarang segmen khas mengenang MH370 semasa persembahannya kelak.
Setakat ini, hampir 70 peratus tiket persembahannya yang bertempat di One World Hotel, Petaling Jaya, Selangor itu sudah terjual.
Tiket-tiket persembahan Anuar Zain boleh dibeli menerusi www.tiketcharge.com.my manakala tiket untuk VIP boleh diperoleh terus dengan menghubungi Anuar Zain Network atau Nor di talian 019-3177476 atau 012-4642030.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: