|
PERANCANGAN dan strategi amat penting bagi seseorang anak seni itu untuk terus bertahan dalam industri hiburan yang kian mencabar dek kemunculan artis baharu.
Senario itu sekali gus memaksa artis yang sudah lama bertapak untuk tampil dengan sesuatu produk yang baharu.
Tanpa perancangan dan strategi yang rapi dan teratur, sudah pasti seseorang penghibur itu semakin sepi dan seterusnya, tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan peminat seni hiburan tempatan.
Kejayaan masa lalu sememangnya penting untuk memantapkan taraf kualiti seseorang penyanyi, namun apa yang penting mereka perlu sentiasa mengekalkan momentum dan kualiti dalam industri supaya terus stabil.
Itu yang dilakukan tiga bintang seni suara tempatan yang sudah tidak asing lagi, Tomok, Black, Jaclyn Victor dan pendatang baharu, RJ.
Mereka masing-masing telah mengatur strategi untuk kekal sebagai anak seni yang berkaliber dan disegani.
Bertemu dengan mereka pada majlis penyerahan penajaan mikrofon Sennheiser yang mencecah harga RM20,000 setiap seorang oleh syarikat pengedar barangan serta aksesori bunyi dan cahaya, syarikat Acoustic & Lighting System Sdn. Bhd., empat bintang yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Talent Unit & Monkey Bone itu bercerita mengenai perancangan karier seni masing-masing.
Black serius berlakon
Black yang teruja dengan penajaan mikrofon jenama Sennheiser itu sangat bersyukur. Ini kerana selain diberi kepercayaan untuk menggunakan mikrofon tersebut, dia juga diberi kebebasan untuk memilih warna kesukaannya iaitu merah.
Bercerita mengenai perancangan dan strategi dalam karier seninya pada masa akan datang, ujar Black, dia kini mengatur strategi untuk mula mempelbagaikan bakat dalam bidang seninya. Dia juga semakin serius dalam bidang lakonan.
"Pengalaman berlakon banyak mematangkan saya mengenai selok-belok dalam bidang lakonan.
"Kini, saya mula berasa lebih mudah untuk mengadaptasi persekitaran dunia lakonan.
"Selain itu saya menerima maklum balas yang baik daripada peminat, membuatkan perasaan saya membuak-buak untuk berlakon," ujar pelantun lagu hit Teman Pengganti itu.
Tambah Black, bidang seni sangat luas, dan pada masa yang sama dia ingin peminat dan orang ramai mengenali dirinya bukan kerana bakat nyanyian semata-mata tetapi juga bakat lakonannya.
"Bidang nyanyian dan lakonan merupakan cabang seni yang sama. Namun, kepelbagaian cabaran yang dihadapi membuatkan saya teruja untuk mencuba sesuatu yang baharu,
"Saya juga akan terus berlakon selagi saya merasakan ia tidak membebankan. Pada masa yang sama, ia tidak mengganggu karier dan jadual nyanyian saya," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Black kini sibuk mempromosikan single terbaharunya bersama rapper terkenal RJ yang berjudul Si Putih Si Merah, selain album penuh terbaharunya dijangka akan diterbitkan pada bulan Jun ini.
"Alhamdulillah, maklum balas daripada peminat menerusi lagu Si Putih Si Merah amat memberangsangkan.
"Saya dan RJ berharap lagu ini menjadi salah sebuah lagu yang akan bersaing pada Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun depan," ujar pemilik nama sebenar Hanifah Md. Hanafiah itu.
RJ ingin solo
Mula dikenali menerusi kolaborasinya bersama penyanyi tempatan termasuk Black, Raja Ema, Aishah dan Alif Aziz, Helmy atau lebih mesra dikenali sebagai rapper jambang, RJ kini mula mengorak langkah untuk berdiri secara solo.
Keputusan tersebut dilakukan setelah dia kini berasa yakin dengan dirinya untuk berdiri di atas kaki sendiri dan bakatnya dalam bidang nyanyian.
Bagaimanapun, RJ mengakui kolaborasinya bersama artis lain merupakan salah satu platfom untuknya supaya dikenali dalam industri hiburan tanah air.
Ujarnya: "Insya-Allah, kalau tidak ada aral melintang, saya akan merakamkan single terbaharu saya pada bulan Jun ini.
"Namun, ia masih lagi dalam peringkat draf dan sedang mencari komposer untuk merakamkan lagu tersebut.
"Keputusan drastik ini dilakukan setelah saya berfikir mengenai masa depan dan hala tuju perjalanan saya dalam karier seni.
"Saya mengakui sebelum ini tidak begitu serius dalam bidang nyanyian tetapi setelah bergerak solo, saya bertanggungjawab untuk mencorak masa depan karier saya sendiri."
Dalam perkembangan yang sama RJ berkata, sebelum ini dia tidak serius dalam bidang nyanyian kerana bertugas sebagai pegawai perhubungan awam untuk sebuah syarikat rakaman, Monkey Bone Sdn. Bhd.
Kerjayanya itu menyebabkan dia tidak boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang nyanyian.
"Saya telah melepaskan jawatan tersebut. Sekarang, saya telah bersedia untuk memberi sepenuh komitmen untuk karier nyanyian saya," ujarnya.
Mengulas mengenai perkembangan terbaharunya, RJ kini sibuk mempromosikan lagu duetnya bersama Raja Ema, Warna Hatiku.
Selain itu, RJ juga berkolaborasi dengan Winnie K menerusi lagu Cukuplah dan sebuah kumpulan pelajar universiti dalam bidang sastera iaitu GLP.
Jaclyn selesa, bersyukur
Sementara itu, Jaclyn Victor mengakui yang dia mempunyai perancangan besar dengan KRU Music.
Bagi pemilik nama Jaclyn Joshua Thanaraj Victor atau lebih mesra disapa Jac itu , dia mempunyai strategi yang tersendiri dalam memastikan kariernya sentiasa konsisten.
Menentukan genre muzik yang dinyanyikannya menepati cita rasa pendengar, Jac bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang mendatang.
Walaupun masih belum berkesempatan melebarkan sayap ke negara luar seperti ikon muzik tempatan lain, Jac percaya bahawa rezekinya telah ditentukan.
Dia yakin gilirannya untuk menembus pasaran luar negara bakal menjadi kenyataan kelak.
Berada di bawah naungan syarikat milik tiga nama besar industri hiburan tanah air iaitu Yusry Abdul Halim, Norman Abdul Halim, Edry Abdul Halim, ia ternyata bukan tiket untuk Jac berasa selesa.
"Saya sangat bersyukur kerana melalui bimbingan KRU Music, dan idea-idea yang bernas, ia mampu membawa perubahan kepada karier muzik saya, Mereka juga mempunyai perancangan besar untuk saya.
"Di samping itu, saya selesa dengan KRU Muzik memandangkan mereka memahami apa yang saya mahukan dalam karier muzik saya.
"Saya juga menyerahkan seluruh kepercayaan kepada dia kerana tiga lagu yang telah dihasilkan sebelum ini oleh Edry terdiri daripada Sebelah Jiwaku, Jagalah Diri dan Ikut Rentakku mendapat sambutan yang menggalakkan daripada peminat muzik tempatan," ujarnya.
Tomok tulis lirik
Juara program realiti televisyen One In The Million, Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Tomok kini mula meluaskan kerjaya seninya dengan mula berjinak-jinak dengan penulisan lirik.
Lagu runut bunyi filem Istanbul Aku Datang merupakan salah sebuah produk hasil tulisan lirik oleh Tomok dan maklum balas yang diterima daripada peminat sangat menggalakkan.
"Untuk album ketiga saya, empat daripada tujuh lagu yang dimuatkan dalam album tersebut menggunakan lirik yang ditulis sendiri. Alhamdulillah, setelah lagu Istanbul Aku Datang diterbitkan, ia terima oleh peminat.
"Ia membuatkan saya bersemangat untuk menulis lirik dan menghasilkan lagu mengikut cita rasa saya sendiri," ujarnya.
Tanbahnya, genre muzik pop rock yang dibawanya sedikit sebanyak telah menjadi titik tolak kepada perubahan karier muziknya.
"Saya mengakui perubahan itu perlu untuk kita maju ke hadapan di samping sentiasa melakukan pembaharuan untuk memastikan kita sentiasa diterima oleh para peminat," ujarnya.
Dalam pada itu, Tomok kini juga bergiat aktif dalam bidang lakonan dan baharu sahaja selesai daripada penggambaran drama bersiri 13 episod, Suamiku Jururawat bersama Yana Shamsudin.
"Saya bersyukur tawaran lakonan semakin bertambah tapi pada masa yang sama saya juga teringin untuk menguji bakat lakonan saya dalam filem jika diberi peluang," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: