Friday, March 14, 2014

Mandi hadas di sungai dan pantai



SUNGAI atau pantai termasuk dalam kategori air yang mengalir dan sah untuk mandi hadas di dalamnya.


SOALAN: Assalamualaikum Ustaz. Apakah boleh seseorang itu mandi hadas di sungai atau pantai kerana sedangkan orang ramai turut mandi dan berenang di kawasan tersebut dan mungkin mereka membuang air kecil? Mohon ustaz jelaskan.
JAWAPAN:
Waalaikumsalam. Terima kasih kepada saudara kerana sudi bertanya soalan. Pertamanya, kita perlu tahu bahawa air yang melebihi kadar dua kolah, yakni anggaran isipadunya kira-kira 230 liter atau 52 gelen adalah suci dari najis. Justeru, adalah harus untuk bersuci dan mengangkat hadas besar menggunakan air tersebut.
Sebagaimana yang kita maklum bahawa air sungai atau laut merupakan air mutlak dan sudah pasti melebihi sukatan dua kolah itu. Bahkan, air sungai dan laut sifatnya mengalir dan najis orang yang membuang air kecil tidak mempengaruhi warna, bau dan rasa air sungai atau laut.
Apabila cukup sukatan atau timbangan air sebanyak dua kolah, maka air tersebut tidak dikira najis yang disebabkan oleh benda lain, melainkan ia berubah dari segi warna, bau dan rasa.
Air yang kurang dari sukatan tersebut akan dikira najis (mutanajjis) apabila jatuh najis ke dalamnya, tidak kira berubah sama ada bau, warna ataupun rasa mengikut pandangan mazhab Syafie.
Jika mandi dalam sungai, laut ataupun kolam renang yang cukup sukatannya, hanya cukup setakat menyelam sebanyak dua tiga kali sahaja sambil berniat mengangkat hadas besar. Bagi wanita yang berambut panjang, pastikan air membasahi kulit kepala.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: