Wednesday, March 12, 2014

Hafiz terbuka soal kekasih

HAFIZ tidak pernah menyembunyikan kisah cintanya daripada pengetahuan umum.


SEBELUM ini penyanyi kelahiran Sarawak, Hafiz Suip lebih selesa untuk mengunci mulut daripada bercerita mengenai teman wanitanya.
Mengulas mengenai perkara itu kata Hafiz, dia mengakui sedang berkawan rapat dengan gadis yang dimaksudkan. Namun begitu, dia masih merahsiakan identiti individu tersebut memandangkan statusnya sebagai seorang penuntut universiti.
“Saya tidak menyembunyikan hubungan kami. Kalau ada yang ternampak kami bersama di luar rasanya tiada masalah, cuma saya tidak mahu realisasikan perkara yang tidak benar.
“Bagi saya, kami melalui kehidupan biasa seperti orang lain dan saya ada perancangan sendiri.
“Kata orang, sebelum tamatkan zaman bujang, saya perlu tempuhi pelbagai pancaroba yang ada di depan mata untuk persediaan hari akan datang,” ujarnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar minggu setiausaha A Golden Moment With Hafiz di Restoran Serai, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Bagaimanapun, Hafiz tidak mendedahkan perancangan untuk peringkat selanjutnya dalam perhubungan mereka kerana enggan mengganggu konsentrasi gadis itu.
Sementara itu, Hafiz dijadual akan mengadakan persembahan sempena minggu setiausaha A Golden Moment With Hafiz yang bakal berlangsung pada 22 April depan bermula pukul 12 tengah hari di Dewan Megah Matrade Hall, Matrade Exhibition & Convention, Kuala Lumpur.
Penyanyi Adira akan turut berganding dengan Hafiz untuk menyeri- kan acara anjuran COOP Matrade dengan kerjasama AMI Global Sdn. Bhd. (Ami Global) itu.
“Saya akan menyanyikan 10 buah lagu hit saya antaranya Awan Nano, Bahagiamu Deritaku, Ku Akui dan sebuah single terbaharu berjudul Kesimpulan.

HAFIZ dan Adira bersama Yusry pada sidang akhbar di Kuala Lumpur baru-baru ini.


“Selain itu, saya akan berduet dengan Adira untuk lagu Ombak Rindu dan Salahkah (nyanyian asal bersama Datuk Rossa) sempena majlis itu,” tambahnya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengarah Pemasaran Ami Global, Yusry Mohamad Yusof.
Pertama kali dijemput untuk menjayakan minggu setiausaha, kata Hafiz, dia tidak melihat kisah silamnya dengan Adira menjadi penghalang untuk berkongsi pentas.
“Mulanya saya sedikit terkejut apabila digandingkan dengan Adira tapi antara kami perlu ada sikap profesional. Yang lepas itu biarkan berlalu.
“Saya perlu pandai membahagikan masa antara kerjaya dan peribadi dan kedua-dua perkara itu tidak boleh dicampuradukkan.
“Alhamdulillah, ini pertama kali saya terbabit dengan minggu setiausaha.
“Pastinya cabaran berbeza daripada persembahan lain sebelum ini kerana saya perlu bercakap dengan audiens selain menyanyi,” jelasnya yang mengakui perlu belajar cara berkomunikasi dengan audiens menerusi Youtube.
Selain Adira, majlis itu akan dihoskan oleh pelakon dan pelawak terkenal Afdlin Shauki serta diserikan dengan persembahan peragaan pakaian rekaan Amer Rafiqee dan Erry Anuwar.
Tiket dijual pada harga RM780 untuk tempat duduk platinum, RM680 (emas) dan RM580 (perak). Maklumat lanjut hubungi 03-9200 5526 atau e-mel amiglobal2014@ yahoo.com.my.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: