Friday, March 28, 2014

Lampu LED jimatkan elektrik


LED ini tidak membebaskan haba yang banyak.


MENGGANTIKAN mentol biasa dan halogen dengan lampu diod pemancar cahaya (LED) di rumah mungkin menjadi antara petua penjimatan elektrik terbaik pada dekad ini.
Penggunaan LED sebagai lampu di rumah mampu menjimatkan elektrik sehingga 90 peratus kerana ia menggunakan kapasiti tenaga paling minimum.
Lampu LED yang menggunakan kapasiti elektrik sebanyak 12.5 watt mampu memberi pencahayaan sama terang dengan lampu biasa yang berkadar 80 watt.
Malah, cahaya dihasilkan LED lebih selamat kerana ia tidak membebaskan sinar ultra ungu yang berbahaya kepada kulit dan memberi keselesaan terhadap mata.
Selain itu, jangka hayat LED juga lebih lama sehingga 50,000 jam atau bersamaan 15 hingga 20 tahun berbanding lampu halogen dan kalimantang yang mudah rosak akibat kepanasan jika dipasang terlalu lama.
Pengurus Besar (Bahagian Produk Lampu) Philips Malaysia, Adrine Ong berkata, LED juga tidak menggunakan bahan berbahaya seperti plumbum dan raksa sebagaimana yang terdapat pada mentol lampu.
“Pengguna hari ini sentiasa mahu kepada produk yang selamat. Mereka juga lebih gemar untuk memilih produk yang mampu memberikan penjimatan.
“LED menawarkan penjimatan tenaga yang efisien untuk menerangi ruang rumah, pejabat dan tempat awam dengan lebih terang,” kata Adrine.
Beliau berkata demikian ketika majlis memperkenal produk inovasi lampu Philips LED the Way di Hotel Garden Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam majlis itu, lebih 10 model lampu LED untuk kegunaan rumah, ruang pejabat dan tempat awam diperkenal.
Antara produk LED diperkenal ialah mentol, lampu tiub menggantikan kalimantang, variasi lampu siling, lampu jalan dan lampu hiasan di ruang tamu serta dapur rumah.

TEKNOLOGI lampu LED semakin meluas penggunaannya termasuk pada kenderaan.


Haba
Ujar Adrine lagi, penggunaan LED juga tidak menyebabkan ruang rumah atau pejabat menjadi panas akibat pembebasan haba.
“Lampu biasa yang kita guna sejak berpuluh tahun dahulu bukan sahaja menggunakan tenaga elektrik yang banyak, tetapi juga membebaskan banyak haba dan menyebabkan pengguna berasa tidak selesa akibat panas.
“Pembebasan haba daripada lampu juga menyebabkan pendingin hawa menggunakan lebih banyak elektrik untuk menjadikan ruang rumah atau pejabat sentiasa sejuk.
“Jadi, penggunaan lampu sebenarnya mempunyai fungsi yang tidak kurang penting terhadap langkah awal penjimatan elektrik,” kata Adrine.
Menurut beliau lagi, meskipun kos untuk membeli dan memasang lampu LED lebih tinggi berbanding mentol biasa, ia sebaliknya menawarkan penjimatan jangka panjang.
Tambah Adrine, persekitaran di tempat awam yang gelap juga akan lebih selamat daripada bahaya sinaran ultra ungu sekiranya lampu-lampu jalan jenis mentol biasa diganti dengan LED.
“Di Philips, kita mendapati sebanyak 779 juta tong minyak diguna setiap hari untuk menjana elektrik dan 296 juta tan karbon dioksida dibebas sepanjang tahun disebabkan penggunaan lampu mentol biasa di seluruh dunia.
“Menyedari semua itu, LED menawarkan pilihan terbaik untuk penjimatan tenaga dan membantu mengawal pencemaran alam sekitar akibat pembebasan gas karbon dioksida,” katanya.
Adrine menambah, produk lampu LED keluaran Philips menjalani proses inovasi untuk menawarkan penjimatan elektrik secara optimum dan efisien.
Dalam pada itu, Philips menyasarkan pilihan pengguna terhadap lampu LED di Malaysia melebihi penggunaan mentol biasa di premis pejabat dan rumah kediaman menjelang 2015.
“Persekitaran akan lebih selamat melalui penggunaan LED. Penggunaan tenaga untuk menjana elektrik seperti minyak dan arang batu juga boleh dijimatkan.
“Sudah tiba masanya untuk menggantikan lampu-lampu biasa yang banyak menggunakan tenaga kepada LED yang lebih efisien,” kata Adrine.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: