Monday, March 24, 2014
Latihan minum darah ular
MELIHAT kelibat ular tedung dari jauh pun sudah cukup untuk membuatkan ramai orang menjerit ketakutan, inikan pula jika dipaksa menggigit leher reptilia itu hidup-hidup dan menghirup darahnya.
Kedengaran ngeri dan menjijikkan, namun itulah cabaran yang perlu ditempuh oleh anggota-anggota tentera yang mengikuti program tahunan Cobra Gold 2014.
Cobra Gold yang sudah 13 kali diadakan merupakan program latihan ketenteraan tahunan yang menggabungkan tentera dari beberapa buah negara termasuk Malaysia, Korea Selatan, Indonesia, Thailand, Amerika Syarikat, Singapura dan Jepun.
Latihan terbaharu melibatkan 8,000 anggota tentera yang dijalankan di wilayah Chanthaburi, Thailand, Februari lalu manakala tahun sebelumnya di Sanapit, negara yang sama.
Minum darah ular
Selain didedahkan dengan latihan daya kelangsungan hidup di dalam hutan, kesemua peserta yang dipilih oleh Pasukan Khas Tentera Diraja Thailand itu akan diajar dengan salah satu tradisi yang menjadi kebanggaan negara tersebut iaitu minum darah ular tedung sebaik haiwan tersebut ditangkap.
Ramai yang beranggapan darah ular tedung Asia Tenggara mempunyai penawar dan khasiat yang paling baik. Tidak hairanlah jika latihan ketenteraan tersebut turut diselitkan dengan cabaran memburu dan minum darah haiwan kategori pemangsa tersebut.
Darah ular sememangnya bernilai tinggi di sesetengah tempat. Di Jakarta, Indonesia, contohnya, arak yang dicampur darah ular dijual pada harga RM350 segelas.
Selain memburu ular tedung, tentera terbabit didedahkan dengan kaedah memburu dan memakan haiwan lain seperti serangga dan burung, begitu juga tumbuh-tumbuhan.
Bagaimanapun, latihan menangkap, membunuh dan minum darah ular tedung telah menerima pelbagai kritikan walaupun ia diakui lebih mencabar berbanding mencari sumber makanan lain di dalam hutan sewaktu darurat.
Survival hutan
Menurut salah seorang tenaga pengajar Cobra Gold, Rittichai Soontorn, pelatih seharusnya diberi pendedahan yang mendalam terhadap kaedah daya ketahanan diri di dalam belantara dan bukan memfokuskan kepada perkara sebaliknya yang pelik-pelik.
"Perkara ini tidak logik memandangkan banyak lagi benda lain yang mereka boleh bergantung untuk terus hidup bersendirian.
"Sebagai contoh, tumbuh-tumbuhan kerana ia sumber yang paling mudah dan cepat untuk diperoleh di dalam hutan," katanya seperti dipetik ABC News.
Dalam pada itu, Pegawai Memerintah KD Sri Pinang, Komander Abau Endin Boon berkata, latihan seperti itu disifatkan sebagai aneh dan dipercayai tidak pernah dipraktikkan dalam latihan ketenteraan di Malaysia.
"Biasanya dalam latihan hutan, tentera diajar cara menjerat, memburu binatang dan menghidupkan api.
"Selain itu, mereka juga diajar cara untuk mengenal pasti tumbuh-tumbuhan yang boleh di jadikan sumber makanan seperti ulam-ulaman dan sayur pucuk," katanya kepada Jurnal.
Tambah Abau, minum darah ular tedung bagaimanapun disifatkan normal dan sering dilakukan oleh sesetengah masyarakat di Malaysia.
"Saya pernah melihat sebuah gerai di pasar malam di Kuantan, Pahang yang menjual campuran darah ular tedung dan arak.
"Kecenderungan individu untuk minum minuman ini mungkin disebabkan oleh kepercayaan bahawa minuman tersebut kaya dengan pelbagai khasiat, malah mampu menguatkan tenaga batin," ujarnya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: