|
PENGALAMAN kadang kala merupakan guru yang terbaik dalam membentuk diri kita menjadi seorang yang matang mengharungi liku-liku kehidupan. Itulah ungkapan kata-kata emas yang dilontarkan oleh selebriti berdarah kacukan Irish-Melayu, Sarimah Ibrahim.
Walaupun pernah gagal melayari bahtera kehidupan rumah tangga sekitar lima tahun dahulu, ia bukan menjadi penghalang untuk Sarimah menerima orang baharu dalam kehidupannya.
Mengakui perasaan sedikit cemas dan serik untuk berpasangan, Sarimah bagaimanapun cuba memberanikan diri untuk menerima Tunku Nadzimuddin atau lebih mesra disapa Jamie dalam kehidupannya.
Tempoh perkenalan yang singkat iaitu tiga bulan sudah mampu membuat pasangan ini serasi bagaikan sudah lama bersama. Pertemuan mereka berlaku secara kebetulan. Sarimah berkata, ada sedikit kelainan pada diri Jamie yang membuatkan dirinya terbuka hati untuk menerima kembali cinta lelaki.
"Ada sedikit kelainan pada diri Jamie. Dia merupakan seorang yang penyayang dan memahami. Dia cukup lengkap bagi saya. Kami juga banyak berkongsi persamaan bersama dan persamaan itulah yang membibitkan perasaan cinta antara kami berdua.
"Namun, pada masa yang sama juga masih dalam proses saling mengenali antara satu sama lain. Kami tidak ingin terlalu gopoh bila berbincang mengenai hal ini kerana ia melibatkan banyak pihak termasuk ibu bapa kami," ujar Sarimah yang ditemani Jamie ketika segmen khas Desperately Seeking Sarimah (#DSS) bersama Mix FM di Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.
Mengambil masa lima tahun untuk mencari pengganti, Sarimah mengakui dia agak takut dan serik untuk bercinta lagi.
Baginya, pengalaman bersama bekas suami, Andrew Browning Abdullah menjadikan dia berhati-hati mengatur langkah terutamanya melibatkan teman hidup.
"Saya tidak pernah terfikir untuk mempunyai teman hidup apatah lagi untuk berkahwin lagi. Saya rela mengambil anak angkat sebagai peneman hidup. Namun, segalanya berubah selepas kedatangan Jamie.
"Dia memberi harapan baharu dan merubah pemikiran serta perspektif saya mengenai kehidupan dan saya senang bersamanya. Berkongsi minat dan hobi yang sama buat saya lebih rapat dengannya," ujar pelakon yang pernah membintangi filem Janji Diana itu.
Dedah kekasih
Mengulas mengenai sebab pelantun lagu Kini Kau Tiada itu ingin mendedahkan kekasihnya, Sarimah berkata, dia ingin mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Baginya biarlah dia jujur sebelum spekulasi tidak baik timbul.
"Biarlah saya uar-uarkan perkara ini sebelum ia menjadi fitnah, saya tidak mahu orang ramai menyalah ertikan hubungan kami selepas ini. Apabila semua sudah jelas, Insya-Allah segalanya akan menjadi baik.
"Saya sedar risiko apabila mendedahkan hubungan kami kerana ia begitu singkat, namun adakalanya risiko itu perlu dihadapi untuk mengecapi masa depan yang diingini," ujarnya.
Sarimah menambah, pada mulanya dia ingin merahsiakan perhubungannya namun memandangkan dia merupakan selebriti, hasrat tersebut terpaksa dibatalkan demi menjaga hati semua pihak terutamanya kekasihnya, Jamie.
|
Bercerita mengenai titik tolak kepada pendedahan kekasihnya yang juga cucu kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-10, Sarimah berkata, Desperately Seeking Sarimah (#DSS) di Mix FM merupakan antara sebab utama dia mendedahkan kekasihnya itu.
Segmen DSS yang dikendalikan oleh Deejay Rod Monteiro itu telah merangka sebuah program untuk mencari teman kepada Sarimah dan pemenang akan berpeluang untuk makan malam bersama selebriti itu.
Segmen tersebut mendapat sambutan luar biasa daripada peminat apabila disertai lebih 400 penyertaan daripada seluruh dunia.
Empat finalis yang telah terpilih menampakkan kesungguhan mereka untuk menawan hati Sarimah dan daripada situ segalanya berubah.
"Ketika program tersebut berlangsung, saya berada di Hong Kong, China. Setelah pulang, saya amat terkejut apabila Rod memberitahu saya supaya memilih finalis yang telah disenarai pendekkan.
"Saya tidak sangka, pada masa yang sama saya mulai sedar perkara ini bukannya main-main dan saya terpaksa meminta maaf secara baik kepada finalis itu dan mendedahkan bahawa hati saya telah berpunya," katanya.
Serik bersuamikan orang putih.
Sarimah memberitahu, dia kini sudah serik berkahwin dengan lelaki warga asing. Perbezaan budaya dan kehidupan merupakan antara elemen yang penting baginya kini.
"Pada mulanya saya tidak kisah siapapun yang akan menjadi suami saya kerana saya percayakan jodoh, tetapi pada masa yang sama pengalaman bersuamikan orang luar sememangnya mengajar saya.
"Persamaan budaya sangat penting dalam memastikan kebahagiaan dan kefahaman dalam perhubungan suami isteri terjalin dengan penuh harmoni," ujarnya.
Sarimah menambah, kekasih baharunya, Jamie merupakan seorang lelaki Melayu dan sudah biasa dengan kehidupan dan sosiologi di Malaysia. Permasalahan seperti silang budaya tidak menjadi masalah kepadanya.
"Saya bersyukur akhirnya saya ditemukan dengan jejaka Melayu, ramai orang mengatakan bahawa saya hanya memilih lelaki berkulit putih sahaja untuk dijadikan suami, tapi pandangan mereka salah.
"Saya lebih selesa sebenarnya jika bakal suami saya terdiri daripada orang Melayu sahaja," ujarnya yang bakal muncul dengan sebuah single berjudul You On My Mind. bersama penyanyi dan penulis lirik terkenal Eropah, Simon J Bailey.
Jamie bersedia
Dalam pada itu, kekasih Sarimah yang setia menemaninya di sisi, Jamie tersenyum ketika ditebak dengan persoalan kesediaannya untuk menerima selebriti dalam kehidupannya.
Jamie sebelum ini mengaku dia tidak pernah mengenali Sarimah secara peribadi, namun dalam masa singkat dia cuba untuk memahami hati kekasihnya itu.
"Memandangkan saya sudah lama berada di luar negara untuk menamatkan pengajian di sebuah Universiti di West Sussex, United Kingdom, saya tidak tahu menahu pasal perkembangan dia apatah lagi dunia hiburan.
"Namun setelah mula mengenalinya, saya mula membuat kajian mengenai latar belakangnya dan cuba memahami kerjayanya sebagai seorang anak seni.
"Dia merupakan selebriti, saya perlu faham dia bukan milik saya sahaja dia milik semua orang terutamanya peminatnya. Saya juga cuba untuk memahami kerjaya dia," ujar jejaka yang berusia 42 tahun itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: