Friday, March 21, 2014

Rajin zikir, solat hajat rahsia cemerlang


  • Rajin zikir, solat hajat rahsia cemerlangIzzah (kiri) dan Faqihiyah menunjukkan slip SPM mereka, semalam.

KOTA BHARU - Rajin berzikir dan solat hajat, memberi keyakinan kepada dua calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 12A dari Maahad Muhammadi Perempuan, semalam.

Faqihiyah Abu Bakar, 18, yang berasal dari Lundang, berkata, dia sememangnya tidak sangka meraih keputusan cemerlang itu kerana hanya memperoleh 10A dalam peperiksaan percubaan.

“Saya mempunyai bilik belajar sendiri di rumah dan sentiasa solat hajat serta mengamalkan zikir dalam usaha mendapatkan keputusan cemerlang ini.

“Dalam peperiksaan percubaan, saya hanya dapat B+ untuk mata pelajaran Fizik dan C bagi Matematik Tambahan, justeru, saya beri penekanan dan akhirnya kedua-dua subjek ini saya peroleh A- dan A,” katanya.

Sementara itu, bapanya, Abu Bakar Abdullah Kutty yang juga Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Kelantan, berkata, dia sentiasa memantau pelajaran anaknya.

Ibunya pula, Fatimah Hassan, 51, berkata, anak ketiga daripada enam beradik itu tidak makan makanan segera dan organ dalaman, sebaliknya gemar makan kismis, madu serta kurma.

“Dia banyak berzikir di rumah dan setiap hari saya akan pastikan anak makan sebelum jam 7 malam bagi memberi laluan kepadanya berzikir di bilik,” kata guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor ini.

Sementara itu, seorang lagi pelajar 12A, Izzah Khairul Anuar, 18, dari Kampung Talak, Cabang Empat Tumpat berkata, dia hanya memperoleh keputusan sederhana ketika peperiksaan percubaan dan pernah gagal untuk subjek Kimia.

“Namun, guru kelas, Rohiah Mohamad selalu memberi semangat dengan menepuk di belakang saya semasa dalam kelas yang membuatkan saya menginsafi diri dan bersemangat,” kata anak kepada guru Maahad Muhammadi Lelaki.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: