Tuesday, March 18, 2014

Bukan sekadar milik pendekar dan raja


REKAAN tanjak urban Kotak Hitam berjaya menarik minat anak-anak muda untuk kembali bertanjak.


KALAU dihimpun setiap jenis tengkolok, destar atau tanjak Melayu, pasti ramai yang terlopong hairan. Lebih-lebih lagi orang sekarang yang sangat cetek pengetahuan- nya terhadap warisan silam itu.
Nama-nama seperti Tanjak Lang Melayang (Terengganu), Tengkolok Putera Kayangan (Perlis), Tanjak Pari Mudik (Selangor), Destar Patah Kepak (Perak), Destar Raja Naik Bersiram (Pahang), Destar Dendam Berahi (Negeri Sembilan), Destar Ketam Budu (Kelantan), Destar Siga (Sabah), Tanjak Tebing Laksamana (Johor), Destar Laksamana Kedah (Kedah) dan Tanjak Bugis Tak Balik (Sarawak) barangkali asing dalam kalangan orang awam.
Perkembangan tanjak dalam peradaban orang Melayu berlaku secara berperingkat. Berteraskan catatan sejarah, tanjak mula dipakai lelaki Melayu pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Ia bertujuan menutup kepala dan mengemaskan rambut yang panjang.
Begitupun, kajian ilmu terhadap kegemilangan aksesori klasik itu jarang diberi perhatian. Kesannya dapat dilihat hari ini. Kanak-kanak termasuk golongan muda menyimpan tanggapan kuno apabila ditanya tentang tanjak. Kata mereka, ia ketinggalan zaman dan hanya untuk pendekar.
Konsep pemahaman yang diguna pakai itu sebenarnya mencalarkan imej tanjak dalam masyarakat kita sendiri. Pada hakikatnya, tanjak bukan sekadar untuk raja, bangsawan ataupun pahlawan seperti Hang Tuah dan Hang Jebat.

TANJAK, tengkolok atau destar klasik diperbuat daripada kain sutera asli. - Gambar hiasan


Tanjak urban
Rakyat biasa yang terdiri daripada petani, penternak dan nelayan pada zaman dulu juga tidak terkecuali menjadikan tanjak sebagai penutup kepala setiap hari.
“Kita boleh labelkan ia sebagai serban untuk orang Melayu. Serban yang fungsinya kini lebih condong untuk beribadat diperkenalkan orang Arab. Konsepnya juga sama seperti tanjak iaitu menutup kepala,” pendapat ilmiah daripada pengasas Kotak Hitam Art Studio/Clothing (Kotak Hitam),
Hazriansyah Kamalsha, 29, yang mesra disapa Tok Pek ketika ditemui baru-baru ini.
Di bawah Kotak Hitam, Hazriansyah bersama rakan kongsinya, Ahmad Mustaqim Rodzuan, 26, memperbaharui tanjak Melayu. Objektif mereka adalah untuk memupuk kecintaan anak- anak muda terhadap warisan klasik dan secara tidak langsung mengembali- kan kegemilangan tanjak.
Gerakan murni itu bermula menerusi perancangan revolusi dan transformasi pada tahun 2011. Mereka menyasarkan lebih 50 peratus orang Melayu Malaysia memakai tanjak sebagai aksesori harian. Begitupun, ia masih jauh untuk direalisasikan.
Setahun kemudian iaitu pada tahun 2012, Kotak Hitam cuba mengkomersialkan rekaan tanjak urban mereka. Acara pakaian label tempatan Getup Kluang! di Kluang, Johor menjadi platform awal mereka. Berpandukan satu prototaip, mereka menerima maklum balas positif.
Tidak menunggu lama, Kotak Hitam lantas mengeluarkan tanjak daripada lima jenis material. Denim gelap, denim terang, korduroi gelap, korduroi terang dan celoreng bomba adalah pertaruhan awal mereka.
“Sebenarnya kami mahu gunakan celoreng askar tapi tidak jumpa. Namun sekarang kami telah mempunyai rangkaian tanjak dengan celoreng tersebut,” jelas Hazriansyah.
Pilihan fabrik tersebut menyimpang jauh daripada penggunaan songket bagi menghasilkan tanjak klasik. Kegilaan anak muda terhadap denim banyak memberi impak kepada perkembangan tanjak keluaran Kotak Hitam. Tamba- han lagi ia ringkas dan polos tanpa sebarang motif.
Saiz tanjak juga disesuaikan dengan ciri pelekat velcro. Berukuran 30 x 30 inci, saiz tersebut berbeza daripada kiraan tradisional yang menggunakan nombor ganjil bermula daripada 31 hingga 41 inci. Saiz lama itu lebih panjang dan lebar kerana ia perlu diikat secara manual.
TANJAK sering dikaitkan dengan pendekar Melayu termasuk hulubalang Melaka iaitu Hang Tuah dan Hang Jebat. - Gambar hiasan


Aksesori
Tanjak selalunya diukur mengikut kepala lutut kerana saiznya sama dengan lilitan kepala.
Ciri boleh laras tanjak Kotak Hitam juga diakui sendiri Hazriansyah sebagai salah dalam konteks tanjak tradisional. Mengikut syarat asal, satu tanjak hanya direka untuk satu kepala. Ia tidak boleh bertukar milik.
Ahmad Mustaqim menambah, usaha mempromosikan tanjak sebagai aksesori harian di negara ini bagaimanapun berdepan sedikit tentangan. Pertembungan prinsip antara orang lama dan Kotak Hitam tentang pengubahsuaian dan adaptasi fungsi tanjak menyulitkan kelancaran gerakan.
Begitupun, teguran itu bukanlah secara kasar, malah lebih kepada pesanan.
Tanggungjawab memulangkan semula keagungan tanjak Melayu dalam kalangan anak muda turut diiringi penye- baran maklumat tentang pemakaian tanjak dengan betul.
Buktinya, setiap pembeli tanjak urban Kotak Hitam wajib mendengar penjelasan khusus berkenaan bahagian-bahagian tanjak, maksud lapisan dan lambaian, cara pemakaian serta pantang larang.
“Kami tidak mengejar keuntungan semata-mata. Kami mahu setiap pelanggan memahami sepenuhnya fungsi dan cara memakai tanjak mengikut syarat yang betul,” dedah Ahmad Mustaqim.
Lipatan
Menyentuh proses peng- hasilan, Ahmad Mustaqim memberitahu, secara tradisinya, setiap tanjak daripada fabrik songket memakan masa selama tujuh hari untuk disiapkan sepenuhnya termasuk upacara khas.
Lipatan tanjak mengikut urutan lama dibahagikan kepada 10 langkah. Didahulukan dengan langkah bermula, diikuti risik melangkah, risik bertemu, cincin dikembang, lambai kasih, kasih berjawab, kasih bermula, bertemu kasih, gelombang kasih dan diakhiri bersama lambaian kasih.
Bagi tanjak urban Kotak Hitam, tapaknya terdiri daripada lima lapis. Ia masih mengekalkan bilangan ganjil yang kebiasaannya ditetapkan sama ada satu, tiga, lima atau tujuh lapisan tapak.
Hanya penghujung tanjak sebelah kiri boleh dinaikkan memandangkan sebelah kanan khusus untuk raja dan kerabatnya sahaja.
Selain tanjak, Kotak Hitam juga giat mempromosikan jaket layang yang menyerupai pakaian tradisional Melayu yang sering dipadankan bersama tanjak. Sebagai suntikan kelainan, ia direka dengan material denim dan fabrik bercorak celoreng.
Baju-T Pusaka Warisan yang turut dicipta Kotak Hitam pula mengangkat kehalusan seni motif pucuk rebung.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: