|
BERASAL daripada keluarga petani nyata memberi satu kelebihan kepada pelukis berbakat besar, Mohd. Faizal Md. Suhif, 30, dalam menghasilkan karya-karya seninya.
Ditambah pula, pengalaman berkunjung ke luar negara seperti Singapura, Beijing, China dan Bali, Indonesia mematangkan beliau dalam menjadikan alam semula jadi sebagai subjek utama karyanya.
Hasilnya, sebanyak 25 karya beliau dipamerkan di dinding Galeri G13, Kelana Square, Jalan SS7/26, Kelana Jaya, Selangor. Pameran solo Mohd. Faizal berlangsung sehingga 22 Mac ini.
Sempena pameran itu, beliau turut melancarkan laman web peribadi iaitu www.faizalsuhif.com. Pengunjung berpeluang untuk mendapatkan maklumat mengenai anak muda ini dan mengikuti perjalanan seninya.
Mohd. Faizal yang berasal dari Muar, Johor, berkata, karya yang dihasilkannya adalah berdasarkan catatan lakaran dalam diari hariannya.
Menjadi saksi kepada tanah dan persekitaran luar negara menambahkan kematangan pelukis muda ini dalam pameran solo kali kelimanya yang bertemakan 'Stories From The Soil' itu.
"Berbekalkan pengalaman yang diperoleh telah banyak mengajar saya cara-cara untuk bergaul dengan kenalan baharu dari seluruh negara dan melihat keindahan ciptaan Ilahi.
"Saya berharap agar karya dihasilkan ini mampu memberikan manfaat kepada generasi kini dan akan datang dan menjadi sebuah bentuk pemahaman bahawa kita harus sentiasa peka pada setiap masa, ketika dan di mana sekali pun kita berada," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Sentuhan alam
Hasil seni menggunakan teknik yang menarik dengan gabungan alam semula jadi diolah ke atas lukisannya. Selain itu, teknik lukisan yang menggunakan cat air yang dihasilkan oleh beliau sangat menarik kerana memberi makna di sebalik visual melalui citarasanya.
Menerusi pengalaman hidup anak keempat daripada enam beradik yang sedang mencipta nama di persada seni visual tempatan, Mohd. Faizal menghasilkan karya yang terdiri daripada pemerhatian terhadap alam semula jadi. Antara karya seninya yang dipamerkan di galeri itu berjudul Buka Tanah, Diari Anak Petani, Sebenih Sepi dan Sepetak Puisi.
"Buka Tanah mempunyai bentukan siput, benih dan dedaun serta ranting di atas tanaman. Daripada biji benih akan tumbuh pokok, batang, daun, buah yang berbeza-beza. Pengaruh alam sekeliling sememangnya dekat dengan kehidupan manusia dan saya zahirkan menerusi karya.
"Sebenih Sepi pula mengingatkan kita bahawa setiap makhluk akan kembali kepada Pencipta dalam timbunan tanah liat kelihatan bersendirian dan sepi. Kejadian manusia dari tanah dan akan pulang ke tanah yang merupakan semaian yang tersirat dalam lukisan tersebut," ujarnya.
Simbolik diri
Pengisian karya beliau turut merencanakan apa yang ingin disampaikan kepada khalayak mengenai kepekaan manusia kepada alam. Di samping itu, karya seni dan tanah yang menghiasi ruang pameran adalah sebagai simbolik kepada dirinya untuk berbicara soal hati, keyakinan, ketaatan dan bagaimana setiap makhluk akan kembali kepada yang asal iaitu tanah.
"Saya gambarkan dalam karya apa yang telah dilalui selama ini iaitu lebih cenderung ke arah bercucuk tanam.
"Jika ia diuruskan dengan cara yang betul, maka ia bakal memberikan manfaat kepada sesiapa sahaja,"tambahnya.
Dokumentasi diari visual dalam bentuk catan, lakaran visual dan nukilan puisi telah dilakukan di atas kanvas untuk dikongsikan bersama berdasarkan pengalaman selama berada di beberapa negara yang pernah dikunjunginya termasuk Bangladesh dan Jepun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: