Monday, March 24, 2014

Orkid dalam talian


ERRY mendapat idea untuk mencipta aplikasi membeli orkid secara online apabila bertemu dengan seorang pengusaha ladang orkid.


KIRA-KIRA empat tahun yang lalu, pemilik nama Erry Ezzua Mohd. Ali Murad, 35, hanya mampu menzahirkan perasaan kagum tatkala tablet pintar nombor satu dunia jenama iPad, berada dalam genggaman tangan.
Keterujaan tersebut bukan disebabkan iPad menjadi fenomena luar biasa masyarakat setempat pada ketika itu, tetapi ia lebih kepada aplikasi-aplikasi yang dimuatkan di dalam peranti mudah alih tersebut.
Dari saat itu, anak jati kelahiran Selangor ini terus menanam azam untuk mencipta aplikasi sendiri pada suatu nanti.
Bagaimanapun, graduan Diploma Seni Reka Grafik daripada Kolej Cosmopoint itu kini mampu tersenyum lebar apabila impiannya untuk mereka cipta aplikasi miliknya sendiri menjadi kenyataan.
“Saya sendiri pun tidak menyangka mampu mencipta aplikasi sendiri memandangkan sebelum ini saya bukan daripada jurusan tersebut.
“Tetapi disebabkan naluri saya kuat untuk mencuba, saya belajar perlahan-lahan menerusi buku dan internet, selain berbekalkan pengalaman yang saya timba sewaktu bekerja di sebuah syarikat swasta. Kini, setelah hampir tiga tahun berhempas-pulas, usaha tersebut ternyata membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.
Cipta aplikasi orkid
Membeli jambangan bunga orkid menerusi aplikasi yang dimuat turun menerusi telefon pintar pastinya kedengaran agak janggal dan belum pernah dipraktikkan oleh mana-mana individu sebelum ini.
Namun itu hakikat yang harus dibanggakan selepas inovasi tersebut berjaya dimuat turun menerusi aplikasi Google Play Store, setelah hampir tiga minggu memerah keringat.
Mengimbau kembali detik-detik itu, ujar Erry, idea untuk mencipta aplikasi tersebut diperoleh sewaktu bertemu dengan seorang pengusaha ladang orkid.
“Secara kebetulan pada ketika itu, kami membincangkan bagaimana untuk mengkomersialkan perniagaan tersebut memandangkan dia hanya ada produk berkaitan pokok orkid.
“Namun setelah perbincangan dijalankan, saya tampil dengan idea tersebut dan kini, aplikasi itu sudah boleh digunakan sepenuhnya dengan mudah kira-kira dua bulan yang lalu,” ujarnya.

APLIKASI membeli orkid secara online memudahkan pengguna untuk membuat pilihan dan pembayaran.


Hexagon Orchids merupakan aplikasi pertama ciptaan Erry.
Aplikasi yang dibangunkan itu bukan sahaja memudahkan pengguna membeli jambangan orkid secara atas talian tanpa mengira waktu, namun, pengguna juga berupaya mendapatkan maklumat berkaitan produk serta promosi melalui penggunaan fungsi ‘Push Notification’. Melalui penggunaan aplikasi ini juga akan menggabungkan media sosial yang lain seperti Facebook, Blogspot dan Twitter bawah satu aplikasi.
Ujar Erry, melalui aplikasi tersebut, pengguna lebih mudah untuk membuat pilihan selain membuat pembayaran menggunakan kredit atau kad debit.
“Bukan itu sahaja, kedua-dua pengguna dan peniaga mampu berhubung secara terus secara online.
“Selain itu, ia juga mudah untuk difahami dan digunakan oleh sesiapa sahaja dan pengguna kini tidak perlu lagi beratur panjang ke institusi perbankan untuk membuat pembayaran,” katanya.
Industri kecil sederhana
Sebaik ditanya apa yang membuatkan dia sanggup keluar daripada zon selesa dan memperjudikan masa dengan aplikasi ini, Erry hanya tersenyum.
Menurutnya, semangat tersebut turut didorong dengan perasaan ingin membantu peniaga-peniaga IKS untuk mengorak langkah lebih maju ke hadapan, dalam bidang yang diceburi.
“Sekarang ini kita lihat internet di hujung jari dan hampir 70 peratus daripada peniaga menggunakan kaedah tersebut dalam menjalankan perniagaan mereka.
“Namun begitu, masih ramai lagi yang tidak mengetahui kaedah-kaedah betul, selain tidak mampu untuk melabur memandangkan kos yang diperlukan agak tinggi,” ujarnya.
Ujarnya, melalui platform yang disediakan, dia berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu peniaga dalam mengembangkan lagi perniagaan mereka.
“Ia secara tidak langsung dapat membantu peniaga-peniaga IKS di Malaysia dalam menggunakan aplikasi telefon sebagai salah satu strategi pemasaran produk mereka,” jelasnya.
Cabaran
Walaupun pada dasarnya membangunkan aplikasi kelihatan mudah, namun, Erry mengakui tidak terlepas daripada dibelenggu dengan pelbagai masalah.
Ini kerana, selain berdepan dengan pelanggan, dia perlu mereka cipta bentuk dan susun atur dari awal, sehingga semuanya selesai.
“Pada saya semua mampu diselesaikan dengan mudah. Bagaimanapun salah satu cabaran apabila aplikasi tersebut sudah siap dan menunggu untuk dimuat naik ke dalam Apple Apps Store mahu pun Google Play Store. Cabaran lain adalah seperti memperkemas aplikasi bagi memastikan ia berjalan dengan baik apabila pengguna menggunakan aplikasi tersebut.
“Memuat naik aplikasi ke Google Play Store tidak terlalu rumit berbanding Apple Apps Store,” jelasnya.
Umumnya, Google Play Store hanya mengambil masa beberapa hari sebelum sesuatu aplikasi lulus untuk dimuat naik.
Sebaliknya Apple Apps Store mengambil masa sekurang-kurangnya satu hingga dua minggu bergantung kepada kelulusan Apple.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: