Friday, March 14, 2014

Hunny sanggup ambil risiko


HUNNY MADU kini mahu fokus dan serius dalam bidang nyanyian.


ENAM tahun bagi Hunny Madu sudah cukup untuk menggalas tugasan sebagai penyampai radio Fly FM dan Hot FM.
Hunny atau nama sebenarnya, Hani Farhana Mohd. Hatim, 29, akhirnya melepaskan tugasannya itu pada 31 Disember lalu.
Ia adalah bagi menumpukan perhatiannya pada bidang nyanyian dan syarikat produksi milik keluarga, MTertain Sdn. Bhd.
"Saya bermula sebagai penyampai radio dan ia tempat yang bagus untuk mengasah bakat. Kalau tak jadi penyampai radio, mungkin saya tiada peluang jadi hos program seperti Nasi Lemak Kopi O dan Versus.
"Bagaimanapun, sebelum umur 30 tahun, saya buat keputusan untuk fokus menyanyi, dan ia lebih baik jika saya tidak terikat dengan mana-mana stesen radio.
"Kalau kita menyanyi dan juga menjadi penyampai radio, muzik kita akan mati. Jadi, saya korbankan kerjaya radio untuk jadi penyanyi," ungkapnya ketika ditemui pada majlis pelancaran suatu jenama barangan kemas di KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini
Memilih untuk menyanyi daripada menjadi penyampai radio, Hunny mengakui risikonya. Namun, dalam hidup dia perlu mengambil risiko itu.
"Ada orang cakap lebih baik saya jadi penyampai radio daripada menyanyi. Saya ambil sebaris bait lagu Oh Chentaku sebagai kekuatan iaitu 'baik mati mencuba, jangan mati kecewa'.
"Semua benda saya buat kerana minat tetapi apabila kita sudah kurang minat, baik undur diri daripada beri kesan kepada pasukan," akuinya yang mencintai dunia nyanyian lebih daripada dunia penyampaian radio.
Selama ini, Hunny tidak berpeluang serius dengan nyanyian sebab sibuk dengan komitmen pada radio. Jadi, dia korbankan kerjaya di radio demi mencapai impiannya untuk bergelar penyanyi.
"Selain tu, saya juga kini bergelar penerbit bagi syarikat produksi milik keluarga iaitu MTertain Sdn. Bhd. yang ditubuhkan sejak lima tahun lalu.
"Kami menghasilkan program-program untuk stesen-stesen TV. Setakat ini kami sudah terbitkan dua program iaitu Raikan Cinta dan Destinasi Ria," kongsinya lagi.
Anak Sheila Majid
Bakal melancarkan album mixtape pada April depan, Hunny memilih untuk berkolaborasi bersama anak penyanyi hebat, Sheila Majid iaitu Kayda Aziz.
"Album mixtape ini dibuat untuk promosi sahaja. Maksudnya ia percuma. Album yang berjudul Go Hard Or Go Stan ini menampilkan dua penyanyi rap wanita iaitu saya dan Kayda. Ia akan dilancarkan pada bulan April depan.
"Di Malaysia, belum ada penyanyi rap wanita terutama sekali yang bergabung dalam satu album yang sama.
"Kayda merupakan seorang penyanyi rap wanita yang berbakat dan kebetulan, sambutan hari jadi kami berdua pada bulan April. Jadi, sangat sesuai album ini dilancarkan pada bulan April," jelas ibu kepada seorang anak perempuan yang kini berusia setahun, Eva Medina.
Selain menyanyi dan bertindak sebagai penerbit syarikat produksi keluarga, Hunny juga masih menjadi pengacara TV untuk program Nasi Lemak Kopi O dan Hip TV.
Kata Hunny, dia suka menjadi pengacara TV kerana sentiasa didedahkan dengan maklumat baharu.
"Saya sentiasa berminat menjadi pengacara TV. Menerusi Nasi Lemak Kopi O, saya didedahkan dengan intipati mengenai Malaysia.
"Ia membuatkan saya tahu banyak perkara yang saya tidak tahu selama ini," hujahnya yang kini sudah tiga tahun bersama Nasi Lemak Kopi O dan setahun bersama Hip TV.
Hati hancur
Terlanjur berkongsi cerita mengenai kerjaya, Hunny turut ditanya mengenai anak perempuannya, Eva.
Tidak menolak Eva juga menjadi salah satu punca dia meninggalkan kerjayanya di radio, kata Hunny, baru-baru ini hatinya hancur kerana buat pertama kalinya Eva dimasukkan ke hospital kerana demam virus.
"Anak saya baru lepas baik daripada demam virus. Sebagai ibu, hati saya memang hancur melihat anak saya dimasukkan ke hospital buat pertama kalinya," ujarnya.
Menguis rasa sedihnya yang tiba-tiba hadir itu, kongsi Hunny lagi mengenai Eva, anaknya itu sudah peka dengan persekitaran dan petah berbicara sepertinya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: