Friday, March 14, 2014

Eina diikat tanpa kontrak

EINA menegaskan, sepanjang 13 tahun karier lakonannya, dia tidak pernah melarikan diri dari set penggambaran.


SUASANA ketika sesi temu bual Eina Azman bersama media berlangsung sedikit tegang. Dia ditemui ketika sidang akhbar tayangan perdana filem Zombi Kilang Biskut di 1Utama, Petaling Jaya, Selangor, Selasa lalu.
Eina lebih banyak mengunci mulut daripada melatah, tambahan dia didampingi oleh kakak-kakaknya serta dua wanita lain sebelum dia memberikan ‘lampu hijau’ butir bicara yang boleh diperkatakan.
Menurut laporan beberapa buah akhbar mingguan Ahad lalu, Eina didakwa nekad melarikan diri dari set penggambaran filem Kuntilanak Ciliwung di Jakarta, Indonesia.
Menurut penerbit Sheunik Sdn. Bhd., Richard Ung, Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 19, dijadualkan berada di Jakarta dari 19 Februari hingga 4 Mac.
Bagaimanapun, pelakon muda itu mendesak untuk pulang ke Kuala Lumpur bagi mempromosi filem lakonannya, Zombi Kilang Biskut pada 4 Mac lalu.
Tanpa persetujuan pihak produksi, Eina telah pulang ke Kuala Lumpur pada 24 Februari lalu dan mendiamkan diri walaupun dia dihubungi banyak kali.
Apakah penjelasan Eina berhubung perkara itu? Ikuti temu bual Eina bersama Kosmo!.
Kosmo!: Adakah benar dakwaan Eina lari dari set penggambaran filem Kuntilanak Ciliwung di Jakarta tanpa sebab yang masuk akal?
EINA: Sedikit yang saya boleh katakan, saya tidak diberi kontrak. Bayangkan, bagaimanakah saya mahu meneruskan penggambaran.
Saya bekerja di negara orang, kalau apa-apa terjadi, siapa yang mahu bertanggungjawab dan apakah jaminan saya?
Selain itu, saya juga disuruh berlakon aksi-aksi (panas) di atas katil. Berdasarkan skrip, saya perlu melakonkan babak-babak tersebut.
Khabarnya, Eina dimaki hamun di set penggambaran sehingga membabitkan pelbagai isu dua buah negara. Benarkah?
Saya bukan tak mahu cakap apa-apa tapi saya belajar daripada kesilapan lepas dan saya memang perlu berhati-hati mengeluarkan kenyataan. Takut tersalah cakap nanti saya yang kena teruk. Buat masa sekarang saya mendiamkan diri dulu dan biarkan perunding saya yang akan bercakap.
Bilakah Eina sendiri yang akan mengeluarkan kenyataan bagi memperbetulkan keadaan?
Bukan sekarang. Saya akan aturkan sebuah sidang akhbar untuk menjelaskan semua perkara yang telah terjadi. Nanti nampak macam semua perkara salah saya yang buat, macam kes sebelum ini. Walaupun perkara betul sekalipun orang akan nampak buruknya pada saya.
Apakah yang boleh Eina simpulkan dalam masa terdekat ini sebelum tibanya hari sidang akhbar?
Saya sudah melantik abang Usop Wilcha sebagai perunding saya. Saya tidak suka orang cakap macam-macam pasal saya dan selepas timbul isu itu, ramai produser menghubungi saya bertanyakan hal sebenar. Selama 13 tahun saya berlakon, sampai hari ini saya tidak pernah melarikan diri dari set penggambaran dan tidak akan bising tanpa sebab.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: