Nad atau nama sebenarnya, Nadia Zainal, 24, berkata, kursus yang dihadiri mereka itu adalah satu proses biasa sebagai mempersiapkan diri ke alam perkahwinan dan mereka tidak bercadang untuk berkahwin dalam masa terdekat ini.
"Kami pergi kursus tersebut kerana pada masa itu jadual kami tidak terikat dengan sebarang penggambaran jadi kami mengambil keputusan untuk menghadiri kursus tersebut.
"Ia adalah suatu proses biasa dan itu tidak bererti kami akan berkahwin dalam masa terdekat ini," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin.
Sebelum ini, Azwan Kombos, 29, mengesahkan menghadiri kursus asas perkahwinan bersama Nad Zainal di Masjid At-Taqwa di Taman Tun Dr Ismail pada awal bulan ini.
Dalam pada itu, Nad berkata, keputusan mereka untuk menghadiri kursus tersebut juga diketahui oleh keluarga kedua-dua belah pihak.
"Keluarga adalah orang pertama yang tahu dan kami tidak akan sorok apa-apa daripada mereka," ujarnya.
Sementara itu, Nad berkata, buat masa ini mereka sedang mempersiapkan diri untuk melangkah fasa seterusnya namun tidak tergesa-gesa untuk melangsungkan perkahwinan.
"Apa yang penting kami berdua kena bersedia dari sekarang dalam pelbagai perkara sebelum melangkah ke alam perkahwinan dan kursus asas perkahwinan adalah langkah pertama kami," jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Nad berkata, dia baharu sahaja selesai dengan penggambaran sebuah drama bersiri berjudul Tuan Rumah, Pembantu Rumah arahan Jinggo untuk siaran TV3.
Selain itu, Nad berkata, dia juga akan muncul dengan sebuah drama baharu untuk slot Cerekarama bersama Izzue Islam berjudul Tatu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: