|
BENAR kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tak siapa tahu. Itu yang berlaku kepada seorang remaja, Elaira Krizia Soon apabila diumumkan sebagai pemenang utama peraduan anjuran restoran Dubu Dubu.
Elaira, 22, langsung tidak menyangka kehadirannya untuk menjamu selera di restoran tersebut membolehkannya menikmati percutian istimewa ke Korea bernilai lebih RM7,000 untuk dua orang.
Restoran tersebut mempunyai lima cawangan iaitu di Mid Valley, Berjaya Times Square, Damansara, Sunway Pyramid dan Centro Mall, Klang.
Menurut Elaira, ia merupakan kemenangan pertama dalam peraduan yang disertainya secara suka-suka apabila melihat maklumat yang dipaparkan di atas meja hidangan.
“Jujurnya saya masih terkejut apabila dihubungi pihak penganjur yang memaklumkan mengenai kemenangan ini. Sewaktu menyertai peraduan ini, saya langsung tidak menaruh sebarang harapan yang tinggi.
“Saya dan rakan berpendapat tidak salah untuk mencuba. Justeru, kami mengambil gambar untuk berseronok dan ternyata tuah menyebelahi kami apabila memenangi hadiah utama dengan hanya sekeping gambar.
“Memandangkan pihak penganjur memberi peluang untuk memilih tarikh percutian itu, kami sepakat untuk ke Korea sewaktu musim luruh kerana mahu melihat keindahan daun mapel yang gugur berterbangan di samping cuaca yang nyaman,” ujarnya dengan penuh teruja.
Dianjurkan sempena menyambut ulang tahun kedua Dubu Dubu bertapak di Malaysia, peraduan itu telah berlangsung selama sebulan bermula 1 hingga 31 Januari lalu.
Pengarah Eksekutif CRDubu Malaysia Sdn. Bhd., Wong Kah Yong berkata, peraduan itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan untuk pelanggan yang sentiasa memberi sokongan terhadap Dubu Dubu.
“Tanpa sokongan mereka, tidak mungkin kami mencapai kejayaan seperti hari ini. Justeru, dengan adanya peraduan ini, ia akan meningkatkan lagi keyakinan pelanggan terhadap kami,” ujar Kah Yong.
Peraduan tersebut memerlukan pelanggan restoran menghantar gambar paling kreatif ketika menikmati hidangan Dak Galbi Dubu Dubu iaitu sejenis sajian Korea yang terdiri daripada ayam dan sayur campur.
Selain Elaira, dua lagi pelanggan bertuah ialah Jayagopal R. Yellumalai, 57, yang memenangi sebuah televisyen LG LED 42 inci dan Naseeha Ubaidi Hishamudin yang membawa pulang Samsung Galaxy Tab 3.
Jayagopal memberitahu, sejak menyertai peraduan itu, dia memang berharap untuk memenangi televisyen LED seperti yang ditawarkan.
“Saya gembira kerana dapat membawa pulang apa yang saya impikan. Televisyen ini amat sesuai untuk saya dan keluarga menghabiskan masa menonton,” ungkap Jayagopal yang tampil dengan idea gambar menarik iaitu mencantumkan dua imej dirinya seolah-olah pasangan kembar yang sedang menikmati hidangan Dak Galbi dalam keadaan mencuit hati.
Bagi Naseeha pula, dia menghantar gambar bersama ibunya ketika mereka menikmati makan tengah hari di restoran tersebut.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana menjadi antara tiga pemenang bertuah dalam peraduan ini. Walaupun pakej percutian ke Korea memang satu hadiah yang sangat menarik, tetapi ia bukan rezeki saya. Mana tahu mungkin rezeki saya dimurahkan pada masa akan datang,” tuturnya sambil tersenyum.
Sementara itu, tambah Kah Yong, ramai rakyat Malaysia meminati makanan Korea dan Dak Galbi menjadi antara kegemaran mereka.
“Pelbagai gambar kreatif yang dihantar jelas menunjukkan betapa orang ramai menggemari cita rasa hebat kami. Malah, kami juga gembira apabila melihat Dubu Dubu kini muncul sebagai jenama terkenal bagi mereka yang menghargai hidangan lazat Korea.
“Di Dubu Dubu, kami sentiasa berusaha untuk memastikan bahawa semua ramuan menghasilkan cita rasa asli sajian Korea. Oleh itu, kami hanya menggunakan daging, makanan laut dan sayur-sayuran paling segar untuk menghasilkan makanan yang lazat dan menyelerakan untuk pelanggan,” katanya.
Dubu Dubu, yang bermakna tauhu dalam bahasa Korea, adalah rangkaian restoran yang sedang berkembang pesat dan terkenal kerana sajian asli Korea yang dihidangkan dalam suasana yang selesa dan bergaya. Untuk maklumat lanjut, sila kunjungi laman web www.dubudubu.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: