Sunday, March 30, 2014

Muzik terapi The Venopian Solitude


THE VENOPIAN SOLITUDE memilih lagu berjudul The Rojak Uta: Stampede sebagai single pertama untuk diketengahkan.


BIARPUN baru berusia 24 tahun, anak muda kelahiran Shah Alam, Selangor ini sudah pandai menggunakan bait-bait kata puitis menerusi lagu yang dihasilkannya.
Itu antara rahsia yang dikongsikan penyanyi dan penulis, Takahara Suiko yang berjaya menghasilkan lapan buah lagu bernada segar dalam album pertamanya yang berjudul Hikayat Perawan Majnun.
Enggan mendedahkan identiti sebenar, Takahara Suiko yang mahu dikenali sebagai The Venopian Solitude (TVS) barangkali masih asing dalam kalangan peminat muzik tanah air.
"Kesemua lapan buah lagu yang dimuatkan ke dalam album Hikayat Perawan Majnun merupakan hasil ciptaan saya sepenuhnya.
"Saya mencipta lagu-lagu ini ketika berada dalam keadaan yang tertekan. Bagi saya muzik merupakan terapi yang paling berkesan untuk melepaskan tekanan setiap kali dibelenggu masalah," ujar graduan Kolej Teknikal Kagawa, Jepun dalam bidang Kejuruteraan Elektronik itu.
Menurut TVS, dia seorang yang mementingkan privasi dalam kehidupan seharian. Dia mahu meletakkan sempadan apabila melibatkan diri ke dalam dunia hiburan dan urusan bersama keluarga serta rakan-rakan.
Pemilihan nama Takahara Suiko itu tercipta sejak di bangku sekolah lagi memandangkan dia sangat meminati karya seni Jepun, tidak kira muzik, drama mahupun filem.
TVS mula mencipta nama menerusi YouTube. Ketika anak muda lain berlumba-lumba memuat naik lagu-lagu ciptaan sendiri atau menggubah semula lagu penyanyi lain ke pentas maya itu, TVS juga berharap agar karya seninya diterima masyarakat.
Siapa sangka muzik yang bersifat alternatif dan eksperimental itu akhirnya memberi laluan kepada TVS untuk disunting menjadi artis baharu oleh Kasi Gegar Entertainment (KGE).
"Semuanya bermula apabila saya menggubah semula lagu Outlaw nyanyian kumpulan Go Gerilla dan memuat naik ke YouTube. Saya kemudian ditawarkan oleh KGE untuk menjadi artis naungan mereka," katanya.
Menurut TVS, muzik ialah jiwanya. "Sewaktu belajar di Jepun, saya hanya mengambil masa selama dua jam untuk menghasilkan sebuah video yang saya cipta semasa berada dalam keadaan yang tertekan.
"Saya lebih suka melepaskan kemarahan dengan menghasilkan lagu baharu," katanya.
Meskipun menyedari muzik yang diketengahkan ini agak sukar untuk menembusi arus perdana muzik tanah air, TVS menyerahkan penjurian itu kepada pendengar.
Dalam diam-diam, anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik itu sudah pun mendapat perhatian dalam kalangan penganjur pelbagai persembahan di luar negara.
TVS pernah membuat persembahan pada Persidangan Muzik Kansai di Osaka, Jepun dan Festival Jakcloth di Jakarta, Indonesia.
"Penerimaan terhadap muzik saya nampaknya menggalakkan. Secara tidak langsung saya telah memperkenalkan lagu bahasa Melayu di Jepun, malah saya turut memuatkan lagu bahasa Jepun dan Inggeris ke dalam album saya," katanya.
Sebagai pengenalan kepada umum, TVS memilih lagu berjudul The Rojak Uta: Stampede sebagai single pertama untuk diketengahkan. Lagu tersebut dinyanyikan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Jepun dan Inggeris.
"The Rojak Uta: Stampede mempunyai maksud yang tersendiri mengikut bahasa yang saya sampaikan. Jika bahasa Jepun, saya menceritakan tentang masalah sistem sosial di negara itu.
"Untuk bahasa Inggeris pula lebih kepada tanggapan ramai tentang negara dunia pertama dan ketiga. Bahasa Melayu pula berkisarkan mengenai penindasan," jelasnya.
Lagu-lagu TVS boleh dibeli secara online menerusi mall.kasigegar.com pada harga RM26.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: