Wednesday, March 19, 2014

Interaksi pikat peminat


ALBUM terbaharu berjudul, Younghearts meniupkan lagi semangat juang Oh Chentaku dalam dunia muzik.


DALAM usaha untuk menembusi pasaran muzik arus perdana tempatan, setiap band yang bergerak secara sendiri mempunyai resipi dan cara masing-masing untuk memperkenalkan muzik garapan mereka kepada para peminat.
Tidak hanya tertumpu pada satu saluran atau cabang sahaja, mempromosikan karya yang telah dirakamkan dalam bentuk cakera padat (CD) sebelum ia dilancarkan merupakan satu usaha yang unik dan mampu untuk menarik perhatian umum.
Lebih istimewa, promosi tersebut berlangsung secara berterusan menerusi penganjuran konsert jelajah yang membawa band tersebut hampir ke seluruh negara bagi bertemu dengan para peminat. Itulah yang dilakukan oleh enam orang anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai Oh Chentaku (OCK) sejak bulan Januari yang lalu
Ketika ditemui usai melakukan persembahan kemuncak konsert jelajah Younghearts Tour 2014 yang berlangsung di Blackbox, Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini, OCK yang terdiri daripada Myo, Jimmy, Amber, Wawa, Naem dan Jack mempunyai sebab yang tersendiri memilih cara promosi album sedemikian.
Tembusi arus perdana
"Kebanyakan artis atau band-band terkenal bertindak melancarkan album mereka terlebih dulu sebelum mengadakan sebarang konsert jelajah. Tetapi bagi OCK, kami lebih mengutamakan para peminat dengan mengadakan konsert jelajah sebelum melancarkan album.
"Ia bertujuan bagi memberikan mereka masa untuk membiasakan diri dengan lagu-lagu kami sebelum datang ke konsert yang terakhir ini," kata Myo, atau nama sebenarnya Mior Luqman Mior Mohd. Zain, 27, selaku vokalis OCK yang mewakili kumpulan tersebut.
Menurut Myo, selain aktif mempromosikan album ketiga mereka yang berjudul Younghearts itu dalam penganjuran konsert jelajah, OCK turut tidak melepaskan peluang untuk turut serta berinteraksi bersama para peminat di alam maya menerusi platform media sosial yang kini menjadi kegilaan ramai golongan muda.
"OCK banyak berinteraksi dengan para peminat menerusi akaun rasmi Facebook, Twitter serta Instagram. Akaun ini akan dikemas kini pada setiap masa bagi membolehkan peminat mengikuti perkembangan karier kami.
"Selain itu, kami juga turut memuat naik video belakang tabir konsert jelajah yang dirakam pada setiap negeri di laman perkongsian video YouTube.
"Dalam usaha untuk menembusi pasaran arus perdana, pendekatan yang digunakan haruslah selari dengan trend semasa.
"Setiap kemas kini yang dipaparkan di lama sosial dapat mendekatkan lagi kumpulan kami dengan para peminat," ujarnya lagi.
Inspirasi Mahsuri
Dalam pembikinan sesebuah album, tema yang unik sering diangkat sebagai sumber inspirasi utama bagi memberi kelainan serta perbezaan dengan band-band yang lain.
Justeru, pada penghasilan album Younghearts, Myo banyak menyuntik elemen Melayu serta adat tradisi nenek moyang untuk diketengahkan dalam beberapa buah lagu.
"Menerusi album ini, banyak perubahan yang boleh dilihat antaranya, termasuklah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama penulisan lirik dalam Younghearts.

POPULARITI Oh Chentaku kini semakin meningkat dalam kalangan peminat muzik tempatan.


"Selain itu, saya cuba untuk mempamerkan kekuatan bahasa ibunda kita dengan menggunakan kosa kata serta frasa Melayu klasik dalam penghasilan lagu-lagu seperti Seriputeh dan Semangat Satria," ujarnya.
Melanjutkan perbualan, Myo memberitahu, lagu Seriputeh yang menampilkan rapper Altimet sebagai artis jemputan diinspirasikan daripada legenda pembunuhan Mahsuri yang pernah berlaku suatu ketika dahulu di Pulau Langkawi.
"Ketika dalam proses menghasilkan album ini, saya begitu tertarik dengan kisah yang berlaku disebalik lagenda Mahsuri.
"Justeru, saya mengambil keputusan untuk menyelitkan kisah tersebut dalam lagu Seriputeh," ujar Myo yang menyifatkan album ini banyak melalui proses eksperimen bagi mendapat hasil yang terbaik.
Impak Versus
Walaupun OCK telah bertapak dalam senario muzik indie sejak tahun 2007.
Namun nama kumpulan itu mula dikenali setelah mereka mengambil keputusan untuk menyertai pertandingan Versus musim kedua yang bersiaran di TV9 pada awal tahun lalu.
Menyedari hakikat itu, OCK berpendapat bahawa sokongan yang mereka perolehi banyak diterima menerusi pertandingan tersebut.
Kata Myo: "Tidak dinafikan, penyertaan OCK dalam pertandingan Versus musim kedua banyak membuka peluang untuk kami melebarkan sayap dalam industri muzik arus perdana.
"Jadi tidak hairanlah, jumlah peminat kami semakin bertambah dengan banyaknya sejak kami menyertai pertandingan tersebut.
Bermula dengan 9,000 peminat yang mengikuti akaun Facebook kami, sekarang jumlah tersebut telah melonjak sehingga 85,000 orang," ujarnya sambil tersenyum.
Selain itu, ujar Myo, penglibatan OCK menerusi konsert jelajah juga turut membantu mereka untuk dikenali ramai.
"Younghearts Tour 2014 merupakan konsert jelajah terbesar yang pernah kami sertai. Walaupun kami pernah mengadakan konsert yang serupa sekitar tahun 2007, tetapi impaknya tidak sebesar sekarang.
"Kami juga amat berterima kasih kepada peminat kerana tidak jemu-jemu memberikan sokongan walaupun selepas tamat rancangan tersebut," katanya yang menyifatkan program seumpama itu merupakan peluang terbaik untuk band-band indie di Malaysia untuk menonjolkan bakat.
Elak sengketa
Dalam meniti puncak populariti dan usaha menempa nama di peringkat yang lebih tinggi, OCK percaya dengan semangat setiakawan serta sikap bantu-membantu antara satu dengan yang lain.
"Kami bermula sebagai sebuah band tanpa mengenali antara satu dengan yang lain. Bagaimanapun, ikatan yang terjalin selepas mengenali diri masing-masing menguatkan lagi persahabatan kami.
"Dari situ, kami mula berkerjasama dengan baik dan hasil kerjasama itu boleh didengar melalui penghasilan album ini," kata Myo yang turut menganggap tiada sebarang perlumbaan dalam kalangan band-band yang ada di Malaysia.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: