Wednesday, March 19, 2014

Cabaran WeChat ke pasaran global



PERBELANJAAN besar dilaburkan oleh Tencent bagi memasuki pasaran antarabangsa.


APABILA pengeluar kondom, Durex mahu menghantar mesej intim kepada pelanggan di China, syarikat itu menggunakan platform mesej segera tempatan dipanggil WeChat yang telah menjadi pilihan utama pengguna telefon pintar sejak tiga tahun lalu.
WeChat atau dikenali sebagai Weixin mempunyai persamaan dengan aplikasi mesej segera seperti WhatsApp yang dibeli oleh Facebook pada harga RM62.31 bilion bulan lalu.
Peningkatan pengguna saban tahun memberikan ruang kepada aplikasi itu menembusi pasaran. Namun, wujud kebimbangan mengenai keselamatan siber di China yang boleh menjejaskan cita-cita tersebut.
Aplikasi tersebut mempunyai beberapa fungsi yang lebih menarik berbanding WhatApps. Ia membolehkan 300 juta penggunanya menghantar kiriman teks, gambar, video dan mesej bersuara. Selain itu, terdapat satu pilihan dengan hanya satu goncangan, pengguna dapat berhubung dengan pengguna lain secara rawak.
Pengguna Wechat di China tidak terhad kepada individu sahaja malah pekerja kerajaan turut menggunakan aplikasi yang dibina oleh Tencent, sebuah syarikat telekomunikasi gergasi di China.
Sejak perjanjian WhatsApp itu diumumkan baru-baru, saham Tencent telah meningkat 9.4 peratus, memberikan permodalan pasaran sebanyak RM491.93 bilion menghampiri jumlah monumental Facebook sebanyak RM590.31 bilion.
"WeChat adalah platform mesra rakyat yang digunakan setiap hari," kata pengurus kanan jenama untuk Durex Fay Zhao. Kempen baharu syarikat itu telah meminta penggunanya untuk menyampaikan cerita cinta mereka menerusi WeChat.
Penganalisis teknologi di China berpendapat WeChat telah menghakis populariti satu lagi media sosial di negara itu iaitu Weibo. Ia mempunyai persamaan dengan Twitter.
Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Analysys International, WeChat kini berada di kedudukan kedua paling popular di China sebagai alat pesanan ringkas di peranti mudah alih.
"Ia telah mengalami peningkatan yang pesat sejak ia dikomersialkan pada tahun 2013," menurut kenyataan syarikat perundingan teknologi itu yang dikeluarkan pada bulan Februari.

KAWALAN ketat internet di China menjadi penghalang kepada perkembangan WeChat ke luar negara.


Bayaran
Aplikasi itu tidak mengenakan sebarang bayaran untuk dimuat turun tetapi terdapat beberapa caj akan dikenakan seperti pembelian secara talian emotikon dan permainan video.
Bagi mengekalkan momentum pengguna, WeChat telah memperkenalkan perkhidmatan baharu seperti permainan video dan pembayaran dalam talian untuk perkhidmatan tempahan teksi.
Tencent memperoleh pegangan 20 peratus dalam Dianping.com iaitu sebuah laman web carian restoran sekitar China pada Februari lalu dan mula menawarkan kupon makanan melalui WeChat.
Perjanjian terbaharunya, Tencent mengambil pegangan 15 peratus dalam syarikat jualan langsung dalam talian, JD.com, usaha itu untuk lebih bersaing dengan e-dagang gergasi, Alibaba.
Ditubuhkan pada tahun 1998 di bandar Shenzhen, Tencent adalah salah satu syarikat internet terbesar di China yang memberikan saingan hebat kepada Alibaba dan enjin carian domestik, Baidu.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tencent, Ma Pony meletakkan harapan tinggi untuk meluaskan WeChat ke pasaran antarabangsa dengan membelanjakan sebanyak RM655.90 juta tahun lepas. Salah satu strateginya adalah melantik pemain bola sepak terkenal Lionel Messi untuk membintangi kempen pengiklanan aplikasi itu.
Dalam satu kenyataan kepada media tempatan, Pony mengklasifikasikan Wechat sebagai produk yang mempunyai peluang besar untuk menembusi pasaran luar tetapi kebimbangannya kepada keselamatan siber di negara itu boleh menghancurkan harapan tersebut.
Kebimbangan
Pihak Amerika Syarikat (AS) menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan peralatan telekomunikasi yang dijual oleh firma-firma China seperti Huawei dan ZTE.
Pemerintah negara Tembok Besar itu mengekalkan pengawasan ketat terhadap rangkaian internet. Beberapa informasi dan maklumat di laman carian Weibo yang dianggap terlalu sensitif telah dipadamkan. Sebelum ini, firma-firma internet China dan syarikat asing yang beroperasi di negara itu perlu memberikan maklumat pengguna kepada pihak berkuasa sebagai satu langkah keselamatan negara.
Berikutan itu, penganalisis berpendapat akan wujud kebimbangan dalam kalangan pengguna Barat mengenai keselamatan internet dan perlindungan data peribadi dalam WeChat.
"Negara-negara Amerika dan Eropah amat mementingkan perkara-perkara tersebut sehingga berasa was-was untuk menggunakan produk dari China. Ia menjadi halangan besar kepada pengusaha tempatan untuk berkembang," kata penganalisis, Lu Jingyu.
Selain WeChat, beberapa aplikasi pesanan ringkas yang menguasai pasaran Asia ialah Line dari Jepun dengan jumlah pengguna 300 juta orang manakala Kakao Talk dari Korea Selatan dengan jumlah pengikut seramai 100 juta orang.
"Sudah terlalu banyak aplikasi pesanan ringkas yang telah menguasai pasaran global, ia dilihat sebagai satu cabaran besar kepada WeChat untuk diterima," ujar salah seorang penganalisis dari Analysys International, Dong Xus.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: