Tuesday, March 18, 2014

Perubahan personaliti melalui meta coaching


Meta coaching merupakan satu proses pembangunan diri yang dilakukan melalui seni bertanya dan membimbing peserta mencapai matlamat yang diingini.
PARA peserta meta coaching dalam perbincangan.


PERTEMUAN yang diatur dengan coach eksekutif dan pakar komunikasi, Md. Taib Mat, 60, tidak banyak bezanya dengan mana-mana pertemuan sebelum ini.
Jika kebiasaannya, penulis yang akan mengasak individu yang ditemuramah, lain pula ceritanya dengan tugasan ini.
Sebaik diperkenalkan, penulis diasak dengan pelbagai soalan. Kali ini penulis menjawab soalan berantai yang diajukan oleh Md. Taib. Namun, soalan tersebut bukanlah sesi pengenalan, tetapi itulah cara beliau memperkenalkan penulis mengenai meta coaching.
"Apa yang kamu mahukan dalam kehidupan ini, mungkin pada masa sekarang?" soalnya.
Tanpa teragak-agak, penulis menjawab mahu menambah pendapatan. Jawapan tersebut diikuti dengan soalan nilai pendapatan yang dimahukan, bagaimana ia boleh memuaskan penulis, jenis kejayaan yang akan dicapai melalui kepuasan itu dan keperluan keselesaan kepada keluarga dan hidup penulis. Akhir sekali, penulis memberi jawapan, 'Saya mahu hidup bahagia'.
Detik itu menyedarkan penulis bahawa matlamat hidup ialah untuk hidup bahagia. Semua jawapan yang diberi membimbing penulis secara tidak langsung untuk mencapai matlamat tersebut.
Md. Taib lantas berkata: "Saya boleh bertanya soalan berantai mengenai diri kamu itu selama sejam atau lebih dan membawa kamu kepada destinasi kehidupan yang kamu impikan. Saya boleh membimbing kamu menerusi jawapan atau kemahuan kamu dan itulah yang dimaksudkan meta coaching!"
Destinasi
Benar, sesi itu sesuatu yang menakjubkan. Soal jawab itu seolah-olah membangunkan penulis yang selama ini hidup secara statik. Ternyata sesi yang kurang 10 minit bersama Md. Taib sedikit sebanyak membawa realisasi tentang kemampuan dan kebolehan diri untuk berjaya.
Coaching berbeza dengan rundingan, mentor, terapi, kaunseling atau latihan dan nasihat. Md. Taib yang juga pelatih prinsipal Akademi NLP Malaysia atau MTM Consultants Sdn. Bhd. menjelaskan, budaya coaching masih berada di peringkat awal.
Meta coaching pada pandangan beliau sesuatu yang sangat baharu di Malaysia. Namun, penyebaran budaya coaching khususnya meta coaching, boleh menyaksikan perubahan personaliti peribadi sama ada umum atau yang lebih baik.
Meta coaching sebagai satu proses pembangunan diri yang dilakukan melalui seni bertanya. Coaching ini dinamakan meta kerana ia membabitkan minda dan akal serta menolak diri menjangkaui kemampuan yang sedia ada. Ini bermakna, meta coaching tertumpu kepada proses dan struktur tetapi bukan kandungannya.
Ia juga sesi yang menggerakkan seseorang dari satu situasi kepada satu situasi lain yang lebih baik. Pertanyaan yang ditujukan bukan sahaja menyentuh minda malah ia mampu mengubah nilai dan kepercayaan seseorang.
Misalnya pendekatan yang digunakan Md. Taib berupa soalan berstruktur yang membawa kepada hasil yang dihajati berdasarkan corak fikiran dan makna yang diberikan oleh peserta tanpa sebarang cadangan atau pendapat daripada meta coach yang mengendalikan soal jawab itu.
"Jadi, tugas meta coach ialah berdialog dengan peserta sebagai pencetus untuk memperkasa diri mereka supaya berkemahiran menggunakan akal secara terbaik, mengakses sumber kekuatan diri dan mencapai hasil tertinggi yang dikehendaki," jelas Md. Taib.

WALAUPUN terma coaching merujuk kepada pelatih sukan tetapi hari ini ia membawa maksud yang lebih luas.


Md. Taib, anak kelahiran Bedong, Kedah merupakan graduan ijazah lanjutan dalam bidang Perancangan Strategik dari Universiti Southern California, Los Angeles, Amerika pada tahun 1986 selepas menamatkan Ijazah Sains Perniagaan Ekonomi dari Universiti Southern Illinois, Carbondale pada 1985.
Beliau mula berjinak-jinak dengan dunia coaching selepas terdedah dengan pakar-pakar NLP, hipnoterapi dan komunikasi tersohor dunia seperti Dr. Richard Bandler, Dr. Robert Dilts, Judith DeLozier, Dr. Michael Hall, Dr. Stephen Gilligan, Shelle Rose Charvet, Dr. William Horton, Dr. George Bein, Anthony Robbins dan lain-lain dari seluruh pelosok dunia.
Posisi beliau sebagai Penolong Pengurus Ladang di Harrisons Plantations, Eksekutif Pembangunan Perniagaan di Shell Chemicals, Pengarah Urusan Aliran Permata Sdn. Bhd. (Teknologi Maklumat), dan MTM Consultants Sdn. Bhd. (Pembangunan Insan) telah membuka laluan kepadanya untuk terlibat dalam bidang ini demi pembangunan syarikat tempat kerja beliau dan diri beliau sendiri.
"Meta coaching merupakan satu cabang baharu daripada coaching yang bermula sejak beberapa dekad lalu, sebelum wujudnya sukan Olimpik. Ia sangat popular dan banyak dilakukan dalam kalangan ketua-ketua eksekutif, pengarah urusan dan mereka yang berjawatan tinggi demi kecemerlangan syarikat atau organisasi. Hari ini, ia diperluas sehingga pelajar yang bakal menduduki peperiksaan pun turut didedahkan dengan proses meta coaching," ujar beliau. Walaupun terma coaching merujuk kepada pelatih sukan, tetapi maksudnya lebih meluas daripada itu.
Kini pelbagai lapisan masyarakat telah menyertai program kendalian beliau yang terdiri daripada ketua eksekutif, pengarah, pengurus, peguam, pensyarah, doktor, pelajar sehinggalah kepada suri rumah.
Seorang peserta meta coaching, Pengarah Urusan TNB Integrated Learning Solution (Ilsas), Khalidah Haron berkata, coaching bukan sahaja membawa kepada kesedaran diri tetapi tentang toleransi sesama manusia dan sifat kemanusiaan dalam setiap usaha yang dilakukan.
"Jika selama ini, saya hanya berpandu keputusan atau sasaran, selepas sesi coaching, saya sedar semua orang mempunyai kemahiran tersendiri tetapi tiada yang sempurna. Jadi, daripada menyalahkan orang lain, saya cuba mencungkil dan memberi mereka ganjaran terhadap usaha yang mereka lakukan," kata beliau.
Bimbing diri
Khalidah menyertai program meta coaching bermula daripada kursus asas NLP selepas dua orang kakitangan di syarikatnya menyertai program itu. "Mereka meminta kebenaran saya untuk menyertai program ini. Saya benarkan dengan syarat mereka menampung sendiri. Melihat perubahan diri dan perkongsian mereka, saya pun menyertainya pada tahun 2010," kata Khalidah ketika ditemui.
Beliau mengakui, perbezaan ini meliputi cara mereka membimbing diri dalam melakukan sesuatu tugas dan menggunakan konsep soal diri dalam menyelesaikan masalah atau halangan sewaktu menjalani tugas.
Selepas mengikuti program tersebut, Khalidah bukan sahaja berkemampuan membantu orang lain, malah membantu diri sendiri.
"Meta coaching mengajar saya melakukan kemahiran memotivasikan diri secara sistematik. Misalnya, selain memotivasi diri kita juga perlu mencari permasalahan itu dari akar umbi. "Apabila kita melihat sesuatu masalah pada akar umbi, ia lebih mudah untuk diatasi," katanya yang baru sahaja bersara tiga bulan lalu.
Ketika di temu bual, Khalidah berkali-kali menekankan tiga perkara mengenai meta coaching.
Pertama sekali ialah, having iaitu kemahiran yang dimiliki; doing iaitu usaha untuk mencapai sesuatu sasaran dan being yang dilihat kurang diambil kira iaitu sikap empati kepada mereka yang mencuba tetapi gagal mencapai sasaran.
"Kesedaran tahap ketiga iaitu, being, memberi satu paradigma mendalam dan penuh bermakna. Ia mencungkil potensi anggota kerja dan memberi kesedaran tersendiri khususnya membolehkan mereka membimbing diri sendiri untuk berjaya," katanya.


No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: